UMPSA perkukuh pembangunan kompetensi staf menerusi perkongsian amalan terbaik mobiliti
PEKAN, 25 November 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh pembangunan kompetensi dan profesionalisme warga kerja menerusi penganjuran Konvensyen Perkongsian Amalan Terbaik Pascaprogram Mobiliti Staf UMPSA 2026 yang berlangsung di Perpustakaan UMPSA Pekan, hari ini.
Konvensyen kali kedua itu menghimpunkan hampir 150 peserta dengan 24 pembentangan yang mengetengahkan pengalaman, hasil pembelajaran serta amalan terbaik staf sepanjang mengikuti program mobiliti di dalam dan luar negara.
Penganjuran ini menjadi platform strategik universiti dalam memastikan pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh menerusi program mobiliti tidak terhenti pada peringkat individu, sebaliknya dikongsi dan dimanfaatkan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan serta kecemerlangan penyampaian perkhidmatan universiti.
Konvensyen dimulakan dengan sesi pembentangan khas yang menampilkan tiga pembentang terpilih, iaitu Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Ir. Ts. Dr. Noor Mazni Ismail yang menjalani program sabatikal di National University of Singapore (NUS), Singapura; Pengarah Pusat Pengurusan Bakat, Jabatan Pendaftar, Juliana Mohd Ali yang mengikuti Sangkutan Kerja bagi Peningkatan Kompetensi di Aviation Australia serta Pengarah Pengarah Kanan Perkhidmatan Akademik, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Ernie Nurazlin Lizam yang menjalani program sangkutan kerja di University of East Anglia (UEA), Norwich, United Kingdom.
Perkongsian tersebut merangkumi pengalaman, pengetahuan dan pendekatan kerja yang diperoleh sepanjang mengikuti program berkenaan, selain mengenal pasti potensi amalan terbaik yang boleh disesuaikan dengan keperluan pengurusan dan pembangunan UMPSA.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, dalam ucapannya menegaskan bahawa setiap penyertaan staf dalam program mobiliti perlu memberikan nilai tambah yang signifikan kepada pembangunan kompetensi individu dan kecemerlangan organisasi.
“Saya berharap agar segala pengalaman dan amalan terbaik yang diperoleh dapat diterjemahkan kepada pelan tindakan yang konkrit, praktikal dan berimpak tinggi, khususnya dalam menambah baik proses kerja, memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan prestasi universiti.
“Perkongsian ilmu dan pengalaman seumpama ini penting bagi memastikan manfaat program mobiliti dapat diperluas kepada warga universiti secara keseluruhan, sekali gus membudayakan amalan pembelajaran dan penambahbaikan secara berterusan,” ujarnya.
Konvensyen diteruskan dengan sesi pembentangan selari di lima lokasi berbeza yang melibatkan staf daripada pelbagai jabatan dan fakulti.
Sesi ini memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi perspektif, bertukar idea serta meneroka pendekatan baharu yang berpotensi diaplikasikan dalam persekitaran kerja masing-masing.
Menariknya, penganjuran konvensyen kali ini turut disusuli dengan penerbitan e-buku Inisiatif Mobiliti Staf: Amalan Terbaik & Pelan Tindakan Tahun 2026 sebagai dokumentasi kesinambungan pelaksanaan program mobiliti staf UMPSA.
Edisi kedua e-buku tersebut menghimpunkan dapatan, amalan terbaik dan cadangan pelan tindakan hasil penyertaan staf dalam program mobiliti sepanjang tahun 2026 untuk dijadikan repositori ilmu serta sumber rujukan strategik universiti.
Dokumentasi ini juga menjadi landasan bagi memastikan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh dapat diterjemahkan kepada inisiatif penambahbaikan yang lebih tersusun, sekali gus memberi manfaat kepada pembangunan organisasi dalam jangka panjang.
Penganjuran konvensyen ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam membangunkan bakat berkompetensi tinggi melalui pembelajaran berterusan, perkongsian pengetahuan dan pemindahan amalan terbaik bagi mendukung aspirasi universiti sebagai institusi TVET termaju yang berdaya saing di peringkat global.
Oleh: NAQIAH PUAAD, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
Foto: ZAFFARUDDIN HAMZAH, PEJABAT NAIB CANSELOR
- 14 views