Skip to main content
UMPSA raikan 757 graduan Sesi Kedua Konvokesyen Ke-21, perkukuh kecemerlangan dalam teknologi dan kelestarian

UMPSA raikan 757 graduan Sesi Kedua Konvokesyen Ke-21, perkukuh kecemerlangan dalam teknologi dan kelestarian

PEKAN, 1 November 2026 – Seramai 757 graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) diraikan pada Sidang Kedua Majlis Konvokesyen Ke-21 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UMPSA Pekan, hari ini.

Sesi yang menyaksikan graduan daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) serta Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) menerima skrol masing-masing itu turut mencatat sejarah apabila menjadi kumpulan pertama yang diraikan di DTC selepas dewan berkenaan dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang pada 21 Oktober lalu.

Bagi sesi  kedua, seramai 361 graduan daripada FTKKP dan 396 graduan daripada FSTI diraikan, selain 38 penerima anugerah serta hadiah kecemerlangan.

Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asaari Mohamed Nor dalam ucapannya berkata, kejayaan para graduan merupakan hasil kesungguhan, ketekunan dan pengorbanan sepanjang tempoh pengajian, selain sokongan berterusan ibu bapa, keluarga serta para pendidik.

Menurut beliau, perubahan pesat dalam landskap ekonomi dan industri dunia menuntut graduan bukan sahaja memiliki pengetahuan dan kemahiran teknikal, malah berupaya menterjemahkan ilmu kepada penyelesaian yang dapat meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing industri dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Katanya, bidang sains gunaan, kejuruteraan kimia, teknologi proses dan teknologi industri memainkan peranan penting dalam menyokong keperluan kehidupan seharian, termasuk penghasilan bahan, tenaga, makanan dan produk kesihatan.

“Graduan perlu bukan sekadar memahami bagaimana sesuatu proses berfungsi, tetapi mampu menambah baik proses tersebut supaya lebih cekap, selamat, berkualiti dan mampan.

“Dalam dunia pekerjaan yang sentiasa berkembang, kesediaan untuk terus belajar dan memperbaharui kemahiran merupakan kekuatan yang tidak kurang pentingnya daripada kelayakan akademik,” katanya.

Beliau turut mengingatkan graduan agar menjadikan keselamatan manusia, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar sebagai asas dalam setiap keputusan serta amalan profesional.

Tambah beliau, kemajuan industri tidak seharusnya dinilai berdasarkan keuntungan, kecekapan atau kecanggihan teknologi semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira tanggungjawab terhadap manusia dan alam sekitar.

Justeru , graduan turut diseru supaya melengkapkan kemahiran teknikal dengan keupayaan komunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan serta pertimbangan beretika, khususnya dalam menghadapi perkembangan automasi dan kecerdasan buatan.

Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias berkata, FTKKP terus memperkukuh jaringan antarabangsa menerusi penganjuran persidangan kelapan International Conference on Chemical Engineering and Industrial Biotechnology 2026 yang menghimpunkan kira-kira 150 peserta dari Malaysia dan tujuh negara lain.

Kecemerlangan penyelidikan UMPSA turut terserlah apabila seramai 27 penyelidik universiti tersenarai dalam kelompok World’s Top 2% Scientists 2026, termasuk tiga penyelidik daripada FTKKP, sekali gus menjadi pencapaian terbaik universiti setakat ini.

Selain itu, Program Ijazah Dual UMPSA–Tianjin University dalam bidang Kejuruteraan Kimia kini melibatkan 23 pelajar daripada dua kohort, dengan 19 daripadanya menerima biasiswa daripada pelbagai sumber.

Bagi FSTI, kerjasama dengan 14 industri dan institusi dalam bidang akademik serta penyelidikan terus diperkukuh termasuk pelaksanaan Work-Based Learning bagi Program Sarjana Muda Teknologi Bahan.

Fakulti itu turut mencatat pencapaian dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan apabila memperoleh akreditasi daripada Institution of Occupational Safety and Health bagi program akademik yang ditawarkan.

Dalam bidang pengantarabangsaan, Program Ijazah Dual UMPSA–Kazakh National Agrarian Research University di Kazakhstan turut membuka peluang kepada 12 pelajar mengikuti pengajian bagi sesi akademik 2026/2027.

Profesor Dr. Yatimah menyeru para graduan agar terus mengekalkan hubungan dengan universiti dan menghayati semangat K.I.T.A. yang menjadi teras kecemerlangan UMPSA, merangkumi Kasih, Intelek, Tatakelola serta Amanah dan Akauntabiliti.

UMPSA raikan 757 graduan Sesi Kedua Konvokesyen Ke-21, perkukuh kecemerlangan dalam teknologi dan kelestarian

Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan yang diraikan bukan hanya milik graduan, sebaliknya turut menjadi hasil doa, pengorbanan dan sokongan ibu bapa, ahli keluarga, pendidik serta seluruh warga universiti.

“Jadikanlah kejayaan hari ini sebagai permulaan untuk membalas budi, bukan semata-mata dengan wang atau harta benda, tetapi dengan menjadi manusia yang berakhlak mulia dan mencapai kejayaan seterusnya.

“Terus kekalkan hubungan dengan alma mater. Kembalilah ke UMPSA dengan pengalaman, idea dan kesediaan untuk membimbing generasi seterusnya,” katanya.

Beliau berharap agar para graduan membawa ilmu, kemahiran dan nilai yang diperoleh di UMPSA untuk membina masa depan lebih baik serta menjadi generasi yang berani memimpin dan mencorakkan perubahan demi kemajuan masyarakat dan negara.

Pada Majlis Konvokesyen Ke-21 tahun ini, UMPSA meraikan seramai 3,345 graduan daripada pelbagai peringkat pengajian, termasuk 121 graduan antarabangsa dari 17 negara.

Oleh : Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri