SUNGAI LEMBING KINI ASET PELANCONGAN NEGERI PAHANG
Sempena Tahun Melawat Pahang 2017, apa kata anda semua datang melawat Sungai Lembing yang menyimpan seribu satu kisah sejarah sebagai kawasan perlombongan tertua di Malaysia. Sungai Lembing merupakan sebuah pekan kecil yang terletak lebih kurang 45km dari bandar Kuantan, Pahang dan perjalanan mengambil masa 40 minit. Kewujudan pekan Sungai Lembing adalah sangat berkait rapat dengan kemunculan syarikat perlombongan yang menjalankan operasi perlombongan sekitar tahun 1906. Terdapat pelbagai versi tentang bagaimana Sungai Lembing mendapat nama. Ada versi yang mengatakan ia berasal dari kisah sebatang lembing yang digunakan untuk menongkah arus deras di Sungai Kenau. Ada juga versi yang mengatakan Sungai Lembing mendapat nama dari peristiwa seekor kijang yang mana dikatakan sekumpulan orang asli telah melontar sebatang lembing kepada kijang tersebut. Demi menyelamatkan diri kijang telah terjun dan hilang di Sungai Kenau. Walau apapun kisah disebalik nama Sungai Lembing, Sungai Lembing, suatu ketika dulu dikenali sebagai ‘El Dorado Timur’, di antara bandar yang terkaya dengan hasil pribumi.
Dari segi sejarah, industri perlombongan di Sungai Lembing bermula seawal tahun 1886 oleh syarikat The Pahang Mining Company Limited (PCCL) yang berpusat di London. Dalam hal ini, syarikat ini adalah kepunyaan pemodal-pemodal British, tetapi pada tahun 1979 syarikat tersebut telah bertukar tangan dan majoriti shares adalah dimilki oleh rakyat Malaysia dan nama syarikat ini juga telah ditukar dengan nama baru iaitu Syarikat Pahang Consolidated Public Limited Company (PCPLC). Syarikat ini menjalankan operasi perlombongannya di bawah tanah (Lode Tin Mine). Perlombongan ini telah mencari gali sehingga kedalaman mencapai 2,000 kaki ke perut bumi. Lubang atau terowong dibuat untuk mengeluarkan batu bijih dan telah ditebuk sejauh 400 batu jauhnya. Operasi lombong ini merupakan satu-satunya lombong bawah tanah yang terbesar di Malaysia. Lombong ini telah berjalan hampir-hampir 100 tahun. Riwayat perlombongan bijih timah ini tidaklah lama memandangkan pada tahun 1986 ia terpaksa ditutup atas sebab-sebab tertentu. Antaranya adalah disebabkan oleh penurunan permintaan timah dunia.
Tanpa diduga, tinggalan perlombongan bijih timah telah menjadikan Sungai Lembing sebagai salah satu tarikan pelancongan sama ada dari luar negara ataupun kepada penduduk setempat. Kini Sungai Lembing makin dikenali sebagai tempat pelancongan disebabkan tapak perlombongan telah menjadi sebahagian dari tinggalan sejarah yang sangat berharga. Bilangan pengunjung ke Sungai Lembing memperlihatkan ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sama ada dari pelancong tempatan, luar negara dan juga pelajar. Ini dapat dilihat kepada statistik bilangan pengunjung ke Sungai Lembing dari tahun 2001-2015 di bawah.
Statistik Jumlah Pengunjung ke Sungai Lembing 2001-2015
TAHUN |
JUMLAH PENGUNJUNG |
2001 |
1,456 |
2002 |
33,198 |
2003 |
196,337 |
2004 |
48,544 |
2005 |
45,264 |
2006 |
42,134 |
2007 |
47,658 |
2008 |
52,881 |
2009 |
64,285 |
2010 |
60,123 |
2011 |
62,889 |
2012 |
72,767 |
2013 |
85,415 |
2014 |
68,881 |
2015 |
70,965 |
Sumber: Ikhsan Muzium Sungai Lembing
Berdasarkan kepada statistik tersebut, ia menggambarkan bahawa kedatangan pelancong ke Sungai Lembing amat memberangsangkan setiap tahun di mana yang paling ramai menerima pelancong adalah pada tahun 2003 yang mencatatkan kedatangan pelancong sebanyak 196,337 orang pengunjung. Ini merupakan angka yang patut dibangga oleh kerajaan negeri Pahang kerana Sungai Lembing mampu menarik pelancong yang ramai dan ini sudah tentunya menyumbang kepada ekonomi negeri Pahang. Perlombongan ini adalah menjadi warisan tunggal yang telah wujud di negara ini dan ia perlu dikekalkan sebagai salah satu tempat pelancongan sejarah yang unik.
Perlombongan bijih timah di sini suatu masa dahulu telah menjadikan Sungai Lembing terkenal sebagai daerah tinggalan sejarah di negeri Pahang selain Lipis, Temerloh dan Pekan. Ini menjadikan Sungai Lembing sebagai satu daya tarikan pelancong ke daerah Kuantan. Kedudukan sungai Lembing yang sangat strategik dan berdekatan dengan bandar Kuantan memudahkan para pelancong untuk mendekati Sungai Lembing. Di samping menikmati dan mengamati tinggalan sejarah di Sungai Lembing, para pengunjung dan pelancong juga berpeluang untuk melihat panorama matahari naik yang sangat menarik. Ini bermakna di samping menyediakan santapan warisan sejarah lama kepada pengunjung Sungai Lembing juga mempunyai beberapa tarikan panorama yang lain. Adalah tidak mustahil jika kerajaan mengangkat Sungai Lembing sebagai daerah bersejarah sebagaimana di Frasers Hill dan Lipis yang mempunyai tarikan tinggalan sejarah yang tersendiri.
Apa yang unik tentang lombong bjih di sini adalah ia mempunyai terowong yang terpanjang dan sempit yang menjadi sumber rezeki penduduk Sungai Lembing pada suatu masa dahulu. Kedalaman lombong ini yang mencecah sedalam 700 meter dengan ketinggian 12 hingga 200 kaki, dan panjangnya sekitar 322 kilometer telah menjadikan lombong bijih timah Sungai Lembing sebagai lombong yang terdalam di dunia yang beroperasi secara manual dan letupan tanpa menggunakan peralatan moden.
Sebagaimana yang telah diketahui umum, Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang bangsa, agama dan kepercayaan. Dengan kata lain, Malaysia adalah contoh kepada kewujudan masyarakat majmuk yang unik di dunia. Ini disebabkan walaupun berbilang agama dan kepercayaan, masyarakat di negara ini mampu hidup aman dan damai. Masyarakat majmuk yang wujud di sungai Lembing boleh dijadikan contoh di mana kaum Melayu, Cina dan India datang ke sini suatu masa dahulu untuk mencari pekerjaan. Tumpuan pelbagai bangsa ke daerah ini akhirnya telah mewujudkan perkampungan yang terdiri dari pelbagai bangsa yang mempunyai satu tujuan iaitu untuk memajukan ekonomi dan menaikkan taraf hidup keluarga. Walaupun akhirnya lombong bijih ini ditutup ia akhirnya telah meninggalkan penempatan penduduk pelbagai bangsa di sini. Akhirnya wujudlah bandar Sungai Lembing sebagai tinggalan penjajah.
Sedar atau tidak jika kita berada di Sungai Lembing, ia seperti berada di zaman silam dengan adanya bangunan kayu usang dan bangunan lama. Ada juga penduduk yang masih mengekalkan senibina tradisional lama. Dalam hal ini kewujudan bangunan lama seperti ini akan menjadi bukti kepada era atau peristiwa bersejarah pada zaman penjajahan British di negeri Pahang. Segala peninggalan penjajah baik seperti jambatan, bangunan, dapat mengimbas kembali sejarah perlombongan bijih timah di sini suatu masa dahulu. Justeru itu, bangunan lama tersebut telah diubah suai dan dijadikan muzium iaitu Muzium Sungai Lembing menjadi pusat pelancongan di negeri Pahang. Secara amnya, Muzium Sungai Lembing didirikan bagi mengimbau kegemilangan Sungai Lembing pada suatu masa dahulu. Bandar ini dikenali sebagai EL-Dorado Timur di Tanah Melayu kerana di sinilah terletaknya sebuah perkampungan pegawai Inggeris yang istimewa di Lembah Sungai Kenau. Muzium ini ditempatkan di sebuah bangunan bekas kediaman Pegawai lombong itu sendiri yang masih mengekalkan ciri-ciri senibina zaman Inggeris. Muzium Bijih Timah Sungai Lembing mempamerkan koleksi peralatan perlombongan yang pernah digunakan untuk melombong bijih di bawah tanah.
Pengubahsuaian bangunan lama bagi mengimbau kenangan silam ini adalah biasa di dapati di negara Eropah seperti Perancis, England, Itlai dan serta bandar-bandar bersejarah seperti di Venice, Florence, Armsterdam dan lain-lain lagi. Percaya atau tidak di Sungai Lembinglah terdirinya panggung wayang pertama di Asia, hospital pertama di negeri Pahang juga terletak di Sungai Lembing dan kini lombong bijih terdalam di dunia. Selain itu, Sungai Lembing mempunyai tujuh jambatan gantung yang menyambungkan penduduk kampung ke pusat bandar serta kewujudan rainbow waterfall.
Kemunculan Bandar Sungai Lembing sebagai tempat tinggalan warisan perlombongan bijih merupakan suatu sumbangan yang tidak ternilai kepada sektor perlancongan di negeri Pahang. Ini memandangkan Sungai Lembing suatu ketika dahulu adalah menjadi tempat perlombongan bijih terdalam di dunia yang menggunakan kaedah manual semata-mata. Ia perlu dijadikan tatapan generasi baru hari ini kerana negara ini pernah diangkat oleh dunia luar dari sektor perlombongan bijih dan tinggalan ini perlu dikekalkan bagi memberi peringatan kepada mereka bahawa inilah teknologi yang dicipta oleh masyarakat tempatan pada masa dahulu yang tidak lagi dapat dilakukan oleh generasi pada hari ini.
Artikel ini disediakan oleh Dr Hasnah Bt Hussiin, Pensyarah Kanan
Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang. Emel : hasnah@ump.edu.my