Skip to main content

Tanggungjawab Bapa dalam Islam: Perspektif Tradisional dan Moden

Pendahuluan

Tanggungjawab seorang bapa dalam sesebuah keluarga Islam telah ditetapkan secara jelas melalui al-Quran dan Sunah. Namun, perubahan sosial dan tuntutan ekonomi telah merubah struktur keluarga Muslim masa kini, menyebabkan tanggungjawab bapa juga mengalami perubahan. Artikel ini membincangkan tanggungjawab tradisional dan moden seorang bapa dari perspektif Islām, menekankan evolusi tanggungjawab seorang bapa dengan mengekalkan nilai-nilai Islam. 

Tanggungjawab Tradisional Bapa dalam Keluarga Islam

Ajaran Islam mendefinisikan bapa sebagai pemberi nafkah utama, pelindung, dan pemimpin dalam keluarganya. Tanggungjawab ini telah ditetapkan dalam al-Quran dan Sunah yang mencerminkan pembahagian tanggungjawab secara semula jadi mengikut jantina:

1.    Pemberi Nafkah. Al-Quran menyatakan: 

﴿ الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ﴾ (القرآن، النساء: ٣٤). 
"Lelaki (suami) adalah pemimpin bagi wanita (isteri) kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka telah memberi nafkah (kepada isteri) daripada harta mereka" (al-Quran, Surah an-Nisa’, 4:34).   

Lelaki yang dimaksudkan di atas adalah merupakan bapa atau suami sesebuah keluarga. Imam al-Qurṭubi berkata dalam tafsirannya tentang ayat al-Quran tersebut bahawa tugas utama seorang bapa tersebut adalah memberi nafkah dan membela isteri dan anaknya. Bapa tersebut diberi status kepimpinan kerana kelebihannya dalam akal fikiran dan pengurusan keluarga secara fitrah, iaitu sifat semulajadi kejadian[1]. Maka seorang bapa adalah bertanggungjawab memastikan nafqaћ atau keperluan asas keluarganya adalah mencukupi. Keperluan asas tersebut adalah seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan.   

2.    Pembimbing Agama. Seorang bapa bertanggungjawab memastikan isteri dan anak mereka membesar dengan nilai agama dan moral yang kukuh. Bapa juga perlu memastikan isteri dan anak kekal berpegang kepada ajaran Islam sambil menyesuaikan diri dengan norma masyarakat moden. Ayat al-Quran terdahulu jelas menunjukkan di samping bertanggungjawab sebagai pemberi nafkah, seorang bapa atau suami tersebut adalah juga dianggap sebagai pembimbing agama dan pelindung keluarganya. Bahkan makna pengembala (pemimpin) yang dinyatakan oleh Nabi SAW menerusi hadith baginda:  

((كلُّكم راعٍ وكلكم مسؤولٌ عن رعيَّتِه؛ الإمامُ راعٍ ومسؤولٌ عن رعيته، والرجلُ راعٍ في أهله وهو مسؤول عن رعيته، والمرأة راعيةٌ في بيتِ زوجها ومسؤولةٌ عن رعيتها، والخادم راع في مال سيده ومسؤولٌ عن رعيته)) – صحيح البخاري، رقم الحديث: ٣٠٤؛ صحيح مسلم، رقم الحديث: ١٨٢٩.

"Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu bertanggungjawab terhadap rakyatnya (orang bawahnya). Seorang lelaki (suami/ bapa) adalah pemimpin dalam keluarganya dan dia bertanggungjawab ke atas mereka. Wanita (isteri/ ibu) pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang khadam adalah pemimpin terhadap harta tuannya, dia dipertanggungjawab tentang rakyatnya" (Sahīh al-Bukhari, no. 853. Sahīh al-Muslim, no. 1829).

3.    Pelindung Keluarga. Bapa bertanggungjawab menjaga kebajikan keluarga, memastikan keselamatan mereka serta membuat keputusan penting demi kebaikan keluarganya. Inilah yang dinyatakan oleh al-‘Alqami: "Dia (bapa/suami) adalah penjaga yang diberi amanah dan berkomitmen untuk menjaga apa yang telah dipercayakan kepadanya. Maka, dia dituntut untuk berlaku adil dalam menjaganya serta memenuhi segala kemaslahatannya (tanggungannya)"[2]. 

Tanggungjawab Bapa dalam Masyarakat Moden

Dalam masyarakat moden masa kini, tanggungjawab tradisional bapa telah berkembang akibat perubahan ekonomi, tuntutan kerja, dan norma sosial masyarakat. Bapa kini memainkan tanggungjawab tambahan sambil mengekalkan kewajipan utama tersebut. 

1.    Aktif dalam penjagaan anak. Tuntutan kerja yang semakin tinggi masa kini boleh menyebabkan ramai bapa sukar meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, mengurangkan hubungan emosi dengan anak-anak. Oleh itu, seseorang bapa perlu seimbangkan di antara soal kerja dan keluarga. Bapa kini perlu juga terlibat secara aktif dalam mengurus anak, termasuk memberi makan, memandikan, dan bermain bersama mereka. Ini selari dengan contoh Rasulullah SAW yang turut membantu dalam kerja rumah: 

((عن عائشةَ أنَّها سُئِلتْ ما كان عملُ رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم في بيتِه ؟ قالت: ما كان إلَّا بشَرًا مِن البشَرِ كان يَفْلي ثوبَه ويحلُبُ شاتَه ويخدُمُ نفسَه)) – صحيح ابن حبان، رقم الحديث: ٥٦٧٥. 
"Dari Aishah, dia ditanya: Apakah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di rumahnya? Dia berkata: Dia hanyalah seorang manusia seperti manusia lain, dia biasa membaiki pakaiannya, memerah susu kambingnya, dan melayani dirinya sendiri" (Sahīh Ibn al-Ḥibbān, no. 5675). 

2.    Sokongan psikologi. Bapa masa kini perlu lebih terlibat secara emosi dengan anak-anak dan isteri mereka dalam memperkukuhkan ikatan kekeluargaan. Tahap Kecerdasan Emosi [Emotional Intelligence] didapati berkait signifikan dengan faktor keluarga seperti iklim psikologi, hubungan dengan ibu bapa, dan persepsi terhadap status kewangan keluarga[3].  

3.    Perkongsian Beban Kewangan. Kos sara hidup dan gaya hidup moden masa kini boleh menyebabkan tekanan kepada bapa yang secara tradisional bertanggungjawab sebagai penyedia utama. Hasilnya, kedua-dua ibu bapa atau suami isteri biasanya bekerja masa kini, ini mengurangkan beban bapa tersebut. Ini selari dengan prinsip kerjasama yang diajar oleh Islām kepada umatnya. Malah, masyarakat yang benar-benar Islām sebenarnya perlu juga terdiri daripada wanita yang menyertai tenaga kerja[4]. 

Suami Tidak Bekerja? 
Tanggungjawab tambahan yang dipikul oleh bapa moden mungkin kelihatan membebankan, namun ia lebih bersifat melengkapkan tanggungjawab tradisional daripada menggantikannya. Elemen seperti kerjasama, sikap saling faham memahami, reda, qanāaћ (mencukupi) dan tolak ansur di antara bapa dan ibu (suami isteri) adalah amat diperlukan dalam kehidupan berkeluarga. Inilah yang diisyaratkan dalam ayat al-Quran konsep mawaddaћ wa raḥmaћ

(مودة ورحمة): 
﴿وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ﴾ (القرآن، الروم: ٢١). 
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan hidup daripada jenismu (manusia), supaya kamu merasa tenteram kepadanya, dan Dia jadikan di antaramu rasa kasih-sayang dan belas ihsān. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir” (al-Qur’ān, Sūraћ ar-Rūm, 30:21).     

Proses kehidupan yang berlandaskan elemen-elemen di atas sudah tentu mengukuhkan hubungan kasih sayang antara pasangan, mempererat ikatan kekeluargaan, dan mengurangkan beban kewangan seorang bapa atau suami. Namun, persoalan timbul apabila seorang lelaki memilih untuk tidak bekerja dan hanya bergantung pada pendapatan isteri. Dalam Islam, suami diberikan status sebagai pemimpin (qawwam) keluarga, menjadikan kewajipan nafkah terletak di bahunya. Suami yang mengabaikan tanggungjawab ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam.  

Terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama mengenai tanggungjawab isteri dalam memenuhi nafkah keluarga. Sebahagian berpendapat, ia tidak wajib kerana pendapatan isteri adalah hak peribadinya. Namun, penulis berpendapat bahawa sumbangan isteri yang berkemampuan adalah wajar, selaras dengan sunnah Nabi SAW dan para sahabat RA, di mana isteri-isteri salafussoleh turut membantu suami dalam urusan nafkah. Malah, dalam situasi darurat seperti pendapatan suami yang tidak mencukupi, atau jika suami sakit, mengalami kemalangan, atau kehilangan pekerjaan, sumbangan isteri boleh menjadi suatu kewajipan. Ini selaras dengan maqaṣid shariah (objektif syariah) dalam menjaga nyawa dan keturunan.
   
Kesimpulan 

Tanggungjawab bapa dalam Islam telah berkembang mengikut keadaan masyarakat moden masa kini. Suami tetap sebagai pemberi nafkah, pembimbing agama, dan pelindung keluarga, manakala isteri berperanan sebagai penolong dan penasihat suami. Akhirnya, kunci kesejahteraan rumah tangga terletak pada semangat kerjasama, sikap saling memahami, reda, qanaah (merasa cukup), dan tolak ansur di antara suami dan isteri.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

((خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي)) – سنن الترمذي، رقم الحديث: ٣٨٩٥. 
"Yang terbaik di antara kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya,dan aku adalah yang terbaik kepada keluargaku." (Sunan al-Tirmīdzī, no. 3895). 

Hadis ini mengingatkan bahawa keunggulan seorang suami bukan hanya diukur melalui kemampuan memenuhi keperluan material, tetapi juga melalui sikap bertanggungjawab, kasih sayang, dan keprihatinan terhadap keluarganya. 

Rujukan

[1]    M. B. A. Al-Qurṭubiy, Tafsīr al-Qurṭubiy. Kaherah: Dār al-Shaibiy, 1952.
[2]    A. Ṭayyib Ābādī, Muḥammad Shamshu al-Ḥaqq, ’Aunu al-Ma’būd. Beirut: Dār al-Kutubi al-’Ilmiyyaћ, 1995.
[3]    R. Lekaviciene and D. Antiniene, “High Emotional Intelligence: Family Psychosocial Factors,” Procedia - Soc. Behav. Sci., vol. 217, pp. 609–617, 2016.
[4]    Asar AK, Bouhedda, and Marniwati, “The Future Studies of Women in Islāmic Jurisprudence,” J. Glob. Bus. Soc. Entrep., vol. 3, no. 5, pp. 143–151, 2016. 
 

Dr. Asar Abdul Karim 
Dr. Asar Abdul Karim

(PhD in Fiqh & Usūl al-Fiqh, IIUM)
E-mel: asar@umpsa.edu.my dan drasar2017@gmail.com
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).  

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
 

Reports by:
Admin UMP News