Penyelidikan PM. Ir. Dr. Mohd Hafizi raih Anugerah Khas MTE 2021
PEKAN, 1 April 2021 – Penyelidikan Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Hafizi Zohari dengan tajuk Fiber Bragg Grating System for Engineering Structures Health Monitoring menerima Anugerah Khas MTE 2021 Chinese Innovation & Invention Society Taiwan dan pingat emas dalam Pameran Malaysia Technology Expo 2021 (MTE) yang dijalankan secara dalam talian baru-baru ini.
Pertandingan menyaksikan Universiti Malaysia Pahang (UMP) memenangi 15 pingat iaitu satu anugerah khas, lima pingat emas dan sembilan pingat perak.
Menurut Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Hafizi yang merupakan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), beliau tidak menyangka dengan kejayaan ini dan berterima kasih kepada UMP terutamanya pihak Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI) yang tidak putus-putus memberikan peluang untuk penyelidik mengetengahkan produk hingga luar sempadan UMP.
“Produk ini merupakan penyelesaian kepada sistem pemantauan struktur kejuruteraan yang menyeluruh dan memberikan maklumat dalam masa nyata (real-time).
“Produk sedia ada dalam pasaran berasaskan elektrik yang mengehadkan jumlah penggunaan sensor kerana memerlukan sistem pendawaian yang banyak dan berat.
“Dengan pengenalan produk sensor yang berasaskan fiber optik, masalah ini dapat diselesaikan. Bahkan dengan saiz yang lebih halus, ia memungkinkan penggunaanya di bahagian yang tidak boleh dicapai oleh sensor konvensional,” katanya.
Selain itu katanya, produk ini adalah kompak, lengkap bersama dengan perisian yang mudah dikendalikan oleh operator dan boleh dibawa ke mana-mana lokasi yang diperlukan,
“Malahan, sokongan pihak UMP dengan pemberian geran pembangunan produk amat dihargai.
“Tanpa bantuan dan sokongan itu memang sukar kami hendak maju ke hadapan,” ujarnya.
Empat lagi pingat emas dimenangi oleh Profesor Dr. Muhammad Nubli Abdul Wahab dari Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) menerusi projek penyelidikannya Biodyslexia, Profesor Madya Dr. Khairunisa Muthusamy dengan penyelidikan bertajuk Clin-Litecrete, dan Profesor Madya Dr. Muhammad Sharfi Najib menerusi penyelidikan E-Anfun for Environmental Safety and Monitoring.
Pada masa yang sama Ts. Dr. Mohd Azrul Hisham Mohd Adib turut memenangi pingat emas dengan menerusi penyelidikannya yang bertajuk Infawrap Device.
Manakala pingat perak pula menjadi milik sembilan orang penyelidik UMP iaitu Professor Dr. Hayder A. Abdul Bari, Profesor Madya Ir. Dr Mohd Fairusham Ghazali, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Kumaran Kadirgama, Profesor Madya Dr. Md. Arafatur Rahman, Profesor Madya Dr. Saiful Nizam Tajuddin, Dr. Lee Chia Kuang, Ts. Dr. Norazlianie Sazali, Dr. Mohammed Nazmus Shakib dan Dr. Rajaletchumy Veloo Kutty.
Pertandingan MTE 2021 pada tahun ini dianjurkan berbeza dengan tahun sebelumnya kerana pandemik wabak COVID-19.
Pertandingan kali ini memperlihatkan penganjuran secara dalam talian dengan para penyelidik terlibat perlu menghantar video bagi menunjuk dan menjelaskan inovasi mereka sebelum dinilai oleh para juri.
MTE 2021 merupakan platform bagi para penggiat inovasi, pereka dan usahawan untuk mempamerkan penemuan, idea, prototaip, produk dan reka bentuk terkini mereka kepada pelabur, pengeluar, pengedar dan pemasar di Asia.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 209 views