Tasik UMPSA tumpuan pemancing sempena Sambutan Ulang Tahun UMPSA ke-21
PEKAN, 14 Oktober 2023 - Tasik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Pekan menjadi tumpuan para pemancing apabila lebih 200 orang hadir bersama keluarga dalam Pertandingan Memancing sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-21 UMPSA dan menjelangnya Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-18 mulai 21 hingga 24 Oktober depan.
Hadir merasmikan program Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Pengarah, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Izwan Ismail.
Hadir sama dalam program, Pengurus/Ketua Jabatan Canseleri, Muhammad Faisal Mohd Yasin, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Mimi Rabita Haji Abdul Wahit dan Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Mohd Aznorizamin Haji Ismail.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, penganjuran ini juga sebagai salah satu aktiviti penjenamaan UMPSA dalam mendekatkan universiti dengan komuniti setempat.
“Selain itu juga ia sebagai menyahut seruan universiti untuk menjadikan UMP Pekan sebagai salah satu Pusat Pendidikan Pelancongan (Edu-Tourism) di Pekan Pahang.
“Program ini melibatkan penyertaan daripada komuniti di daerah Pekan dan Kuantan serta Pantai Timur.
“UMPSA sentiasa menitikberatkan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar termasuklah untuk memastikan persekitaran tasik ini bersih agar tidak menggangggu ekosistem hidupan di tasik ini,” katanya yang hadir bertemu pemancing dan juga para pelajar sekolah di tapak perkhemahan.
Tambah beliau lagi, tasik ini juga sesuai buat orang ramai untuk menjalankan aktiviti bersukan dan amalan gaya hidup sihat termasuk aktiviti rekreasi seperti perkhemahan dan bot kayuh.
Pada masa yang sama turut berlangsung aktiviti perkhemahan di Taman Rekreasi Air yang melibatkan seramai 70 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh Jaya.
Pertandingan itu menyaksikan hadiah utama dimenangi oleh Zamani Osman,45 dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 3,000 apabila berjaya menaikkan ikan Patin seberat 3.72 kg pada jam 10.45 pagi.
Manakala tempat kedua pula dimenangi oleh staf Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta UMPSA, Abdul Walik Yusuf yang berjaya membawa pulang hadiah bernilai RM1,000.
Tempat ketiga dimenangi oleh Mohd Nor Aiman Hakim yang berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM 700.
Kesemua hadiah disampaikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 89 views