Skip to main content

iCITES 2018 bincang Kejuruteraan, Sains dan Teknologi

Baru-baru ini berlangsungnya penganjuran International Conference of Innovative Technology, Engineering and Science 2018 (iCITES 2018)  yang berjaya mengumpulkan seramai lebih 100 penyelidik tempatan dalam bidang kejuruteraan dan sains teknologi serta bidang-bidang berkaitan teknologi bahan,teknologi hijau, penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui (RE), pembuatan, automasi dan robotik. 

iCITES 2018 merupakan persidangan peringkat nasional yang pertama kalinya dianjurkan pihak Persatuan Alumni Universiti Malaysia Pahang dan UMP Holdings Sdn. Bhd. Penganjuran mendapat kerjasama Fakulti Kejuruteraan Pembuatan UMP, Intel (Malaysia) Sdn. Bhd, dan Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman serta Innovative Manufacturing, Mechatronics & Sports Laboratory (iMAMS).

Pengerusi persidangan, Dr. Syarifah Maszura Syed Mohsain, berkata persidangan ini bertujuan untuk menyediakan ruang perbincangan dan perkongsian idea serta kepakaran  ini selari dengan usaha untuk menggalakkan inovasi teknologi dan sains dalam bidang kejuruteraan.

“Bidang-bidang yang dibincangkan ini menjadi semakin penting dalam usaha  menjadikan Malaysia sebuah negara berinovasi dan maju sains (scientifically advance nation). Hal ini selaras dengan Dasar Sains, Teknologi Dan Inovasi Negara (DSTIN) bagi memanfaatkan Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) untuk Transformasi Sosio Ekonomi dan Pertumbuhan Inklusif Negara,” katanya dalam persidangan yang diadakan di Perpustakaan UMP Pekan. 

Ucaptamu disampaikan Profesor Dr. Ing. Maurice Kettner, (Karlshure), Profesor Dr. Zahari Taha, (UMP), Dr. Syed Hussein Syed Alwi (Intel Malaysia), Profesor Dr. Shahrul Na’im Sidek (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) dan Dr. Ali Abbas (University East of London United Kingdom).

Manakala pembentangan kertas kerja meliputi bidang berkaitan Green and Frontier Materials, Innovative Robotics & Automation, Renewable & Green Energy, Sustainable Manufacturing dan Data Analytics & IOT.

Turut hadir dalam persidangan ini adalah Pengarah Urusan Ex Foam Insulation Sdn Bhd yang juga ahli  Lembaga Pengarah UMP,  Shaiful Suliman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusof, Dekan Penyelidikan Kejuruteraan, Profesor Dr. Md Mustafizur  Rahman dan Presiden Persatuan Alumni UMP, Syed Mohd Hamzah al-Junid Syed Abdul Rahman.

 

Berita disediakan oleh Siti Sarah Mohamad Rajimi, Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Sarah binti Mohamad Rajimi