Malaysia Madani, Jiwa Merdeka Mendepani Era Digital
Pengertian ‘Madani’ itu adalah suatu sintesis gaya Malaysia yang menggabung jalin amalan sedia ada dengan kaedah baharu yang direka untuk menangani isu-isu baharu dan ketidakpastian. Enam nilai teras Madani dicerakin sebagai kerangka dasar dan falsafah yang berkait rapat dan bersepadu dengan setiap satu menguatkan yang lain. Enam teras tersebut adalah kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan. Dalam hal ini, Madani diilhamkan berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan dengan mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat pemulihan melalui Reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur. Tema ‘Malaysia Madani’ merupakan tunjang kemakmuran dan kemajuan negara melalui sokongan enam nilai teras utama yang disebutkan tadi. Aspirasi Madani perlu diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat dan pemimpin negara.
Tema sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini adalah Malaysia Madani, Jiwa Merdeka. Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Jiwa Merdeka merupakan suatu keadaan yang menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif. Kebebasan bukan hanya pembebasan daripada penjajah tetapi juga elemen-elemen negatif yang boleh merosakkan pemikiran dan akidah masyarakat.
Menurut Pakar Perlembagaan Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz, beliau melihat tahap kesedaran dan penghayatan masyarakat terhadap elemen Madani, kemerdekaan dan patriotism masih memerlukan pengukuhan dan kesedaran daripada semasa ke semasa walaupun ia tidak berada pada tahap yang paling rendah. Ini memandangkan era digital yang dibawa oleh arus globalisasi memberikan cabaran yang kuat untuk negara terus menguatkan benteng jiwa merdeka yang berpaksikan elemen Madani.
Beberapa elemen tidak baik yang dibawa oleh arus globalisasi adalah individualistik, penghakisan nilai-nilai murni, budaya Timur dan patriotism, hedonism, hiburan melampau serta ketagihan pada gajet tanpa kawalan. Antara perkara yang perlu diberikan pengukuhan bagi membendung masalah ini adalah perlunya kepada penghayatan dan pemahaman yang tinggi terhadap agama. Ini adalah perkara asas bagi mencapai salah satu teras Malaysia Madani iaitu kesejahteraan. Masyarakat yang sejahtera adalah masyarakat yang mengamalkan ajaran agama dalam setiap perbuatan dan tindakan. Apabila agama dijadikan landasan, maka banyak elemen negatif globalisasi dapat dielakkan.
Selain itu, perlunya kepada usaha pengekalan adat dan warisan yang menjadi identiti negara ini. Era globalisasi menyaksikan kemasukan budaya dan pengaruh luar tanpa batasan dan tapisan. Perkembangan media sosial menjadikan generasi muda mudah terpengaruh dengan budaya luar tanpa kawalan. Budaya Timur yang kaya dengan adat resam turun temurun mulai luntur seperti adat berpantun, adat istiadat perkahwinan, pakaian tradisional, permainan tradisional, tarian tradisional serta bahasa ibunda setiap kaum boleh hilang jika tidak dijaga dan dipertahankan. Ini sangat berkaitan dengan prinsip kemampanan Malaysia Madani.
Seterusnya, adalah perlu bagi setiap lapisan masyarakat mempraktikkan penghayatan dan pengamalan etika dan adab yang baik. Tidak dinafikan akhir-akhir ini banyak berlaku perlanggaran etika dan adab dalam kalangan masyarakat seperti pecah amanah, rasuah, tidak berintegriti, penipuan, fitnah, jenayah, tidak menghormati orang tua, penganiayaan dan sebagainya yang mana ini sangat berkait rapat dengan prinsip kesejahteraan, hormat dan ihsan yang ingin dicapai oleh masyarakat Madani.
Tidak lupa, perlunya pengamalan nilai integriti yang tinggi oleh semua lapisan masyarakat bagi membendung kegiatan rasuah, pecah amanah dan tidak jujur dalam sektor perkhidmatan atau sektor swasta.
Pentingnya penghayatan ilmu. Dewasa kini semakin ramai generasi muda yang terpengaruh dengan budaya mengumpul kekayaan daripada mengejar dan mengumpul ilmu. Perkembangan ini sangat tidak baik kepada pembangunan negara pada masa akan datang. Budaya cintakan ilmu semakin luntur apabila ada individu yang menyebarkan dakyah tanpa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pun boleh kaya dan berjaya. Ini akan menjadi stigma kepada generasi muda yang masih dahagakan ilmu untuk meneruskan perjuangan mencari ilmu kerana menganggap tanpa ada ilmu atau kelulusan yang tinggi, mereka tetap boleh berjaya. Untuk generasi muda, kejarlah ilmu sehingga menara gading kerana untuk jadi kaya dan berjaya anda perlu ada ilmu yang tinggi. Untuk melakukan sesuatu perlu ada ilmu. Ini sangat bersesuaian dengan prinsip daya cipta Malaysia Madani iaitu negara memerlukan generasi yang mampu menggunakan daya cipta sendiri tanpa menggunakan pakar asing dalam pembangunan negara.
Meskipun negara berada di era digital, janganlah dilupakan pada usaha mendokumentasikan sejarah negara. Dalam hal ini, perlunya usaha ke arah pendigitalan dokumen-dokumen berkaitan negara setiap masa bermula dari zaman sebelum penjajahan, semasa penjajahan dan selepas penjajahan. Ini sangat bertepatan dengan prinsip kemampanan Malaysia Madani. Jadikan peristiwa Tuntutan Sulu ke atas Sabah, pertikaian Malaysia-Singapura berkaitan Pulau Batu Putih sebagai pengajaran agar negara tidak mengabaikan usaha mendokumentasikan dan menyimpan dengan baik dokumen-dokumen yang berkaitan dengan kedaulatan negara. Simpan dokumen tersebut untuk kegunaan negara pada masa akan datang seandainya ada pihak-pihak tertentu yang cuba merobek kedaulatan dan kemerdekaan negara ini.
Bagi masyarakat majmuk seperti Malaysia, perpaduan dan integrasi kaum perlu dipelihara setiap masa. Perkembangan media sosial amat mudah menularnya anasir tidak baik yang boleh menjejaskan perpaduan negara. Asas kemakmuran negara ini adalah perpaduan kaum. Era digital semuanya amat mudah, begitu juga dengan perpaduan rakyat mudah luntur andainya masyarakat tidak dididik dengan ilmu kemanusiaan seperti etika dan peradaban.
Akhir sekali, semua lapisan masyarakat sama ada pemimpin atau rakyat, perlu mempunyai semangat patriotism yang tinggi. Semangat ini penting dan perlu ada dalam diri semua warganegara agar apa yang dilakukan adalah untuk kebaikan bersama dan bukan untuk kepentingan individu tertentu. Rakyat adalah elemen penting dalam sebuah negara maju dan berdaulat. Manakala pemimpin adalah pengemudi pemerintahan negara. Jika setiap satu tidak ada semangat sayangkan negara, negara boleh hilang kedaulatan dan kemerdekaan. Pembangunan negara juga tidak dapat dilaksanakan.
Pantun Malaysia Madani
Malaysia Madani, jiwa merdeka
Rakyat bersatu tanpa prasangka
Malaysia maju bukan direka-reka
Rujuk sejarah Malaysia merdeka
Malaysia Madani, jiwa merdeka
Hasil titik peluh moyang-moyang kita
Penjajahan, perjuangan penuh derita
Tanpa mereka siapalah kita
Malaysia Madani, jiwa merdeka
Wahai rakyat janganlah leka
Simpanlah ilmu sejarah negara
Agar kedaulatan sentiasa terjaga
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel : hasnah@umpsa.edu.my
- 1389 views