Terima Anugerah Anumerta, isteri kongsi impian arwah suami genggam Doktor Falsafah
GAMBANG, 8 November 2025 – Tiada siapa mampu menolak takdir Ilahi, namun itulah yang dilalui apabila graduan Doktor Falsafah, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Allahyarham Wan Ruslan Wan Yusoff, yang pergi dijemput Ilahi pada 16 Mac 2025, sebelum sempat meraikan kejayaan menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD).
Dengan penuh ketabahan, Julina Jamil, 57, melangkah ke pentas utama Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 hari ini untuk menerima Anugerah Anumerta bagi pihak arwah suaminya.
Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor pada sesi pertama.
Menurut Julina, beliau tidak menyangka akan diberi penghormatan menerima anugerah tersebut bagi pihak arwah suaminya yang sentiasa gigih menuntut ilmu hingga ke akhir hayat.
“Ini merupakan salah satu impian Allahyarham untuk menuntut ilmu di peringkat tertinggi.
“Allahyarham seorang yang suka mencabar diri dan tidak pernah berhenti mencari ilmu baharu.
“Ketika orang lain masih belum mengenali apa itu Kecerdasan Buatan (AI), beliau sudah mula menulis dan membangunkan programnya sendiri,” ujarnya.
Katanya, beliau sendiri menyaksikan perjalanan dan perjuangannya dari awal hingga akhir.
“Arwah sempat menghantar tesis pra-viva pada 20 Disember 2024, namun takdir menentukan segalanya apabila beliau menghembuskan nafas terakhir akibat Cardiogenic Shock Secondary to Advanced Heart Failure,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui.
Majlis konvokesyen kali ini turut menyaksikan detik penuh emosi apabila lima penerima menerima Anugerah Anumerta sebagai tanda penghargaan universiti terhadap semangat juang mereka dalam menuntut ilmu.
Selain Allahyarham Wan Ruslan, turut menerima anugerah tersebut ialah Allahyarham Muhamad Asraf Tohid, graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pengurusan Infrastruktur) dengan Kepujian yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya; Allahyarham Mohd Fairuz Kassim, penerima Diploma Profesional Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan; serta dua penerima bukan Islam, Mendiang Sami Anak Nanang, graduan Master Eksekutif Operasi dan Pengurusan Projek dan Mendiang Chang Fook, graduan Master Eksekutif Pengurusan Kejuruteraan Pembinaan.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 138 views