Aidilfitri 2025 - Mungkinkah ‘Raya Mengejut’ Lagi?
Ketika sepatutnya umat Islam bersedih untuk meninggalkan Ramadan bahkan sewajarnya meningkatkan amal ibadah memburu Lailatul Qadar, ada juga yang lebih berminat untuk membahaskan adakah mungkin berlaku fenomena raya mengejut lagi tahun ini, seperti yang pernah berlaku pada tahun 2022.
Berbeza dengan kalendar ‘kuda’/Cina yang boleh ditentukan awal bulannya dengan hitungan matematik (hisab), kalendar Hijrah perlu ditentukan berdasarkan kenampakan anak bulan.
Di Malaysia, dengan penyelarasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan cerapan Jabatan Mufti setiap negeri dengan sokongan teknikal dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), penentuan hilal dilakukan menggunakan kaedah rukyah dan hisab berdasarkan Kriteria Imkanurrukyah (KIR), iaitu semasa matahari terbenam pada hari cerapan, ketinggian hilal perlu berada melebihi 3° daripada ufuk, sementara jarak lengkung pula melebihi 6.4°.
Cerapan hilal Syawal tahun akan dilaksanakan pada hari Ahad 30 Mac 2025. Cerapan tahun ini agak menarik. Ini kerana data mendapati hilal berada pada ketinggian sekitar 11° sementara jarak lengkung pula sekitar 13°, bergantung kepada lokasi, jauh melebihi Kriteria Imnakurrukyah. Ijtimak berlaku pada 6:58 petang 29 Mac 2025, menjadikan umur hilal ketika bermulanya tempoh cerapan 30 Mac 2025, berusia sekitar 25 jam.
Dalam keadaan begini, berkemungkinan besar anak bulan pada hari Ahad ini boleh kelihatan dalam mudah, bergantung kepada pelbagai faktor terutamanya faktor cuaca. Bahkan dengan faktor pergerakan bulan, ada kemungkinan hilal boleh dilihat sebelum Maghrib. Dalam kitab Fatawa al-Ramli (2:78), dinukilkan pandangan al-Shafi’iyah yang menyatakan hilal yang kelihatan pada waktu siang, tidak memberikan kesan hukum kepada penentuan awal bulan.
Adakah mungkin akan berlaku fenomena raya mengejut? Jawapannya, tidak. Ini kerana pada tahun 2022, hitungan mencadangkan raya jatuh lusa selepas tarikh cerapan, atau puasa digenapkan kepada 30 hari. Tetapi oleh kerana hilal yang amat tipis kelihatan di Labuan, maka keesokan harinya diisytiharkan raya. Maka lahirlah istilah raya mengejut, yang bagi penulis, tidak perlu digunakan istilah ini kerana Aidilfitri memang akan tetap jatuh pada 1 Syawal.
Ini berbeza dengan tahun 2025, apabila hitungan mencadangkan raya akan jatuh keesokan hari selepas cerapan, atau puasa hanya 29 hari sahaja. Maka tiadalah kejutan raya awal yang mungkin akan berlaku.
Apa pun, nantikan sahaja pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu pada hari Ahad nanti, sekitar jam 8 malam. Patuh sahaja panduan yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti, dan jangan keliru dengan sebaran hebahan, kalendar atau data yang datang daripada luar, kerana mungkin ia dicipta untuk kegunaan negara lain, atau bagi tujuan mengelirukan umat Islam.
Taqaballahu minna wa minkum.

E-mel: irfan@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 436 views