Skip to main content

PERUTUSAN KHAS NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG AL-SULTAN ABDULLAH (UMPSA) SEMPENA HARI PEKERJA 2025 BERTEMAKAN "PEKERJA KESUMA BANGSA"

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

Hari ini kita bersama-sama meraikan Hari Pekerja, satu hari yang cukup bermakna untuk menghargai dedikasi, usaha dan sumbangan semua warga kerja Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh staf akademik dan bukan akademik khususnya barisan staf sokongan, pentadbiran, teknikal dan profesional yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan UMPSA.

Alhamdulillah, hari ini masuk hari ke-107 saya memimpin keluarga besar UMPSA. Apa yang kita lihat hari ini, UMPSA terus melakar kejayaan dalam pelbagai bidang sama ada dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi mahupun jaringan industri. Kejayaan-kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa semangat kerja berpasukan, integriti, dan komitmen tinggi setiap warga UMPSA. 

hari pekerja

Warga kerja UMPSA yang saya kasihi,

Baru-baru ini UMPSA tersenarai di tangga 163 terbaik di Asia merujuk penarafan Times Higher Education Asia University Rankings 2025 (THE AUR 2025) berbanding di tangga 166 pada tahun lalu yang menyaksikan UMPSA berada di tangga ke-9 universiti terbaik di Malaysia selain mengekalkan sebagai universiti nombor 1 terbaik dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN).  Tahniah! Buat warga UMPSA. 

Hasil lawatan kerja rasmi saya ke Kazakhstan pada minggu lalu juga turut memperkasakan kerjasama UMPSA dalam ijazah dual bersama rakan antarabangsa, Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan bagi penawaran Ijazah Dual Program Sarjana Muda Sains Gunaan Bioteknologi Industri dengan Kepujian melalui Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI). Antara agenda yang dibincangkan berkaitan penambahbaikan struktur kurikulum, penawaran kursus dan akreditasi, aktiviti promosi ijazah dual termasuklah program pertukaran pensyarah di antara dua universiti, sangkutan pensyarah, global classroom, kerjasama dalam bidang TVET dan potensi kerjasama dalam penyelidikan.

UMPSA juga merupakan universiti awam pertama di Malaysia yang berkolaborasi dengan rakan kerjasama universiti luar negara melibatkan Jerman, China, Kazakhstan dan terbaharu, Korea Selatan bagi Program Kerjasama Akademik Ijazah Dual. Terima kasih atas sokongan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi(KPT) dan pihak penaja terutamanya pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Sabah dan lain-lain. 

Dalam memperluas kerjasama antarabangsa, UMPSA juga telah mencipta sejarah baharu dengan menjalin kerjasama antarabangsa bersama Tashkent State Technical University (TSTU), Uzbekistan  khususnya dalam bidang teknikal, penyelidikan, penerbitan dan mobiliti. 

Kita juga sedang mempergiat usaha dalam menarik lebih ramai pelajar untuk menyambung pengajian di UMPSA dan kini telah mewujudkan ekosistem pembelajaran yang progresif serta bertaraf global. Justeru, universiti melancarkan portal rasmi pemasaran akademik iaitu Study@UMPSA.edu.my yang turut menampilkan ejen pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dikenali sebagai BURU. 

Pelancaran “Study@UMPSA” dijangka menjadi pemangkin kepada usaha UMPSA memperkukuh ekosistem pengantarabangsaan UMPSA, malah membuka peluang kepada pelajar untuk menikmati pengalaman pembelajaran rentas sempadan yang lebih inklusif dan berimpak tinggi. Semoga usaha kita ini memberi peluang lebih ramai pelajar untuk melangkah masuk ke universiti dan menyambung pengajian ke peringkat tertinggi. 
 
Warga kerja UMPSA yang saya hormati,

Dalam menyambut Hari Pekerja ini, saya menyeru semua warga UMPSA agar terus kekal positif, proaktif dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa depan. Marilah kita bersama-sama memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi, memperluas kolaborasi strategik, dan menyemai semangat inovasi demi melonjakkan UMPSA ke persada yang lebih gemilang.

Alhamdulillah, sebagai satu pasukan di UMPSA, kita telah membina kekuatan kolektif yang berintegriti, berdaya saing, dan berjiwa besar, berusaha tanpa henti untuk mencapai kecemerlangan, sambil menghayati budaya lestari dalam setiap aspek pekerjaan kita.

On this meaningful occasion, I would also like to express my heartfelt appreciation to the international community serving at UMPSA. Your presence enriches our experiences, broadens our perspectives, and further strengthens the global competitiveness of our university. Indeed, UMPSA is a home for all, regardless of geographical boundaries, united by a common goal to empower knowledge, technology, and humanity.

Dalam mengemudi perjalanan mencapai aspirasi UMPSA sebagai Universiti Teknologi Terunggul dan merealisasikan misi untuk cemerlang dalam menyediakan pendidikan, penyelidikan, dan perkhidmatan teknologi aras tinggi yang dipacu bersama komuniti melalui ekosistem keusahawanan sosial, kita berpegang teguh kepada nilai-nilai teras UMPSA yang menjadi panduan dalam setiap tindakan.
 
Seiring dengan Agenda Transformasi 1 yang dinyatakan dalam Amanat Naib Canselor baru-baru ini, bagi memperkukuh dan memajukan potensi individu, kita percaya bahawa setiap warga UMPSA membawa kekuatan dan potensi tersendiri yang wajar digilap dan dikembangkan. Potensi inilah yang menjadi aset utama dalam menjayakan transformasi institusi kita.

Dalam usaha ini, kita mendukung semangat SPIROS iaitu Skills (Kemahiran), Perfection (Kesempurnaan), Impact (Impak), Resilience (Daya Tahan), Optimisation (Pengoptimuman) dan Sustainability (Kelestarian) yang membentuk budaya kerja berprestasi tinggi. Kita menguasai kemahiran dan kepakaran, berusaha mencapai kesempurnaan dalam amanah yang dipertanggungjawabkan, memberi impak positif kepada masyarakat, membina ketahanan diri menghadapi cabaran, mengoptimumkan sumber dengan bijaksana, dan memastikan kelestarian pencapaian demi masa depan yang lebih gemilang.

Marilah kita memperkukuh usaha untuk menjadikan UMPSA universiti teknologi terunggul bertaraf dunia.Semarakkanlah semangat Nilai Teras UMPSA dengan memperkukuh hubungan yang kuat dengan Yang Maha Pencipta, teguh dalam mempertahankan prinsip yang disepakati, cekal dalam menghadapi cabaran, kreatif dalam membuat keputusan yang bijaksana serta nilai proaktif dalam tindakan dalam setiap denyut nadi menjadi perjuangan kita di UMPSA.

Saya berdoa agar seluruh warga UMPSA, termasuk sahabat strategik antarabangsa UMPSA, sentiasa dikurniakan kekuatan, ketabahan dan keberkatan dalam meneruskan khidmat bakti ini dengan penuh semangat, dedikasi serta keikhlasan.

Selamat Hari Pekerja 2025 untuk semua Warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

Salam UMPSA Unggul dan Selamat Hari Pekerja 2025.

Profesor Dr. Yatimah Alias
Naib Canselor
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
1 Mei 2025 bersamaan 4 Zulkaedah 1446H

Reports by:
AINIEY