Skip to main content

Latar Belakang Sejarah Tuntutan Sulu Ke Atas Sabah

Jika disebut Sabah ‘negeri di bawah bayu’ siapa yang tidak kenal. Penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang mengandungi Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura merupakan suatu kejayaan bagi wilayah ini untuk bergabung dalam persekutuan yang lebih besar telah memberikan impak kepada pembangunan ekonomi dan politik di rantau ini. Hasilnya Malaysia telah dikenali di mata dunia sebagai negara termaju dalam kalangan negara ASEAN. Pemisahan Singapura dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965 tidak menghalang Malaysia untuk terus menyinar di peringkat antarabangsa. 

Kita memahami bahawa sudah pasti ramai yang ingin mengetahui mengenai sejarah latar belakang tuntutan Sulu ke atas Sabah. Ini memandangkan beberapa isu yang berbangkit pada masa kini (hangat sekitar 2022 hingga 2023) sangat berkaitan dengan perisitiwa sejarah lampau. Di sinilah pentingnya sejarah dalam pembangunan negara bangsa. Tanpa mengetahui sejarah, kita tidak mampu untuk memahami kedudukan perkara yang sebenar kerana sejarahlah titik bermulanya sesuatu peristiwa atau isu. Kepada generasi muda Malaysia yang tidak tahu hujung pangkal tentang isu ini, diharap penulisan ini akan memberi penjelasan untuk anda semua agar merasa bertanggungjawab untuk menjaga kedaulatan negara pada masa kini dan masa akan datang. 

Filipina membuat tuntutan terhadap Sabah kerana Kesultanan Sulu, yang berpusat di Filipina, mendakwa memiliki hak ke atas Sabah. Dalam hal ini, Kesultanan Sulu juga mendakwa selain Sabah, beberapa wilayah lain juga menjadi hak mereka seperti Tawi-tawi, Palawan, Basilan, Jolo, Semenanjung Zamboanga dan Basilan di Filipina serta Kepulauan Spratly juga didakwa sebagai hak Kesultanan Sulu.

Dari segi sejarah, asas kepada tuntutan Sulu ke atas Sabah adalah bersandarkan kepada perjanjian pajakan yang ditandatangani oleh Sultan Jamalul ‘Azam dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent daripada Syarikat British Borneo Utara (SBBU) pada 22 Januari 1878. Perjanjian ini termeterai bagi memastikan Kesultanan Sulu tidak melakukan kekacauan di Borneo Utara. Ia terpakai selagi pihak Overback atau wakilnya membayar wang serahan sebanyak $3000 setiap tahun dan hanya terbatal sekiranya pembayaran tidak dilakukan selama tiga tahun berturut-turut. Walau bagaimanapun, Kesultanan Sulu telah menganggap Borneo Utara adalah hak miliknya. 

Pada tahun 1885 telah termeterai Protokol Madrid yang merupakan perjanjian antara Britain, Sepanyol dan Jerman. Dalam hal ini, Sepanyol yang menaungi Filipina  dan wilayah Kesultanan Sulu telah mengiktiraf pendudukan British dan melepaskan semua tuntutannya ke atas Borneo Utara. 

Pada tahun 1915, Perjanjian Carpenter telah ditandatangani antara Kesultanan Sulu dan Amerika Syarikat. Sultan Sulu dikatakan telah melepaskan segala kuasanya kepada pentadbiran Amerika manakala melalui Konvensyen Washington 2 Januari 1930, British dan Amerika Syarikat yang waktu itu menjadi penaung Filipina melakukan perjanjian bagi penetapan sempadan antara Borneo Utara dan Filipina.

Dalam tempoh antara tahun 1921 hingga 1930, Kesultanan Sulu sentiasa meminta SBBU agar menambahkan bayaran tahunan kepada mereka, namun SBBU menolak tuntutan tersebut. Pada tahun 1930, Kesultanan Sulu melakukan pula tuntutan untuk memiliki sebidang tanah di Sandakan juga telah ditolak oleh SBBU. Pada 7 Jun 1936, Sultan Jamalul Kiram II telah mangkat dan ini meredakan seketika isu tuntutan mereka ke atas Borneo Utara. Walau bagaimanapun, sultan ini tidak meninggalkan waris yang sah menyebabkan berlaku sekali lagi pertikaian tentang bayaran tahunan sebanyak $5,300.

1936: Keputusan Penghakiman Macaskie - Kemangkatan Sultan Jamalul Kiram II pada 7 Jun 1936 telah meredakan seketika isu tuntutan ke atas Borneo Utara. Walau bagaimanapun, perbalahan muncul dalam kalangan kerabat diraja berkenaan mengenai penentuan hak penerimaan bayaran tahunan sebanyak $5,300 memandangkan sultan tersebut tidak meninggalkan waris yang sah. Penghakiman Macaskie telah menyelesaikan masalah ini dengan membahagikan wang tersebut mengikut kedudukan waris dan memutuskan bahawa hak tuntutan waris Kesultanan Sulu hanyalah pada ‘wang serahan’. 

Pada tahun 1946, SBBU telah menyerahkan haknya ke atas Borneo Utara kepada kerajaan British melalui perjanjian yang ditandatangani pada 26 Jun 1946 selepas Perang Dunia Kedua 1942 hingga 1946. Memasuki tahun 1950, ahli-ahli Dewan Senat Filipina turut campur tangan dalam isu Sulu dan Borneo Utara. Tindakan British yang menolak tuntutan waris Sultan Sulu iaitu Sultan Mohamad Amirul Ombra telah menyebabkan mereka mendesak untuk mendapatkan sokongan kerajaan Filipina di bawah pimpinan Presiden Elpidion Quirino. Antara tuntutan tersebut adalah tentang estet waris Sultan Sulu di Borneo Utara, menjadikan Borneo Utara sebagai sebahagian wilayah Filipina dan perlu membayar ganti rugi kepada waris Sultan Sulu sebanyak p500,000. Walau bagaimanapun, kesemua tuntutan ini telah ditolak. Ekoran daripada inilah anggota Dewan Senat mengemukakan cadangan agar menyelesaikan isu ini berdasarkan undang-undang tetapi hasilnya juga tiada tindakan daripada kerajaan Filipina. 

Pada tahun 1957 telah menyaksikan pembatalan terhadap Perjanjian Pajakan 1878 dan ini disampaikan sendiri oleh Sultan Esmail Kiram yang menyampaikan pembatalan Surat Pajakan 1878 tersebut pada 25 November 1957 kepada Duta British di Manila. Beliau turut menyampaikan hasratnya untuk mengadakan rundingan baharu terhadap Borneo Utara. Duta British Gabriel G.L. Clutton dilihat tidak melayan notis tersebut memandangkan Esmail Kiram tidak mempunyai kuasa untuk menamatkan pajakan 1878 tersebut. Alasan mereka, Borneo Utara telah dipajak selama-lamanya dan waris Sultan Sulu hanya layak menerima wang serahan sahaja.

Pengumuman gagasan pembentukan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah untuk menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak, Brunei dan Singapura pada 27 Mei 1961 telah mengejutkan waris Sultan Sulu dan kerajaan Filipina. 

Ini telah menimbulkan ketakutan kepada pihak waris Sulu iaitu Puteri Tarhata Kiram akan kehilangan Borneo Utara akibat pembentukan Malaysia. Oleh itu, Puteri Tarhata Kiram sekali lagi membuat tuntutan ke atas wilayah Borneo Utara tersebut kepada Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina. Tuntutan beliau telah mendapat sokongan daripada akhbar–akhbar Filipina sehingga mendesak Presiden Macapagal agar menuntut Borneo Utara. 

Pada 23 April 1962, Dewan Perwakilan Filipina telah meluluskan usul ‘Resolusi Ramos’ yang memberi kuasa kepada Presiden Republik Filipina untuk mengambil langkah perlu bagi mendapatkan semula Borneo Utara. Pembentukan Malaysia menarik semula minat kerajaan Filipina tentang isu Borneo Utara dan mendapatkan kembali Borneo Utara. Oleh itu, pada 30 April 1962, Presiden Macapagal mengiktiraf Esmail Kiram sebagai ‘Putera Mahkota’ yang baharu dan mengiktiraf Kesultanan Sulu sebagai pemimpin berdaulat di Borneo Utara. Kesungguhan kerajaan Filipina ini dapat dilihat apabila Setiausaha Luar Filipina, Emmanuel Pelaez mengadakan perbincangan dengan Tunku tentang isu Borneo Utara. Namun ditolak oleh Tunku dengan mengatakan bahawa kes Borneo Utara adalah kes antara Filipina dengan Britain.  Dalam hal ini, Tunku menegaskan bahawa Tanah Melayu akan menerima Borneo Utara dalam Persekutuan Malaysia apabila Borneo Utara sudah merdeka dan bebas dari tuntutan Filipina. Kerajaan British tetap berkeras hak milik British ke atas Borneo Utara adalah tidak boleh dipertikaikan. 

Tuntutan Presiden Macapagal ke atas Borneo Utara tetap diteruskan. Ini menyebabkan berlakunya rundingan British-Filipina pada 26 Jun 1962. British telah meminta agar Filipina menghentikan tuntutan terhadap Borneo Utara. Keadaan ini telah menimbulkan reaksi penduduk Borneo Utara yang mengutuk tindakan Filipina dan meminta kerajaan British agar menolak permintaan dan tuntutan Sulu jika mereka ingin terus mendapat sokongan penduduk Borneo Utara. Kes ini telah dibawa ke Majlis Pertubuhan Bangsa–bangsa Bersatu pada 27 September 1962 untuk menyelesaikan pertikaian tersebut. Tetapi perbincangan hanya terbatas kepada aspek keselamatan dan waris Kesultanan Sulu sahaja tanpa isu wilayah Borneo Utara. 

Pada tahun 2017, kumpulan Sulu sekali lagi mengusulkan untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada tahun 1878. Mereka masih lagi tidak puas hati lalu mendapatkan timbang tara berhubung perkara berkenaan di Sepanyol dan akhirnya usaha mereka berjaya.  

Pada Februari 2022, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang tara negara itu, Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan sebanyak AS$14.92 bilion kepada pihak yang mendakwa sebagai waris kumpulan Sulu. Perintah itu dikeluarkan selepas Malaysia didakwa melanggar Perjanjian 1887 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent yang mewakili syarikat British Utara Borneo selepas menghentikan pembayaran wang pemisah (pampasan) berjumlah RM5,300(AS$1,201) setahun sejak 2013, selepas berlakunya pencerobohan bersenjata di Sabah.

Pada Julai 2022, peguam pihak yang menuntut itu dilaporkan merampas aset syarikat minyak dan gas milik Malaysia, Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion). Namun dalam reaksinya, Petronas memaklumkan sudah melupuskan dua asetnya di Azerbaijan dan hasilnya sudah dipulangkan.

Pada bulan Januari 2023, Malaysia telah memperoleh kemenangan mengatasi individu yang mendakwa sebagai waris kepada Sultan Sulu apabila pada 25 Januari 2023, mahkamah di Luxembourg mengetepikan perintah penahanan (attachment order) yang dipohon pihak terbabit. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, perintah penahanan yang diketepikan itu dipohon berasaskan dua penganugerahan timbang tara (purported arbitral awards) yang dikeluarkan oleh penimbang tara yang dilantik secara tidak sah iaitu Dr. Gondoza Stampa. Dalam hal ini, Dr. Stampa menganugerahkan kepada penuntut sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dan Malaysia membantah secara konsisten prosiding timbang tara yang sudah dirancang awal oleh penuntut. Oleh itu, Malaysia akan mengambil segala tindakan perundangan yang ada untuk membatalkan pelantikan Dr. Stampa serta 'anugerah' yang diberikan. Ekoran daripada itu, Mahkamah Sepanyol yang melantik Dr. Stampa telah membatalkan pelantikan itu secara retrospektif dan 'preliminary award' yang dikeluarkannya di Madrid. Mahkamah Perancis juga menggantung penguatkuasaan 'final award' yang dikatakan dikeluarkan oleh Dr. Stampa di Perancis.

Justeru itu, Malaysia telah membuat permohonan kepada Mahkamah Luxembourg untuk mendapatkan 'relif interim' supaya perintah penahanan itu diketepikan. Hasilnya, pada 5 Disember 2022, hakim Mahkamah Luxembourg memutuskan mengetepikan perintah penahanan tersebut. 

Pada tahun 2023 ini juga menyaksikan Malaysia melancarkan sebuah laman sesawang yang diberi nama Malaysia-SuluCase.gov.my bagi memastikan penyebaran maklumat kes tersebut adalah tepat sekali gus menafikan penyebaran berita yang tidak benar dan palsu kepada orang ramai. 

Antara isu yang perlu diberi perhatian adalah:

a.    Pembayaran Cession Money (bayaran penyerahan dan bukan pembayaran sewa) sebanyak USD 5000 setahun kepada waris Sulu adalah hakikat bahawa Sabah telah diserahkan kepada Malaya. Ini bermakna waris Sultan Sulu mengakui bahawa Sabah telah diserah (ceded), dan bukannya dipajak (leased), kepada British North Borneo Company.

b.    Suruhanjaya Cobbolt tahun 1962 telah melaksanakan bancian dan mendapati majoriti penduduk Sabah dan Sarawak mahu merdeka di dalam Malaysia. 

c.    Kesultanan Sulu dianggap telah tamat sebaik sahaja Sultan Jamalul Kiram II menandatangani Perjanjian Carpenter pada 22 Mac 1915 yang menyerahkan segala kuasa politik beliau kepada Amerika Syarikat.

d.    Kerajaan Filipina telah berhenti mengiktiraf Sultan Sulu sejak kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram pada tahun 1986. Filipina hanya mengiktiraf Sultan Sulu pada 24 Mei 1974 semasa Presiden Filipina pada ketika itu iaitu Ferdinand Marcos. Beliau telah mengeluarkan Memorandum Order No. 427 yang menabalkan Mohd. Mahakuttah A. Kiram sebagai sultan. Selepas kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram, kerajaan Filipina tidak pernah lagi mengiktiraf mana-mana individu sebagai Sultan Sulu.

e.    Perjanjian pajakan yang ditandatangani antara British North Borneo Company dan Kesultanan Sulu itu telah diatasi oleh Protokol Madrid 1885. Kerajaan Sepanyol telah melepaskan kedaulatan ke atas wilayah-wilayah benua Borneo yang dimiliki, atau yang telah dimiliki pada masa lampau, oleh Sultan Sulu (Jolo) kepada kerajaan British melalui perjanjian dengan Jerman dan Great Britain pada 7 Mac 1885.

Malaysia mendakwa tuntutan Sabah oleh Filipina adalah tidak berasas dan Sabah secara sah milik Malaysia sejak tahun 1963 lagi. Apa yang nyata, kes tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah adalah berpaksi kepada undang-undang (legal). 

Justeru itu, perkembangan ini harus dilihat dari aspek undang-undang dan bukannya tuntutan politik semata-mata. Bukan suatu tugas yang mudah untuk Malaysia membawa perkara ini ke timbang tara antarabangsa yang pastinya membabitkan undang-undang dan keadilan pihak antarabangsa. 

Selain itu, Malaysia juga memerlukan sokongan dari segi kewangan, usaha dan proses dokumentasi yang banyak. Dalam hal ini, Malaysia perlu melakukan kerja keras bagi memastikan dokumentasi adalah lengkap dan mencukupi untuk membuktikan Sabah adalah negeri berdaulat di bawah Malaysia. 

Sumber: https://orangkata.my/isu-semasa/kes-tuntutan-ke-atas-sabah-
Sumber: https://orangkata.my/isu-semasa/kes-tuntutan-ke-atas-sabah-

 

Sumber: https://billyinfo.blogspot.com/2013/03/
Sumber: https://billyinfo.blogspot.com/2013/03/
Belakang Sejarah Tuntutan Sulu ke Atas Sabah

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
e-mel: hasnah@ump.edu.my

Reports by:
Admin UMP News