Skip to main content

Tenaga pengajar bahasa pantai Timur komited aktif tingkatkan profesionalisme

PEKAN, 21 November 2023 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melaksanakan program Pembangunan Profesionalisme Tenaga Pengajar Bahasa Wilayah Pantai Timur melalui pembelajaran aktif yang merupakan salah satu projek khidmat komuniti di bawah inisiatif program Profesor Turun Padang. 

Program ini mendapat kerjasama Pusat Jalinan Industri dan Masyarakat, UMPSA dan tiga Jabatan Pendidikan Negeri-negeri Pantai Timur. 

Menurut Ketua Program, Profesor Madya Dr. Noor Raha Mohd Radzuan, inti pati penting program ini adalah pendedahan tentang inovasi pembelajaran aktif yang telah terbukti keberkesanannya dan dipelopori oleh tokoh-tokoh pendidikan dunia seperti John Dewey, Carl Rogers, Lev Vygotsky dan David Kolb. 

“Pembelajaran aktif didapati relevan untuk konteks pendidikan hari ini kerana ia menekankan kewujudan persekitaran pembelajaran yang lebih menarik, berkesan dan inklusif yang menyediakan pelajar untuk berjaya dalam perkembangan akademik dan profesional mereka. 

“Ia mengukur kondisi dunia kini dari lensa pendidikan bahasa, pengajaran dan pembelajaran   generasi akan datang kini tidak lagi memungkinkan proses yang rutin dan konvensional. 

“Untuk itu, ia memerlukan anjakan profesionalisme tenaga pengajar untuk merapatkan jurang gaya pembelajaran generasi tenaga pengajar dan pelajar yang jauh berbeza terutama yang berintegrasikan teknologi,” katanya.  

Beliau turut dibantu oleh lapan fasilitator yang terdiri daripada para pensyarah dan enam pegawai PBM UMPSA.

Tambahnya, program ini berjaya mengumpulkan 40 tenaga pengajar daripada institusi pengajian tinggi swasta dan sekolah-sekolah dari negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Mereka adalah tenaga pengajar pelbagai bahasa termasuklah bahasa Melayu, Arab, Jerman, dan Inggeris.

“Selain berkongsi kepakaran masing-masing, mereka juga telah berkongsi pengalaman yang melibatkan diri secara aktif untuk memberi impak yang signifikan terhadap keupayaan berbahasa para pelajar mereka nanti.

“Mereka berpeluang menjalankan teknik praktikal untuk melaksanakan pembelajaran aktif dalam kelas,” katanya. 

Ujarnya, dengan adanya pendekatan ini, pengajaran dan pembelajaran akan jadi lebih menyeronokkan dan efektif. 
“Justeru, program ini diharap dapat memupuk minda penerokaan dan inovasi berterusan dalam kaedah pengajaran. Inovasi yang terangkum dalam pendekatan pembelajaran aktif ini telah dibuktikan dalam banyak kajian dalam meningkatkan hasil pembelajaran pelajar dan membantu mereka mencapai potensi maksimum,” katanya. 

Selain itu, para pengajar juga turut didedahkan dengan format penulisan abstrak kajian yang membantu untuk membuat persediaan bagi pembentangan di seminar atau persidangan yang amat relevan dengan kajian tindakan yang dijalankan oleh semua para tenaga pengajar bahasa di institusi masing-masing. 

Bagi Dekan PBM, Profesor Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi, beliau berharap agar usaha ini akan menjadi titik permulaan untuk lebih banyak lagi inisiatif pembangunan profesional dalam kalangan tenaga pengajar bahasa, terutamanya di Wilayah Pantai Timur, dalam mentransformasikan pendidikan bahasa yang lebih dinamik dan relevan sejajar dengan Sasaran Pembangunan Mampan (SDG) yang keempat – Pendidikan Berkualiti.

“Program ini dijalankan atas usaha PBM untuk mengetengahkan pelbagai program dan aktiviti yang ditawarkan kepada pihak luar. 

“Untuk program pascasiswazah, PBM menawarkan pengajian peringkat doktor falsafah dan sarjana dalam mod kajian serta kerja kursus. 

“Program Sarjana Sains Pengajian Bahasa Berintegrasi Teknologi (Master of Science in Technology-Integrated Language Studies) adalah program mod kerja kursus peringkat sarjana yang telah mendapat akreditasi penuh oleh pihak MQA,” ujar beliau. 

PBM juga dijangka akan menganjurkan International Conference on Language Learning & Teaching (ICOLLT) 4.0 bersama-sama dengan Universitas Ahmad Dahlan, Jogjakarta, Indonesia, dan HCMC University of Technology and Education, Ho Chi Minh City, Vietnam di Kuala Lumpur pada 25 hingga 26 April 2024 dengan tema Embracing Sustainable Development Goals (SDGs) in Teaching and Learning of Languages,” ujarnya.

Program turut dihadiri wakil Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Sofiana Bakar, Pegawai Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah dari Pejabat Pendidikan Daerah Gua Musang, Abdullah Othman, Pegawai Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (Bahasa), Mohd Anuar Ibrahim, dan Pegawai Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (Sains Sosial) dari Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman yang telah membantu mempromosikan program ini di negeri masing-masing.

Tangkapan lensa Program Pembangunan Profesionalisme Tenaga Pengajar Bahasa Wilayah Pantai Timur melalui Pembelajaran Aktif: https://www.youtube.com/watch?v=ws6ORUdpsp8

Disediakan oleh: Dr. Nor Yazi Khamis, Dr. Azwin Arif Abdul Rahim dan  Profesor Madya Dr. Noor Raha Mohd Radzu, Pusat Bahasa Moden

Reports by:
Admin UMP News