Kepimpinan dan Dedikasi Kesukarelawanan Fatini Nasuha Diiktiraf di Anugerah MARS 2023
KUANTAN, 18 Mei 2024 – Fatini Nasuha Ahmad Puad, seorang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah dinobatkan sebagai Tokoh Mahasiswa Harapan pada Majlis Anugerah Mercu Sanjungan (MARS) 2023 yang berlangsung di Hotel Zenith, Kuantan baru-baru ini.
Pengiktirafan ini diberikan atas sumbangan cemerlang beliau dalam aktiviti khidmat komuniti dan kesukarelawanan.
Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM700, sijil dan trofi.
Fatini Nasuha aktif dalam pelbagai program khidmat sosial anjuran universiti dan Yayasan UMPSA termasuk Program Mobiliti Antarabangsa ‘To Give Them Hope’ di Ho Chi Minh, Vietnam sebagai pengurus projek, serta program kesukarelawanan seperti Kembara Prihatin@Semporna dan Tuaran, Sabah.
Kini, beliau juga terlibat sebagai pengurus projek Kembara Prihatin@Bumi Kenyalang 2.0 yang akan diadakan pada Ogos ini.
Beliau turut memegang jawatan sebagai Presiden Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 3 selama dua tahun berturut-turut bagi sesi 2021/2022 dan 2022/2023.
Selain itu, Fatini juga menjawat pelbagai jawatan lain seperti Pengarah Karnival Apresiasi Wanita (KASWITA) 2023, Timbalan Pengarah Karnival Indahnya Ramadan, dan penceramah bagi Bengkel Pelaporan Program.
Dalam peranan ini, Fatini menunjukkan kepimpinan yang luar biasa dengan merancang dan melaksanakan acara-acara penting yang memerlukan koordinasi dan kerjasama yang tinggi.
Kepimpinan yang dimiliki oleh Fatini menunjukkan dedikasi dan komitmen beliau dalam setiap tugas yang diamanahkan, menjadikan beliau contoh teladan kepada mahasiswa lain.
Fatini turut meraih pingat emas dalam 14th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2024 dan Anugerah Penyelidikan dan Inovasi dalam Majlis Apresiasi Yayasan UMPSA 2023.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar.
Turut hadir Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, dan barisan pengurusan tertinggi universiti.
Profesor Dato’ Yuserrie dalam ucapannya menyatakan bahawa prestasi dan komitmen tinggi para pemenang dalam aktiviti kokurikulum sepanjang tahun lalu adalah sangat membanggakan.
“Semoga pengiktirafan ini dapat menjadi inspirasi dan menyemarakkan semangat mahasiswa lain untuk terus beraktiviti.
“Segala penglibatan mahasiswa akan direkodkan di dalam Sistem Pembangunan Pelajar dan diterjemahkan dalam transkrip kokurikulum sebagai transkrip kedua yang diharapkan dapat membantu para graduan mendapat pekerjaan yang baik,” ujarnya.
Fatini Nasuha, yang terharu dengan kemenangan ini menyatakan kesyukurannya dan ingin menghadiahkan pencapaian ini kepada kedua ibu bapanya.
“Saya berazam untuk terus aktif dalam kesukarelawanan dan membantu golongan yang memerlukan,” katanya.
Disediakan Oleh: Nor Azlina Ahmad, Yayasan UMPSA
- 218 views