Skip to main content

“Dampingku” bawa tuah buat Baraqah Beggers UMP

Nilai - Pentas Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi saksi kejayaan kumpulan Kelab Nasyid Baraqah Beggers dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) merangkul tempat ketiga dalam Pertandingan Nasyid Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Asean 2018. Mempertaruhkan lagu berjudul “Damping Ku” ciptaan Halim Ahmad (Devotees),  Baraqah Beggers berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500 berserta trofi.  

Bertemakan “Wasatiyyah Asas Transformasi Ummah”, sebanyak 10 pasukan dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh Asia termasuk Indonesia dan Brunei berentap bagi merebut gelaran juara dengan karya berbentuk persembahan nasyid moden kontemporari.

Menurut Penasihat Kelab,  Edeazry Hamzah yang juga staf dari Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK), penyampaian kali ini lebih tertumpu kepada penghayatan lagu dan kesepaduan vokal agar bait-bait lirik yang dilontarkan sampai ke hati penonton.

Manakala bagi ketua kumpulan, Muhammad Danial Othman, kejayaan ini adalah hasil titik peluh dan usaha dari seluruh ahli kelab bagi memastikan kelancaran persembahan.

“Kami menitikberatkan aspek ikhlas dalam melaksanakan setiap persembahan agar elemen dakwah dan nasihat yang cuba disampaikan diberkati malahan sokongan dan tunjuk ajar dari pelajar kanan juga banyak membantu dalam meningkatkan kualiti persembahan,” katanya.

Selain Muhammad Danial, Baraqah Beggars diwakili lima peserta lain yang terdiri daripada gabungan mahasiswa dari pelbagai fakulti. Mereka adalah Ahmadkamalimran Mohd Zuber dari Fakulti kejuruteraan Mekanikal (FKM), Firdaus Mat Shukri mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Mohamad Anis Firdaus Mohd Jazlan mahasiswa dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP), Muhammad Amzar Asrul (FKEE) dan Syed Muhammad Arif Danial Syed Mohd Azmir Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (FKKSA).

Pertandingan menyaksikan Kumpulan Fawwaz dari Universiti Malaya (UM) menyandang gelaran johan pertandingan manakala naib johan pula diungguli oleh peserta tuan rumah iaitu kumpulan Intrakcsee.  Pertandingan nasyid pada kali ini telah dinilai dan diadili oleh komposer dan karyawan tanah air yang tidak asing lagi iaitu Fauzi Marzuki, Azam Dungun, Razin Mestica dan Azizul Haqim Md Anuwar. 
 

Disediakan oleh Nur Laila Afandi dari Bahagian Komunikasi dan Korporat PNC

Reports by:
Nur Laila binti Afandi