Mobiliti Antarabangsa UMPSA ke Tianjin University, China memperkukuh jaringan akademik global
CHINA, 5 Disember 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan apabila seorang wakil akademiknya, Profesor Madya Dr. Mohd Anwar Zawawi dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), telah melaksanakan Program Mobiliti Antarabangsa di bawah inisiatif Sangkutan Staf bagi Peningkatan Kompetensi ke Tianjin University (TJU), China dari 24 November hingga 5 Disember 2025.
Lawatan ini selari dengan aspirasi UMPSA sebagai universiti teknikal terunggul yang menekankan kecemerlangan dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan penyelidikan berimpak tinggi.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha strategik UMPSA dibawah inisiatif Amanat Naib Canselor UMPSA 2025, Agenda Transformasi: Anjakan Pertama (Memperkukuh dan Memajukan Potensi Individu) berobjektifkan untuk memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dengan institusi pendidikan tinggi bertaraf dunia.
Tianjin University: Rakan Strategik Bertaraf Dunia
Tianjin University (TJU) merupakan universiti pertama di China yang ditubuhkan pada tahun 1895 dan diiktiraf sebagai antara universiti penyelidikan terkemuka dunia, khususnya dalam bidang kejuruteraan, sains gunaan dan teknologi.
Reputasi cemerlang TJU dalam inovasi dan penyelidikan menjadikannya rakan strategik yang berpotensi besar kepada UMPSA umumnya, dan FTKEE khususnya.
Sepanjang lawatan ini, fokus utama lawatan adalah di School of Electrical and Informatics Engineering (SEIE), iaitu sebuah fakulti utama di TJU ditubuhkan pada tahun 1933 dan memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi kejuruteraan elektrik, elektronik, sistem pintar, sensor termaju, automasi dan teknologi maklumat.
Dengan bilangan keseluruhan staf akademik di SEIE berjumlah sekitar 250 orang, termasuk 80 orang Profesor, fakulti ini menawarkan sebanyak enam program Sarjana Muda Kejuruteraan iaitu Electrical Engineering and Automation, Electronic Information Engineering, Robotics Engineering, Telecommunications Engineering, Internet of Things Enginering dan Smart Grid Information Engineering.

Antara pengisian utama program mobiliti ini ialah sesi perbincangan akademik dan strategik bersama barisan kepimpinan serta ahli akademik kanan School of Electrical and Informatics Engineering (SEIE), Tianjin University.
Delegasi UMPSA telah mengadakan pertemuan bersama Dekan SEIE, Profesor Tan Chao, Timbalan Dekan (Akademik), Profesor Deng Bin, Timbalan Dekan (Pengantarabangsaan), Profesor Zhang Tao, Profesor-profesor dan penyelidik dalam bidang kepakaran sensor dan instrumentasi seperti Profesor Dong Feng (Sensor Technology), Profesor Xu Yanbin (Process Chromatography) dan Profesor Madya Ren Shangjie (Biomedical Tomography).
Sesi perbincangan ity memberi tumpuan kepada penerokaan peluang kerjasama dalam pelbagai aspek, termasuk pembangunan penyelidikan bersama dalam bidang kejuruteraan elektrik, sensor pintar, automasi dan kecerdasan buatan, pelaksanaan program mobiliti pelajar dan staf akademik antara UMPSA dan TJU, peluang penerbitan bersama dalam jurnal berindeks berimpak tinggi serta kerjasama dalam penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah dan pelantikan profesor jemputan.
Perbincangan berlangsung dalam suasana yang positif dan produktif, mencerminkan kesediaan kedua-dua institusi untuk menjalin hubungan kerjasama jangka panjang yang mampan.
Delegasi UMPSA turut diberi peluang untuk melawat beberapa Makmal Utama (Key Laboratories) yang terdapat di Kampus Bandar (City Campus) dan Kampus Utama (Main Campus), Tianjin University.
Lawatan ini memberikan pendedahan menyeluruh terhadap ekosistem penyelidikan dan inovasi yang diamalkan oleh universiti tersebut.
Antara fasiliti dan makmal utama di bawah SEIE yang dilawati termasuklah State Key Laboratory of Precision Measuring Technology and Instruments (fokus kepada sensor ketepatan tinggi dan sistem pengukuran), Key Laboratory of Intelligent Control and Automation Systems (automasi pintar dan sistem kawalan lanjutan) dan Key Laboratory of Sensor Technology and Microsystems (pembangunan sensor dan sistem mikro).
Lain-lain adalah Laboratory of Robotics, Automation and Intelligent Systems (robotik dan automasi industri) dan Intelligent Perception and Smart Sensing Laboratory (sensor pintar dan persepsi berasaskan AI).
Melalui lawatan ini, juga, delegasi UMPSA memperoleh pendedahan langsung terhadap penyelidikan berkaitan sensor, automasi dan sistem pintar yang menyokong pembangunan teknologi berimpak tinggi, selari dengan kepakaran yang dibangunkan di FTKEE UMPSA.
Malah, delegasi UMPSA dapat menilai kemudahan penyelidikan berteknologi tinggi yang menyokong aktiviti RCD bertaraf antarabangsa serta bertukar pandangan berkaitan pengurusan makmal, penyelidikan berasaskan industri dan pembangunan bakat penyelidik muda.
Program mobiliti ini juga adalah sejajar dengan peranan UMPSA sebagai universiti teknikal dan teknologi yang menitikberatkan pendidikan berasaskan aplikasi, penyelidikan gunaan serta inovasi yang memberi manfaat kepada industri dan masyarakat.
Kerjasama dengan universiti berprestij seperti TJU diyakini mampu menyumbang kepada peningkatan kualiti akademik dan penyelidikan UMPSA di peringkat global.
Selain itu, inisiatif ini turut menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) melalui pengukuhan jaringan pendidikan dan penyelidikan antarabangsa.
Secara keseluruhannya, Program Mobiliti Antarabangsa UMPSA ke Tianjin University, China ini telah mencapai objektif yang disasarkan dan menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua institusi.
Kerjasama strategik di antara UMPSA dan TJU, umumnya, dan SEIE TJU serta FTKEE UMPSA, khususnya dapat memberikan manfaat yang meluas kepada staf akademik dan pelajar melibatkan aspek penyelidikan, penerbitan, mobiliti staf dan pelajar dan lain-lain.

Oleh: Profesor Madya Dr. Mohd Anwar Zawawi, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE)
- 31 views