Skip to main content

PERUTUSAN KHAS NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG AL-SULTAN ABDULLAH (UMPSA) BERSEMPENA DENGAN RAMADAN AL-MUBARAK 2026/1447 HIJRAH

Assalamualaikum WBT.

Salam sejahtera kepada semua warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang saya hormati dan kasihi. 

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran KITA panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, KITA sekali lagi diberi kesempatan untuk menyambut bulan Ramadan al-Mubarak yang penuh keberkatan. 

Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan muhasabah, pengukuhan nilai integriti, kesabaran dan kebersamaan dalam memperkukuh semangat KITA sebagai satu keluarga besar UMPSA. 

Tahun ini juga menyaksikan KITA@UMPSA telah meraikan tahun baharu dengan azam dan tekad untuk lebih cemerlang seiring dengan Pelan Strategik UMPSA 2026-2030. 

Tahun baharu 2026 yang masuk bulan kedua ini juga memberi ruang untuk kita menilai pencapaian lalu dan merangka langkah lebih strategik demi masa depan universiti yang kita cintai. 

Dalam Amanat Tahunan 2026 baru-baru ini, saya juga berkongsi empat lonjakan bertemakan K.I.T.A iaitu Kelestarian, Kewangan, Keusahawanan, Komuniti (K), Inovasi dan Industri (I), TVET Termaju dan Bakat (T) dan Akademik, Antarabangsa dan Alumni (A) dalam memastikan UMPSA terus kekal relevan dan berdaya saing selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

Manakala terdapat empat elemen mendasari KITA@UMPSA iaitu Kasih (Hati), Intelek (Minda), Tatakelola dan Amanah dan Akauntabiliti yang memainkan peranan yang penting dalam memastikan kebersamaan warga UMPSA terus cemerlang di persada antarabangsa. KITA akan bergerak bersama-sama untuk terus cemerlang.  

Bulan Februari ini juga sangat bermakna apabila kita baharu sahaja menyambut Sambutan Ulang Tahun UMPSA Ke-24 pada 16 Februari 2026. 

Dengan semangat Ramadan dan Ulang Tahun UMPSA ini, marilah KITA memperkukuh iltizam, meningkatkan kecemerlangan serta menyemai budaya kerja berintegriti dan berprestasi tinggi.

Mengenang dua puluh empat tahun yang lalu, generasi perintis universiti ini telah meletakkan asas yang menegakkan kedudukan UMPSA sebagaimana yang kita lihat dan rasai kini. Asas tersebut terus diperbaharui dan diperkukuh dalam setiap fasa perkembangan strategik dengan mengambil kira kedudukan serta keperluan semasa dan masa depan universiti secara dinamik dan realistik. 

Angka 24 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Ia adalah perjalanan yang penuh dengan cabaran, kejayaan dan transformasi. Daripada sebuah institusi yang baharu ditubuhkan, UMPSA telah berkembang menjadi sebuah universiti yang unggul, terkenal dengan kecemerlangan dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi serta komitmennya dalam melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global.

Dengan semangat KITA@UMPSA, marilah KITA terus berganding bahu memperkasa agenda pengantarabangsaan, kemampanan, TVET termaju dan keusahawanan demi mencapai visi sebagai Universiti Teknologi Terunggul menjelang tahun 2050. 

Semoga lebih banyak kejayaan dapat digapai pada masa hadapan. Insya-Allah.

Dengan tekad, kebersamaan dan semangat KITA@UMPSA, ayuh kita melangkah maju demi masa depan UMPSA yang lebih gemilang.

Warga UMPSA yang saya kasihi, 

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadan kepada seluruh warga UMPSA yang beragama Islam. Bulan yang dinanti-nantikan, bukan sekadar berpuasa tetapi bulan yang penuh dengan rahmat, keampunan dan keberkatan. 

Kepada warga UMPSA, marilah kita bersama-sama menyambut Ramadan dengan penuh syukur, keinsafan dan kesederhanaan. 

Jadikan bulan Ramadan ini untuk kita meningkatkan ibadah, memperkukuh silaturahim dan meningkatkan kualiti kerja. Ramadan bukan alasan mengurangkan produktiviti malah motivasi untuk bekerja kerana setiap amalan baik di bulan ini akan digandakan pahalanya. 

Buat seluruh warga UMPSA, Selamat Menyambut Ramadan al-Mubarak dan Selamat Ulang Tahun UMPSA. Semoga KITA@UMPSA terus mencapai kegemilangan dalam melahirkan graduan yang kompeten dan holistik, seterusnya menyumbang kepada aspirasi negara.

Akhir tinta, saya sentiasa mendoakan kesejahteraan warga UMPSA dan mudah-mudahan Allah SWT satukan hati-hati KITA@UMPSA untuk melihat matlamat yang sama dan berusaha ke arah kecemerlangan secara semangat kerja berpasukan demi merealisasikan visi UMPSA menjadi Universiti Teknologi Terunggul akan tercapai. Insya-Allah.   
 
Sekian, Wabillahi Taufak Walhidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 
 
PROFESOR TS. DR. YATIMAH ALIAS
Naib Canselor
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim