Dua pasangan suami isteri terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Sempena Hari Kualiti dan Inovasi UMPSA 2025
PEKAN, 13 Jun 2025 – Dua pasangan suami isteri warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sempena Hari Kualiti dan Inovasi UMPSA 2025 yang berlangsung dengan meriah di Dewan Serbaguna, Pekan.
Majlis tahunan itu diadakan bertujuan untuk menghargai kecemerlangan warga universiti dalam bidang perkhidmatan, penyelidikan dan inovasi, serta memperkukuh semangat kerja berpasukan dan budaya kerja berkualiti dalam kalangan staf UMPSA.
Antara yang mencuri perhatian dalam majlis itu ialah pengiktirafan kepada dua pasangan suami isteri yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam kerjaya masing-masing.
Pasangan pertama ialah Pembantu Khidmat Am, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Che Afandi Che Abdullah dan isterinya Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi), Fakulti Komputeran (FK), Nur Sarihah Abdul Hamid.
Pasangan kedua pula ialah Profesor di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Profesor ChM. Ts. Dr. Gaanty Pragas a/l Maniam, dan isterinya, Pegawai Tadbir Kanan di Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Kalpana a/p Ramachandran.
Gabungan akademik dan pentadbiran yang dimiliki oleh pasangan ini menyerlahkan sinergi luar biasa dalam menyokong ekosistem pembelajaran dan pengurusan yang berkesan di UMPSA.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias menyampaikan anugerah kepada para penerima sambil menzahirkan penghargaan atas dedikasi dan sokongan yang ditunjukkan oleh pasangan-pasangan ini dalam menjayakan misi dan visi universiti.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja meraikan kejayaan individu, tetapi turut mengiktiraf peranan pasangan yang menjadi tulang belakang dan pencetus semangat antara satu sama lain dalam mengejar kecemerlangan,” ujar beliau dalam ucapan perasmiannya.
Majlis HKI 2025 turut menyaksikan penyampaian 12 kategori anugerah, antaranya Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Anugerah Kualiti Naib Canselor, Anugerah Akademik Universiti, Anugerah Penyelidikan, Inovasi dan Komersial, Anugerah e-Pembelajaran Universiti dan Anugerah Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di UMPSA.
Lain-lain adalah Anugerah Penulisan Rencana Terbaik, Anugerah Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Anugerah Ekosistem Kondusif Sektor Awam, Anugerah Sukan, Anugerah Personaliti Masyarakat dan Anugerah Kecemerlangan Industri dan Masyarakat.
Kehadiran ramai warga universiti memeriahkan suasana majlis yang menjadi platform tahunan dalam menyemarakkan budaya kerja berkualiti dan inovatif di UMPSA.
Disediakan Oleh : Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 329 views