Jurnal UMPSA raih tempat kedua dan ketiga Makalah Jurnal Terbaik dalam Majlis Anugerah MAPIM-KPT Ke-15
PUTRAJAYA, 18 Disember 2024 – Jurnal terbitan Penerbit Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terpilih sebagai penerima tempat kedua dan ketiga Makalah Jurnal Terbaik dalam Majlis Anugerah MAPIM-KPT ke-15 tahun 2024 yang berlangsung di Dewan Zaa’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha Sakmud itu menghimpunkan lebih 50 penerima anugerah merangkumi pencapaian bagi penilaian tahun 2023 meliputi 20 kategori.
Beliau dalam ucapannya menyatakan bahawa majlis ini merupakan pengiktirafan dan satu momentum penting dalam memperingati usaha serta sumbangan berharga dalam bidang penerbitan ilmiah negara.
“Penerbitan ilmiah memainkan peranan penting dalam menghubungkan ilmu pengetahuan dengan masyarakat, menggalakkan perkongsian idea dan membina jaringan ilmiah yang kukuh.
“Namun, kita tidak seharusnya tertumpu kepada hasil semata-mata tetapi wajar melihat keberhasilan utama penerbitan ilmiah ini kepada negara dan masyarakat,” katanya.
Pada majlis tersebut, makalah berjudul ‘Lean Culture for A Successful Lean Manufacturing Implementation: An Empirical Evidence from Malaysian Manufacturing Industry’ dalam International Journal of Industrial Management (IJIM) dipilih pemenang tempat kedua Makalah Jurnal Terbaik Sains Sosial dan Kemanusiaan kategori Indeks Antarabangsa, hasil tulisan dan penyelidikan pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FPI) UMPSA, Dr. Norhana Mohd Aripin bersama Dr. Gusman Nawanir dan Dr. Suhaidah Hussain.
Manakala, Makalah Jurnal Terbaik Sains, Teknologi dan Perubatan Indeks Kebangsaan diraih artikel berjudul ‘Mechanical, Thermal, and Morphological Properties of Poly (Lactic Acid) (PLA)/Recycled Tyre Rubber Waste Compatibilised With Chain Extender’ dalam Journal of Chemical Engineering and Industrial Biotechnology (JCEIB) yang dihasilkan oleh pelajar Pascasiswazah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Ramzi Qasem Hasan Ali Saghir bersama Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Bijarimi Mat Piah dan Waleed Alhadadi berjaya mendapat tempat ketiga
Pengarah Penerbit UMPSA, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Norazlianie Sazali merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada penyelidik UMPSA atas hasil usaha dan komitmen dalam memperkasa penerbitan ilmiah negara.
“Pencapaian ini mampu menjadi pendorong untuk terus berusaha meningkatkan kualiti penerbitan di masa hadapan.
“Pengiktirafan ini juga merupakan satu penghargaan kepada usaha keras penyelidik-penyelidik ini dalam menyumbang kepada kemajuan sains dan teknologi,” ujarnya.
Pada majlis itu juga turut disampaikan Anugerah Sanjungan Budi kepada individu yang pernah menerajui penerbit anggota Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) dalam tempoh tahun 2021 hingga 2023.
Disediakan Oleh: Fadhilah Abdul Ghaffar, Penerbit UMPSA
- 56 views