Pensyarah FTKPM turun padang dalam program khidmat komuniti ilmiah
KUANTAN, 22 Januari 2024 – Seramai 15 orang pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) turun padang dalam program Khidmat Komuniti Ilmiah, Faculty@School bersama-sama dengan 104 orang pelajar tingkatan 4 Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak, Pekan.
Menurut Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), FTKPM UMPSA, Ts. Dr. Muhammed Nafis Osman Zahid, program ini adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar berkaitan dengan Teknologi Pembuatan dan Mekatronik.
“Dalam masa yang sama, kami berharap program seperti ini dapat menarik minat pelajar untuk meneroka ilmu di dalam bidang teknikal di UMPSA, sekali gus memenuhi keperluan negara pada masa hadapan.
“Program khidmat komuniti ini juga adalah seiring dengan Pelan strategik UMPSA 2021-2025 Objektif Strategik 1: Keunggulan TVET Aras Tinggi, Teras 1B: Akademik Bersama Komuniti.
“Selain berkongsi ilmu, mereka juga turut mengadakan sesi promosi dan perkongsian peluang bagi menyambung pengajian di FTKPM kelak.
“Terdapat lima modul aktiviti iaitu Mini Solar Car Challenge, Popsicle Bridge Stick, Robot Coding, Arduino Smart Robot, dan Rocket Launcher,” ujarnya.
Pengetua Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak, Mohd Asri Yusof merakamkan ucapan terima kasih dan bersyukur dengan kehadiran para pensyarah yang turun padang bersama-sama dengan para pelajar tingkatan 4.
“Pendedahan daripada para pensyarah tentang program pengajian yang ada di UMPSA dapat menarik minat para pelajar ke arah Teknologi Pembuatan dan Mekatronik dan pada masa akan datang menjadi pelajar UMPSA pula,” ujarnya.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 308 views