Skip to main content

UMPSA perkukuh jaringan antarabangsa melalui penyertaan International Summer Camp 2026 di Chongqing University, China

CHONGQING, 11 Julai 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan menerusi Program Sangkutan Staf yang dilaksanakan melalui penyertaan dalam 2026 International Summer Camp anjuran School of Civil Engineering (SCE), Chongqing University (CQU), China.

Program yang berlangsung selama tujuh hari bermula 5 hingga 11 Julai 2026 ini menghimpunkan pelajar daripada pelbagai negara untuk mengikuti siri kuliah akademik, lawatan teknikal, aktiviti kebudayaan serta pembelajaran berasaskan pengalaman yang memberi pendedahan menyeluruh kepada perkembangan terkini dalam bidang kejuruteraan awam.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan profesional dan mobiliti antarabangsa staf UMPSA, Timbalan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Saffuan Wan Ahmad telah dijemput sebagai Ahli Jawatankuasa Peringkat Antarabangsa bersama-sama staf School of Civil Engineering (SCE), Chongqing University (CQU) bagi menjayakan program tersebut. 

Menurut Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Saffuan, penglibatan ini bukan sahaja memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara UMPSA dan CQU, malah membolehkan perkongsian amalan terbaik dalam penganjuran program antarabangsa serta menyokong pembangunan kompetensi dan pengantarabangsaan warga universiti.

“Program sangkutan ini merupakan sebahagian daripada usaha strategik UMPSA di bawah Amanat Naib Canselor UMPSA 2026, Lonjakan 3 (Bakat) – Mobiliti Staf dan Pelan Strategik UMPSA 2025-2030 menerusi objektif ‘Attracting and Nurturing Global Talent (Staff)’. 

“Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha universiti memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa, meningkatkan mobiliti pelajar dan staf serta memperkukuh hubungan strategik dengan institusi pendidikan tinggi bertaraf dunia. 

“Selain memperkaya pengalaman akademik peserta, program ini turut membuka ruang kepada perkongsian ilmu, penyelidikan serta pertukaran budaya yang mampu melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global,” katanya. 

Program ini menghimpunkan peserta daripada institusi pengajian tinggi terkemuka di seluruh dunia, termasuklah UMPSA, National University of Singapore, Nanyang Technological University, Hanoi University of Civil Engineering, Kyoto University, University of Donja Gorica Montenegro, The University of Hong Kong, Siberian Federal University Rusia, BOKU University Vienna Austria dan University of Hannover Germany. 

UMPSA perkukuh jaringan antarabangsa melalui penyertaan International Summer Camp 2026 di Chongqing University, China

Penyertaan pelajar dari Malaysia, Singapura, Vietnam, Jepun, China, Rusia, Jerman, Austria, Montenegro, dan Mexico menjadikan program ini sebagai platform antarabangsa yang memperkukuhkan jaringan akademik, pertukaran budaya serta kolaborasi penyelidikan antara institusi pendidikan tinggi dari pelbagai rantau dunia.

Tambah beliau, program ini dimulakan dengan Majlis Perasmian International Summer Camp di Dewan Kuliah Utama School of Civil Engineering, Chongqing University. 

“Para peserta kemudiannya mengikuti empat siri kuliah akademik yang disampaikan oleh pakar-pakar dalam pelbagai bidang kejuruteraan awam. 

“Selain itu, peserta turut berpeluang menyertai kelas kebudayaan melalui sesi Traditional Kung Fu, di samping melawat University History Museum bagi memahami sejarah serta pembangunan universiti tersebut. 

“Gabungan elemen akademik dan budaya ini memberikan pengalaman pembelajaran yang unik kepada semua peserta,” katanya. 

Selain aspek akademik dan budaya, beliau turut menambah, lawatan teknikal ke Gaojiayuan Industrial Park dan Chongqing Urban Planning Exhibition Hall juga turut dijalankan. 

“Lawatan ini memberi peluang kepada peserta memahami pembangunan industri moden serta perancangan bandar pintar yang dilaksanakan di Chongqing. 

“Peserta turut didedahkan kepada amalan pembangunan lestari, penggunaan teknologi dalam pembangunan bandar serta strategi pembangunan infrastruktur yang menyokong pertumbuhan ekonomi wilayah tersebut.  

“Program ini juga memberi tumpuan kepada aspek geologi dan pembinaan bangunan moden melalui lawatan ke Nanjiang Hydrogeology and Engineering Geology Brigade serta Chongqing Land-Sea International Center,” katanya.

Beliau turut berkata, para peserta diberi penerangan mengenai aspek geologi yang mempengaruhi pembangunan struktur tinggi, teknik penyiasatan tanah serta cabaran pembinaan di kawasan berbukit yang menjadi ciri utama bandar Chongqing. 

“Pengalaman melihat sendiri pembangunan pencakar langit dan teknologi pembinaan moden memberikan gambaran jelas mengenai hubungan antara geologi, reka bentuk struktur dan pembangunan bandar yang mampan.

“Antara pengisian yang paling dinanti-nantikan adalah apabila peserta mengikuti kuliah akademik berkaitan Wind Engineering, diikuti lawatan ke makmal penyelidikan bertaraf dunia termasuk Shaking Table Laboratory, Structural Laboratory dan Wind Laboratory. 

“Peserta berpeluang melihat sendiri kemudahan simulasi berskala besar yang digunakan bagi mengkaji tindak balas struktur terhadap gempa bumi, beban angin serta keadaan ekstrem lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, lawatan ini memberi pendedahan yang amat bernilai terhadap penyelidikan terkini dalam bidang kejuruteraan struktur dan mitigasi bencana. 

“Peserta turut mengambil bahagian dalam Bridge Model Competition, iaitu pertandingan mereka bentuk dan membina model jambatan yang menguji kreativiti, kemahiran kejuruteraan serta semangat kerja berpasukan. 

“Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal peserta malah memupuk komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah dalam kalangan peserta antarabangsa.

“Kemuncak lawatan teknikal berlangsung pada hari terakhir apabila peserta dibawa ke tapak pembinaan Beibei Tianfu Jialing River Bridge,” katanya. 

Beliau turut menjelaskan bahawa lawatan ini memberikan pendedahan secara langsung kepada teknologi pembinaan jambatan moden, pengurusan projek berskala besar serta aspek keselamatan yang diterapkan sepanjang proses pembinaan. 

“Pengalaman melihat projek sebenar membantu peserta menghubungkan teori yang dipelajari di bilik kuliah dengan aplikasi sebenar dalam industri pembinaan.

“Sepanjang program berlangsung, peserta memperoleh pelbagai manfaat akademik hasil pendedahan kepada kemudahan penyelidikan bertaraf dunia seperti Large Shaking Table, makmal Wind-Wave-Current, kuliah berkaitan daya tahan struktur serta lawatan industri yang memfokuskan kepada aplikasi sebenar teknologi kejuruteraan. 

“Pendedahan ini meningkatkan kefahaman peserta mengenai pembangunan infrastruktur moden, reka bentuk struktur tahan bencana serta kepentingan penyelidikan dalam menghasilkan penyelesaian kejuruteraan yang mampan,” katanya. 

Secara keseluruhannya, penyertaan UMPSA dalam 2026 International Summer Camp bukan sahaja berjaya meningkatkan pengetahuan akademik peserta, malah memperkukuhkan hubungan strategik antara UMPSA dan Chongqing University dalam bidang pendidikan, penyelidikan serta mobiliti antarabangsa serta memberikan pengalaman baharu kepada beliau selaku ahli jawatankuasa jemputan pada peringkat antarabangsa.

Disediakan Oleh: Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Saffuan Wan Ahmad, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri