Skip to main content

PERUTUSAN KHAS NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG AL-SULTAN ABDULLAH ( UMPSA) SEMPENA SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI 2025/ 1446H

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ  
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Salam Sejahtera kepada semua warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang saya hormati dan kasihi.

Segala puji dan syukur hanya bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. serta ahli keluarganya, sahabat-sahabat baginda dan para tabi’in.

Alhamdulillah, dengan limpah izin-Nya jua, kita masih dipanjangkan usia dan diberikan nikmat untuk menghayati dan menjalani ibadah puasa di bulan yang penuh rahmat serta pengampunan, Ramadan Al-Mubarak. Semoga ibadah yang kita laksanakan di sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini mendapat keberkatan dan reda-Nya, Insya-Allah.

Lebih bermakna, Ramadan kali ini diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang juga merupakan Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berkenan memasyhurkan masjid UMPSA yang dinamakan Masjid Al-Jazari sempena dengan nama seorang ahli sains dan tokoh jurutera Muslim terkemuka pada abad ke-12.

Semoga semangat inovasi Al-Jazari dapat menjadi inspirasi bagi pelajar dan staf UMPSA dalam meneruskan pencapaian dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi.

Sepanjang bulan Ramadan ini juga pelbagai acara telah dirangka oleh pihak UMPSA dan antaranya program bubur lambuk, Singgah Sahur, program Kenduri Rewang, Program World #Quran Hour, program bersama pihak korporat serta agensi yang melibatkan  pelajar dan komuniti setempat.

Program Singgah Sahur UMPSA juga terus dilaksanakan setiap tahun menjelangnya Ramadan bagi mendekati universiti bersama masyarakat seiring dengan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ dan mengangkat Agenda Kesukarelawan dalam kalangan warga.

Barisan kepimpinan universiti dan Yayasan UMPSA juga berpeluang melaksanakan Program Singgah Sahur di Pekan dengan mengagihkan juadah sahur kepada petugas barisan hadapan dan anggota keselamatan, pelajar luar kampus UMPSA dan Rumah Anak-anak Yatim dan Asnaf.
 
Pihak UMPSA juga merakamkan ucapan terima kasih kepada para penyumbang terutamanya Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Lembaga Tabung Haji, Maybank Islamic Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Telekom Malaysia dan UMPSA Holdings Sdn. Bhd. serta penyumbang korporat dan individu. Semoga Allah SWT menganugerahkan ganjaran buat para penyumbang sekalian.

Dalam memperkasa pendidikan dan kebajikan pelajar, melalui Yayasan UMPSA kita telah mengagihkan sebanyak RM6.206 juta bagi pelbagai inisiatif sokongan akademik dan kebajikan. 

Dana ini disalurkan melalui pelbagai bentuk bantuan, termasuk Penajaan Biasiswa, Bantuan Zakat, Bantuan Sara Diri, Kupon Makanan serta pelaksanaan program pembangunan pelajar yang bertujuan meningkatkan nilai tambah dan daya saing pelajar.  

Menjelang Syawal ini juga kita menerima perkhabaran gembira apabila UMPSA kekal sebagai universiti pertama yang menerima Sijil Bersih daripada Jabatan Audit Negara buat kali ke-13 dan pertama dalam kalangan agensi awam bagi penyediaan Penyata Kewangan Tahun 2024. Kejayaan ini telah membuktikan kerjasama jitu dan komitmen semua pihak khususnya Pusat Tanggungjawab UMPSA yang telah melaksanakan pengurusan kewangan mengikut piawaian perakaunan antarabangsa yang ditetapkan oleh Jabatan Audit Negara. Tahniah buat semua warga UMPSA. 

Warga UMPSA yang saya kasihi, 

Usai sebulan menyambut Ramadan, kini tiba masanya untuk kita meraikan kemenangan. Marilah kita bersama-sama meraikan Syawal dengan semangat perpaduan, keikhlasan, dan rasa syukur atas segala nikmat yang dikurniakan.
Hari Raya bukan sekadar perayaan, tetapi juga lambang kesatuan dan kebersamaan dalam keluarga besar UMPSA. Dalam konteks institusi kita, kesepaduan ini penting dalam membentuk ekosistem produktiviti yang mampan.

Kita perlu terus memperkukuh struktur pentadbiran yang cekap dan dinamik bagi memastikan kelangsungan kecemerlangan universiti.  Seiring dengan Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 (UMPSA25) dan Pelan Strategik UMPSA 2026-2030 (UMPSA30) yang sedang kita rangka bagi mendasari sepanjang perjalanan kecemerlangan universiti ini, pihak universiti melaksanakan transformasi terhadap penstrukturan dengan memperkasakan bakat dan kepimpinan melalui pelan penggantian yang sistematik serta berdaya saing.

Kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada keberkesanan strategi pengurusan bakat, di mana kita perlu memastikan setiap lapisan kepimpinan dan tenaga kerja diberi peluang untuk berkembang serta menyumbang secara optimum.  

Justeru, pelaksanaan pemurnian struktur organisasi UMPSA yang dilaksanakan berkuat kuasa 1 April 2025 ini adalah bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan dengan menyelaraskan fungsi yang berfokus, pemantauan dan pelaporan pusat tanggungjawab serta memperkemas proses tatakelola (good governance).

Usaha ini bagi memberi tumpuan kepada fungsi-fungsi utama yang telah dikenal pasti berdasarkan kesesuaian perancangan yang ditetapkan universiti dalam memastikan hierarki pelaporan dan proses membuat keputusan yang lebih efektif serta lancar sesuai dengan pelaksanaan fungsi sesuatu Pusat Tanggungjawab (PTJ) itu. 

Selain itu, pemurnian struktur organisasi ini juga akan melibatkan perubahan penstrukturan PTJ termasuk penempatan PTJ, penjenamaan dan penubuhan PTJ serta melibatkan jawatan giliran.

UMPSA akan terus memperkukuh sistem sokongan pentadbiran dan memperkaya budaya inovasi dan kecemerlangan dengan mewujudkan persekitaran yang kondusif, kita bukan sahaja dapat meningkatkan daya saing universiti tetapi juga melahirkan graduan dan pemimpin yang berkaliber serta berintegriti.  

Sempena bulan yang mulia ini, saya ingin menyeru seluruh warga UMPSA agar terus berusaha dengan tekad dan iltizam tinggi dalam merealisasikan aspirasi universiti ke arah kecemerlangan global. Marilah kita bersama-sama menyemai nilai kejujuran, amanah, dan semangat kerja berpasukan dalam setiap tugas yang dipikul.  

Seperti yang pernah saya sebutkan, saya ingin melihat setiap warga UMPSA memperkasa kualiti kerja dan kemahiran melalui pembudayaan kerja yang berfokuskan SPIROS iaitu Kemahiran (Skills), Kesempurnaan (Perfection), Impak (Impact), Daya Tahan (Resilience), Pengoptimuman (Optimization) dan Kelestarian (Sustainability).

Akhir kata, saya dan seluruh barisan kepimpinan universiti ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua warga kerja UMPSA khasnya dan rakyat Malaysia amnya. Sempena bulan yang mulia ini, marilah kita saling bermaaf-maafan, eratkan ukhuwah sesama kita kerana ia merupakan benteng kekuatan sesebuah organisasi dan keluarga.

Pesan saya, pandulah dengan berhemah, patuhi had laju dan papan tanda demi keselamatan dan kesejahteraan bersama. Biar lambat asal selamat agar hajat kita pulang ke kampung halaman meraikan Syawal yang dinanti bersama orang tersayang dimakbulkan olehNya.

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ وَ تَقَبَّلْ ياَ كَرِيْمُ
"Semoga Allah menerima (puasa dan amal) dari kami dan (puasa dan amal) dari kalian"

Semoga Syawal ini membawa kebahagiaan, keberkatan, dan kejayaan kepada kita semua. Salam Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.
 
Sekian, Wabillahi Taufak Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Profesor Dr. Yatimah Alias
Naib Canselor
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
28 Mac 2025 bersamaan 27 Ramadan 1446 Hijrah

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri