UMPSA raikan 261 graduan UMPSA Advanced, buktikan ilmu tiada batas usia
PEKAN, 3 November 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meraikan seramai 261 graduan UMPSA Advanced pada Sesi Ketujuh Majlis Konvokesyen Ke-21 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UMPSA Pekan, hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang menyifatkan kejayaan para graduan sebagai bukti bahawa kesungguhan menuntut ilmu tidak pernah dibatasi usia, kerjaya mahupun tanggungjawab kehidupan.
"Sebahagian besar graduan yang diraikan telah pun membina kerjaya, memikul tanggungjawab keluarga dan menyumbang kepada organisasi masing-masing, namun tetap memilih untuk kembali menuntut ilmu bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran.
“Pilihan ini bukan sesuatu yang mudah dan kerana itulah kejayaan hari ini begitu bermakna.
“Kejayaan graduan pada sesi ini turut memperlihatkan bagaimana pendidikan sepanjang hayat mampu mengubah kehidupan, memperkukuh kerjaya dan membuka peluang baharu menerusi lima kisah inspirasi graduan daripada latar belakang berbeza,” ujarnya.
Antaranya, Darshinie A/P Rengasamy yang berjaya menamatkan pengajian meskipun perlu membahagikan masa sebagai seorang isteri, ibu, pekerja sepenuh masa dalam bidang perakaunan dan sumber manusia serta usahawan yang mengusahakan perniagaan sendiri.
"Turut diraikan, Hussein Ahmad, anak jati Pekan yang kini berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja dan terlibat dalam pembangunan masyarakat setempat.
"Walaupun mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran dan khidmat masyarakat, beliau tetap mengambil keputusan melanjutkan pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan," katanya.
Sementara itu, Erman Irsyadi Mat Rajab, alumni Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (Teknologi Gas) UMPSA, kini berkhidmat sebagai Pengarah Operasi FYF Engineering Sdn. Bhd., sebuah syarikat kontraktor G7 yang terlibat dalam bidang kejuruteraan, pembinaan dan pengoperasian sistem tenaga solar.
Kejayaan beliau menggambarkan bagaimana ilmu teknikal yang diperkukuh dengan pengetahuan pengurusan mampu diterjemahkan kepada pembangunan industri dan teknologi.
Kisah Siti Syaidatul Nurfarhain Md Yussof, graduan Sarjana Eksekutif Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar, turut menjadi inspirasi apabila beliau berjaya mengaplikasikan ilmu pengajian dalam penambahbaikan pengurusan sisa elektronik, kelestarian alam sekitar dan sistem keselamatan hospital swasta di Negeri Sembilan.
Hasil komitmen dan kepimpinan yang ditunjukkan, beliau berjaya mengembangkan kerjaya daripada Eksekutif ESH kepada Ketua Jabatan.
Tidak kurang menyentuh hati ialah perjalanan Tharanginni A/P Thamodharan yang mula bekerja seawal usia 15 tahun bagi membantu menyara keluarga sebelum berjaya menyambung pengajian diploma sambil bekerja dan seterusnya menamatkan pengajian di peringkat sarjana di UMPSA pada tahun ini.
Lebih membanggakan, peningkatan kelayakan akademiknya turut seiring dengan perkembangan kerjaya apabila beliau berjaya menjawat jawatan Pengurus selepas sebelum ini berkhidmat sebagai Eksekutif Kanan Sumber Manusia.
Mengulas lanjut, Profesor Ts. Dr. Yatimah berkata, kelima-lima kisah tersebut membawa mesej bahawa pendidikan sepanjang hayat bukan sekadar untuk memperoleh kelayakan akademik, tetapi juga keberanian untuk terus berkembang, memperbaiki kehidupan dan memberikan sumbangan lebih besar kepada keluarga, organisasi, masyarakat serta negara.
Beliau turut mengingatkan para graduan supaya terus menjadi pembawa perubahan di tempat kerja masing-masing dengan memanfaatkan ilmu yang diperoleh bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh integriti dan mencipta penyelesaian kepada cabaran sebenar organisasi.
“Seorang profesional yang hebat bukanlah seseorang yang mengetahui segala-galanya, tetapi seseorang yang sentiasa bersedia untuk belajar,” katanya.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 2 views
Reports by: