Usaha, tabah dan pengorbanan, rahsia terbesar Mohamad Akib peroleh kejayaan
GAMBANG, 29 Oktober 2024 – Mohamad Akib Baharom bersyukur dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Pembelajaran Sepanjang Hayat UMPSA Advanced - Program Profesional Eksekutif pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19 baru-baru ini.
Sepanjang mengikuti tempoh pengajian di UMPSA, beliau menghadapi pelbagai cabaran dan kekangan.
“Saya telah berjaya menamatkan Master Eksekutif Pengurusan Korporat dan menerusi pembelajaran di UMPSA, saya dapat mengawal selia operasi korporat, meneroka pasaran baharu yang seiring dengan perkembangan industri serta merangka pelan komunikasi strategik yang lebih mampan dalam menerajui syarikat,” ujarnya.
Beliau yang sentiasa mencabar diri melangkaui kemampuan dan mencari idea baharu tanpa berasa selesa dengan keadaan semasa menjadi rahsia kejayaannya selama ini.
“Semoga dengan kejayaan dan pencapaian saya ini dapat diinspirasikan kepada semua golongan usia bahawasanya menimba ilmu tiada had usia dan jawatan yang tertentu selagi kita berjalan di muka bumi Allah ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Ain Aquaculture yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK), 3.98.
Dalam kesibukan sebagai pengemudi utama syarikat, Mohamad Akib terus tekad untuk aktif dalam aktiviti kemasyarakatan antaranya, sentiasa mendapatkan kolaborasi dari agensi-agensi kerajaan seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Yayasan Kebajikan Anaka-anak Yatim (YAATIM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS Kelantan) dalam melaksanakan program-program seperti Mobilisasi Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) dan Program Menyantuni Warga Emas Peringkat Daerah Tumpat.
Disiplin yang ditunjukkan dalam setiap aktiviti membuktikan betapa seriusnya beliau dalam mencapai matlamat organisasi.
Begitu juga sikap amanah dan pemurah beliau dalam berkongsi ilmu dan sumber juga patut dipuji.
Mohamad Akib juga amat menitikberatkan hal keagamaan di mana beliau menggalakkan kelas-kelas agama, kelas mengaji al-Quran dan tajwid serta tadarus al-Quran.
Baginya, ia amat penting kerana kejayaan yang paling bermakna adalah kejayaan dunia dan akhirat.
Disediakan oleh: Mohammad Syafiq Syahmi Suhaimi, UMPSA Advanced
- 309 views