Skip to main content

Nur Izzaty, Tokoh Mahasiswa ADAB UMPSA: Peneraju Inovasi dan Keusahawanan untuk Matlamat Pembangunan Mampan

KUANTAN, 18 Mei 2024 – Majlis Malam Anugerah Mercu Sanjung (MARS), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berlangsung meriah di Zenith Hotel, Kuantan baru-baru ini menyaksikan seorang pelajar cemerlang dari Fakulti Komputeran, Nur Izzaty Ariffin, dianugerahkan sebagai Tokoh Mahasiswa ADAB.

Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan atas pencapaian luar biasanya dalam pelbagai aspek pembangunan sahsiah, termasuk kepimpinan, inovasi, kesukarelawanan, dan keusahawanan.

Nur Izzaty, yang mesra disapa Zaty telah membuktikan keunggulannya dalam bidang penyelidikan dengan memenangi pingat emas di Pameran Teknologi Inovasi Antarabangsa (ITEX) melalui projek inovatifnya yang dinamakan ‘GajahSafe’. 

Projek ini memfokuskan kepada teknologi untuk melindungi habitat gajah dan mengurangkan konflik antara manusia dan haiwan. 

Kejayaan dalam penyelidikan ini turut memberi inspirasi kepada Zaty untuk membuka perniagaan sendiri yang yang berkaitan dengan inovasi tersebut.

Perniagaan yang diasaskan oleh Zaty itu dikenali sebagai Ascenity Solution. 

Syarikat ini berfokus pada projek Internet of Things (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI), serta menawarkan sistem web dan aplikasi mudah alih yang menggabungkan teknologi AI. 

Melalui Ascenity Solution, Zaty berjaya mengintegrasikan sistem AI dengan platform web dan mudah alih, memperlihatkan kemampuan dan visi keusahawanannya yang inovatif.

Majlis Malam Anugerah Mercu Sanjung

Selain pencapaian akademik, Zaty juga turut aktif dalam program-program pembangunan sahsiah. 
Antaranya, beliau telah menyertai Program Eksplorasi ASEAN ke Aceh, Indonesia yang memberi pengalaman berharga dalam memahami budaya dan masyarakat di rantau ASEAN. 

Penglibatannya dalam program ini telah memperkukuhkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan antarabangsa.

Zaty juga memainkan peranan penting sebagai Pengurus Projek bagi program Kembara Prihatin@Pekan yang membawa impak besar kepada komuniti setempat di Pekan, Pahang. 

Projek ini berjaya menarik perhatian ramai pihak termasuklah PahangFM yang menjemput Zaty untuk satu sesi temu bual eksklusif bagi berkongsi pengalaman dan impak positif program tersebut.

Nur Izzaty juga merupakan penerima biasiswa Yayasan UMPSA-Etiqa Takaful sepanjang pengajiannya, yang telah memberi sokongan kewangan serta dorongan untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Beliau amat bersyukur dan berterima kasih atas pengiktirafan ini. 

“Kejayaan ini adalah hasil daripada sokongan keluarga, rakan-rakan, dan pensyarah yang sentiasa memberi dorongan dan bimbingan. 

“Saya berharap dapat terus menyumbang kepada masyarakat melalui penyelidikan dan projek-projek komuniti yang bermanfaat," katanya.

Majlis MARS yang diadakan setiap tahun itu bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan mahasiswa dalam pelbagai bidang, termasuk kepimpinan, sukan, kebudayaan, kesukarelawanan, keusahawanan, pengucapan awam, dan inovasi. 

Anugerah Tokoh Mahasiswa ADAB yang dimenangi oleh Zaty adalah bukti komitmen dan dedikasinya dalam mencapai kecemerlangan menyeluruh sebagai mahasiswa.

 

Disediakan Oleh: Nor Azlina Ahmad, Yayasan UMPSA

Reports by:
Admin UMP News