UMPSA dalam kelompok 201–300 terbaik dunia bagi pembangunan mampan
PEKAN, 24 Jun 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengekalkan reputasinya di persada antarabangsa apabila berjaya berada dalam kelompok 201–300 universiti terbaik dunia menerusi penarafan Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Ratings 2026 dalam mendukung agenda pembangunan mampan.
Penarafan THE Sustainability Impact Ratings merupakan sistem penarafan global yang menilai prestasi universiti berdasarkan sumbangan dan impak terhadap pencapaian SDG.
Pencapaian itu turut meletakkan UMPSA di kedudukan ketujuh terbaik IPT di Malaysia dan kelima terbaik dalam kalangan universiti awam Malaysia, sekali gus membuktikan komitmen berterusan UMPSA terhadap pelaksanaan inisiatif yang sejajar dengan Sustainable Development Goals (SDG) dengan memberi manfaat kepada masyarakat, industri dan alam sekitar.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts Dr Yatimah Alias, pencapaian ini mencerminkan keberkesanan pelaksanaan pelan strategik universiti yang memberi penekanan terhadap kecemerlangan akademik dan penyelidikan berimpak tinggi, di samping agenda kelestarian yang menjadi teras pembangunan universiti.
"Pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan universiti dalam mengintegrasikan elemen kelestarian menerusi pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pembabitan komuniti,” ujarnya.
Pencapaian ini turut membuktikan keupayaan UMPSA untuk cemerlang bukan sahaja dari aspek akademik, penyelidikan, jaringan antarabangsa dan kebolehpasaran graduan, malah dalam usaha memacu pembangunan mampan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Dalam penarafan kali ini, UMPSA berjaya tersenarai bagi lapan SDG yang dinilai menerusi pelbagai inisiatif melibatkan pendidikan, penyelidikan, inovasi, pemindahan teknologi, kelestarian alam sekitar dan pembangunan komuniti.
Lebih membanggakan UMPSA berada dalam kelompok 101-200 terbaik dunia dalam SDG 9: Industri, Inovasi, Infrastruktur dan SDG 7: Tenaga Bersih dan Berpatutan. Begitu juga UMPSA berada dalam kelompok 101-200 terbaik dunia dalam SDG 1: Tiada Kemiskinan.
Pengiktirafan ini juga adalah hasil komitmen dan kerjasama seluruh warga universiti serta rakan strategik dalam memperkasakan budaya kelestarian di semua peringkat.
Profesor Ts. Dr. Yatimah merakamkan penghargaan kepada seluruh warga UMPSA, alumni, rakan industri dan komuniti yang sentiasa menyokong pelbagai inisiatif universiti sehingga berjaya mencapai pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, kejayaan itu akan menjadi pemangkin kepada UMPSA untuk terus memperkukuh peranan sebagai universiti teknologi terunggul yang berteraskan kecemerlangan akademik, inovasi dan kelestarian bagi mendepani cabaran masa hadapan.
Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan kedudukan UMPSA sebagai sebuah universiti teknologi terkemuka negara yang terus melakar kecemerlangan global melalui pendidikan berkualiti, penyelidikan berimpak tinggi dan komitmen terhadap pembangunan mampan.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 17 views
Reports by: