Skip to main content

UMPSA laksana Kempen Pelupusan Mushaf dan Bahan Bercetak Teks al-Quran

PEKAN, 25 November 2024 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melaksanakan Kempen Pelupusan Mushaf dan Bahan Bercetak Teks al-Quran yang diadakan bersempena dengan Minggu Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) baru-baru ini.

Kempen itu mencapai kejayaan yang membanggakan dengan jumlah bahan bercetak teks al-Quran yang berjaya dikumpulkan mencecah 3,873 kilogram. 

Ia melibatkan penyertaan staf UMPSA serta pihak sekolah-sekolah dan komuniti sekitar UMPSA. 

Penganjuran kempen ini juga adalah salah satu usaha yang dijalankan oleh pihak UMPSA untuk menggalakkan budaya penjagaan kesucian al-Quran dalam kalangan masyarakatselaras dengan program EKSA yang bertujuan mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, bertanggungjawab, dan sensitif terhadap nilai-nilai murni.

Tujuan utama kempen diadakan ini adalah untuk mengumpulkan mushaf dan bahan bercetak yang mengandungi teks al-Quran yang sudah usang atau rosak bagi memastikan bahan-bahan tersebut dilupuskan dengan cara yang menghormati kesucian al-Quran. 
Dalam Islam, adalah penting untuk memastikan bahan-bahan yang mengandungi ayat-ayat suci Al-Quran dilupuskan dengan cara yang sesuai, mengikut prinsip-prinsip yang ditetapkan bagi menjaga kehormatan dan kemuliaannya.

Menurut Pengarah Program, Najjahul Huda Hassan, kempen ini tidak hanya memberi manfaat dalam aspek keagamaan tetapi juga dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya menjaga bahan bercetak yang mengandungi ayat-ayat al-Quran. 

“Selain itu, kempen ini juga bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara universiti, sekolah, dan komuniti dalam usaha bersama menjaga kesucian dan martabat al-Quran.

pelupusan mushaf

“Selepas bahan bercetak tersebut dikumpulkan, ia dihantar ke Kompleks Pemuliaan al-Quran Negeri Pahang yang terletak di Chenor untuk proses pelupasan. 

“Kompleks Pemuliaan al-Quran Negeri Pahang merupakan pusat yang diiktiraf untuk melaksanakan proses perlupasan bahan-bahan bercetak al-Quran dengan penuh penghormatan dan mengikut garis panduan yang ditetapkan,” ujarnya. 

Katanya, di sini, bahan-bahan tersebut akan diproses dan dilupuskan dengan penuh berhati-hati agar tidak disalahgunakan atau dibiarkan dalam keadaan yang tidak sesuai.

pelupusan mushaf

“Kami berharap agar kempen seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan menjadi contoh baik dalam kalangan masyarakat khususnya dalam menghormati dan menjaga kemuliaan teks-teks suci agama Islam,” tambah beliau. 

Disediakan Oleh: Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)
 

Reports by:
Admin UMP News