Skip to main content

Jasa ‘Yo’ dikenang terima penghargaan UMP

KUANTAN, 27 Disember 2021- Dua individu bernama ‘Yo’ menerima penghargaan daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP) atas jasa dan pengorbanan setelah menyelamatkan sebuah keluarga mangsa banjir yang tinggal di Tanah RTK Ekonomi Sri Damai dalam bencana banjir yang melanda Pahang baru-baru ini. 

Shaharul Anuar Ismail, 39 yang yang bertugas sebagai Pembantu Operasi UMP bersama jiran yang juga kawan baiknya di Taman Sri Damai Aman, Kamarul Azam Kamat Audah, 32 yang kedua -duanya dikenali sebagai ‘Yo’ menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dalam program meraikan mereka di Kuantan baru-baru ini. 

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad. 

Turut sama dirai keluarga Hanafi Muhamad Yusoff, Pengerusi KRT Taman Sri Damai, Jaafar Embong serta Jiranita KRT Taman Sri Damai  Aman, Rohana Sulaiman yang turut berada bersama mereka sepanjang kejadian tersebut. 

Sanggup mengorbankan nyawa mereka terpaksa meredah dalam kegelapan sekitar jam 1.00 pagi bagi membantu memindahkan keluarga ini yang terletak hampir 500 meter dari rumahnya. 
 
Dengan menaiki bot jirannya mereka mengharungi air deras di kawasan tanaman pokok pisang dan hampir dihanyutkan arus deras beberapa kali. 

Tindakan pantas mereka ini turut membantu pihak bomba mengenalpasti lokasi  dalam menyelamatkan keluarga mangsa lain di lokasi tersebut. 

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie semangat kesukarelawanan mereka ini wajar dijadikan contoh buat warga UMP dan masyarakat dalam usaha membantu insan lain semasa berdepan situasi sukar. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit