49 penyelidik UMPSA tersenarai dalam World's Top 5% Scientist
PEKAN, 7 Ogos 2026 – Seramai 49 penyelidik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya tersenarai dalam World's Top 5% Scientist berdasarkan 2025 SciRank Global Registry, satu pengiktirafan berprestij yang menilai kecemerlangan saintis dunia menerusi data penyelidikan daripada pangkalan data OpenAlex.
Pencapaian ini membuktikan keupayaan penyelidik UMPSA untuk bersaing di pentas antarabangsa melalui penghasilan penyelidikan berkualiti tinggi, penerbitan ilmiah yang konsisten serta impak sitasi yang signifikan dalam pelbagai bidang kepakaran.
Pengiktirafan tersebut turut memperkukuh kedudukan UMPSA sebagai universiti teknikal dan teknologi yang cemerlang dalam penyelidikan, inovasi dan pemindahan teknologi, sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan penyelidikan berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada industri, masyarakat dan negara.
Seramai 49 penyelidik yang menerima pengiktirafan itu terdiri daripada ahli akademik pelbagai bidang kepakaran melibatkan 15 penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), lapan orang dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), enam orang dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), enam orang dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), tiga orang dari Fakulti Komputeran (FK), empat orang dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), tiga orang dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), tiga orang dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI), serta seorang dari Pusat Sains Matematik (PSM).
Pengiktirafan ini mencerminkan kekuatan budaya penyelidikan di UMPSA yang sentiasa diperkasakan melalui kerjasama strategik bersama industri, institusi akademik dalam dan luar negara serta penghasilan penyelidikan yang menawarkan penyelesaian kepada cabaran semasa.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata pencapaian tersebut merupakan satu pengiktirafan terhadap dedikasi dan komitmen para penyelidik UMPSA dalam menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi yang memberi impak kepada pembangunan negara dan masyarakat global.
Menurutnya, kejayaan itu bukan sahaja meningkatkan reputasi universiti di peringkat antarabangsa, malah membuktikan keupayaan penyelidik UMPSA untuk bersaing dalam ekosistem penyelidikan global yang semakin kompetitif.
“Pencapaian ini merupakan hasil usaha berterusan warga akademik UMPSA dalam membudayakan kecemerlangan penyelidikan, memperkukuh jaringan kolaborasi bersama rakan strategik di dalam dan luar negara serta menghasilkan penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat.
“UMPSA akan terus memperkasakan ekosistem penyelidikan yang inovatif dan berimpak tinggi bagi melahirkan lebih ramai penyelidik bertaraf dunia, sekali gus menyumbang kepada kemajuan teknologi, industri dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penyelidik yang telah mengharumkan nama universiti melalui kecemerlangan dalam penerbitan ilmiah dan impak penyelidikan sehingga berjaya memperoleh pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.
Pencapaian ini dijangka menjadi pemangkin kepada warga akademik UMPSA untuk terus mempergiatkan aktiviti penyelidikan, inovasi dan penerbitan ilmiah yang berkualiti tinggi serta meningkatkan keterlihatan universiti dalam pelbagai penarafan dan pengiktirafan global.
Pengiktirafan World's Top 5% Scientist melalui 2025 SciRank Global Registry turut mengukuhkan komitmen UMPSA dalam memacu agenda penyelidikan berimpak tinggi yang menyokong pembangunan teknologi, memperkasakan ekosistem inovasi negara dan memenuhi keperluan industri serta masyarakat pada peringkat nasional dan global.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 27 views
Reports by: