Penyelidikan UMP diiktiraf terima anugerah khas dalam MTE
PEKAN, 18 Jun 2021 – Pensyarah Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Madya Ts. Dr. Mazlina Abdul Majid diumum pemenang dengan meraih pingat emas dan anugerah khas bagi kategori Turkish Inventors and Innovators Network Award menerusi hasil penyelidikannya yang bertajuk PISAH Covid Patient Tracking System at Home.
Beliau tidak menyangka perbualan bersama rakannya mengenai bagaimana untuk mengatasi isu kuarantin semasa negara dilanda pandemik Covid-19 mencetuskan idea untuk menghasilkan sebuah aplikasi bagi membantu pihak pemantau memantau pesakit atau kontak rapat yang sedang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah ataupun Home Surveillance Order (HSO) dengan lebih efisien.
Malahan penyelidikan ini juga telah diterima dan dilihat sebagai satu sumbangan yang besar dalam menangani isu penyebaran virus Covid-19. Begitu juga dengan Dr. Diyana Kamarudin dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI) yang berjaya meraih pingat emas dan memenangi anugerah khas bagi kategori National STEM Association Award dan Euro Business-Haller Award menerusi penyelidikannya yang bertajuk Hear Me Assistive Technology for The Deaf and Hearing Impaired During Pandemic.
Satu lagi pingat emas dan anugerah khas turut dimenangi Ts. Dr. Norazaliza Mohd Jamil dari Pusat Sains Matematik (PSM) bagi kategori Malaysian Association of Creativity and Innovation Award menerusi penyelidikan yang bertajuk A GUI Simulation Tool For Pandemic Outbreaks.
Manakala pingat gangsa pula telah dimenangi oleh Ts. Dr. Roshahliza M Ramli dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dengan penyelidikan yang bertajuk SMART Unmanned Ground Vehicle (UGV) for Covid-19 Waste Management.
Empat pensyarah UMP itu menempa kejayaan dengan meraih anugerah khas, tiga pingat emas dan satu pingat perak dalam pertandingan Malaysia Teknology Expo (MTE) Edisi Khas Covid-19 yang berlangsung secara maya pada 14 hingga 18 Jun 2021 baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli mengucapkan tahniah kepada empat penyelidik UMP yang mengharumkan nama universiti.
“Walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19, ia bukan halangan buat para pensyarah UMP untuk berkongsi hasil penyelidikan dalam merealisasikan agenda memasyarakatkan teknologi menerusi ciptaan hasil penyelidikan.
“Saya percaya dengan pandemik Covid-19 ini, penyelidik akan lebih cenderung untuk sama-sama membantu menghasilkan kajian yang akan memberi manfaaat kepada negara,” ujarnya.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd. Idris,Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 153 views