Skip to main content

UMPSA jadi pilihan persinggahan kereta  mewah memasuki edisi ke-3 sempena Pesta Menara Kuantan 188 

PAYA BESAR, 1 Ogos 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sekali lagi menjadi pilihan lokasi persinggahan penganjuran Perhimpunan Kereta Mewah yang memasuki edisi ketiga penganjurannya dengan kerjasama Menara Kuantan 188.

Sebanyak 60 buah kenderaan mewah daripada pelbagai jenama berprestij memulakan perjalanan daripada Kuala Lumpur sebelum membuat persinggahan sementara di UMPSA Paya Besar.

Program yang berlangsung di Pekarangan Dataran Kompleks Perkhidmatan Akademik,  UMPSA Paya Besar itu berjaya menarik perhatian warga kampus dan komuniti setempat bagi menyaksikan deretan kenderaan mewah yang dipamerkan sebelum meneruskan konvoi ke Menara  Kuantan 188.

Majlis pelepasan konvoi telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh bersama Ketua Bahagian Projek dan Operasi, UMPSA Holdings, Haji Sa’udin Sulong.

Turut hadir Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMPSA, Mimi Rabita Abd Wahit dan Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (YDPMPP) UMPSA, Adam Al-Wafiy Muhammad Zailani.

Terdahulu telah berlangsung program senamrobik dan juga sesi ramah mesra melibatkan konvoi perarakan kereta mewah, warga kampus dan komuniti setempat.

UMPSA jadi pilihan persinggahan kereta  mewah memasuki edisi ke-3 sempena Pesta Menara Kuantan 188 

Menurut Profesor Ts. Dr. Kamal Yusof, penganjuran kali ketiga ini membuktikan komitmen berterusan UMPSA dalam menyokong program berimpak tinggi bersempena memuliakan sambutan  Hari Keputeraan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang pada 31 Julai 2026.

“Perhimpunan ini juga dilihat dapat membuka peluang memperkenalkan produk UMPSA di samping memperkukuh keterlihatan (visibility) jenama UMPSA. 

"Selain menjadi platform menghimpunkan pemilik kereta mewah, program ini juga dapat membuka peluang kepada warga kampus untuk membina hubungan (networking) yang diharapkan dapat memberi manfaat pada masa depan.

"Penganjuran Perhimpunan Kereta Mewah di UMPSA sebelum ini turut mendapat sambutan menggalakkan dan menjadi antara tarikan utama kepada warga universiti serta masyarakat setempat," ujarnya ketika ditemui selepas perlepasan perararakan kereta mewah.

Lebih menarik penyertaan pengembara dari Albuquerque, New Mexico, Amerika Syarikat, Keith Sinclair, mencuri perhatian pagi ini apabila tampil dengan sebuah Dodge Challenger Scat Pack 2016 berwarna Plum Crazy Purple yang diubah suai untuk kegunaan ekspedisi mengelilingi dunia.

Sepanjang hampir dua tahun, Sinclair telah memandu puluhan ribu kilometer merentasi pelbagai negara dengan kereta berkuasa lebih 470 kuasa kuda itu.

Apa yang menjadikan kereta itu lebih unik ialah pelbagai ciri praktikal yang dipasang padanya. 

Bahagian bonet dilengkapi dapur memasak menggunakan gas, manakala bampar belakang menempatkan dispenser syampu serta paip air, menjadikan kereta berkenaan seakan sebuah rumah bergerak.

Sepanjang pengembaraan, Sinclair telah melalui Austria, Bosnia dan Herzegovina, Croatia, Perancis, Itali, Montenegro, Slovenia, Switzerland, Greece, Turkiye, Georgia, Kazakhstan, Tajikistan serta beberapa negara lain sebelum tiba di Malaysia.

Bagi salah seorang peserta perarakan kereta mewah, Aizul Johann Zulkifli yang juga merupakan pengasas bersama kelab Motor Drive Group (MDG), beliau meluahkan rasa teruja kerana sekali lagi berpeluang dapat mengetuai perarakan kereta mewah di Kuantan.

“Program hari ini sangat meriah dan berjalan dengan lancar.

"Saya mengharapkan program ini dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan penyertaan yang lebih ramai dan menarik," katanya.

Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim