NC UMPSA sertai Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 11: Memperkukuh Kesatuan Ummah dalam Krisis Geopolitik
PUTRAJAYA, 25 April 2026 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias menghadiri Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 11 bertajuk ‘Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis” yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana baru-baru ini.
Majlis menyaksikan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bertindak selaku moderator utama.
Forum tersebut menampilkan barisan panelis iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun, Necmettin Bilal Erdoğan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Pengarah Institut Penyelidikan dan Pembangunan Islam (IIDR), Sharif Hasan Al-Banna dan Profesor Madya Dr. Khairudin Aljunied dari National University of Singapore (NUS).
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dan ikon bola sepak antarabangsa, Mesut Özil serta menteri-menteri kabinet.
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, antara intipati forum ini menekankan bahawa perpaduan umat Islam bukan lagi satu pilihan strategik tetapi satu keperluan mendesak dalam situasi konflik global yang semakin kompleks.
“Di bawah rangka kerja MADANI, Malaysia akan terus menjadi suara yang lantang dalam mempromosikan kesederhanaan, keadilan dan penyelesaian berasaskan ilmu serta diplomasi dalam menangani ketidaktentuan dunia hari ini.
“FIM Siri 11 membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mewujudkan ruang dialog terbuka antara pemimpin, cendekiawan dan masyarakat demi mencari solusi kolektif bagi cabaran terbesar dunia Islam hari ini.
“Hubungan baik Malaysia-Turkiye memberi lebih banyak peluang dalam meneroka potensi besar dalam sektor AI, aeroangkasa, teknologi hijau serta transformasi digital,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, bersempena dengan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JC) Malaysia–Republik Türkiye mengenai Kerjasama dalam Pendidikan Tinggi di Pulau Pinang pada 29 baru-baru ini, Profesor Ts. Dr. Yatimah turut berkongsi pengalaman dalam sesi pembentangan bertajuk ‘Memperkukuh Kerjasama Malaysia–Türkiye dalam TVET Berteraskan Industri dan Pembangunan Bakat Global’.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan penghargaan kepada rakan sejawat dari Malaysia dan Türkiye atas perbincangan yang amat bermakna dan penuh keterbukaan ini.
Selain itu, sesi ini turut memberi ruang yang berharga untuk bertukar pandangan dan meneroka potensi memperkukuh kerjasama dalam pendidikan tinggi.
Oleh: Mimi Rabita Haji Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 42 views