UMPSA di tangga ke-159 terbaik Asia dalam QS World University Rankings: Asia 2025
PEKAN, 7 November 2024- Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya mengukuhkan kedudukan sebaris dengan universiti bertaraf dunia dan menghasilkan program akademik diiktiraf di peringkat global dengan penyelidikan berkualiti selain kejayaan melahirkan siswazah berkualiti yang memberi impak terhadap pendidikan tinggi negara.
UMPSA terus cemerlang apabila disenaraikan di kedudukan ke-159 dalam penarafan QS World University Rankings: Asia 2025 yang telah diumumkan oleh pihak Quacquarelli Symonds (QS) semalam (6 November 2024).
Kejayaan ini menjadikan UMPSA berada di tangga ke-39 terbaik di Asia Tenggara, 16 terbaik di Malaysia dan kedudukan pertama universiti terbaik dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr Aida Mustapha yang menjalankan fungsi Naib Canselor, UMPSA merupakan sebuah universiti awam ke-16 yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi menawarkan program pendidikan tinggi berteraskan kejuruteraan dan teknologi serta penyedia program TVET termaju (aras tinggi) negara.
“Bagi penilaian edisi tahun 2025, UMPSA telah berjaya meningkatkan perolehan skor keseluruhan kepada 44.9 peratus berbanding 31.5 peratus bagi penilaian tahun 2024.
“UMPSA juga berjaya menunjukkan peningkatan bagi indikator International Research Network dengan berada di kedudukan 110 terbaik Asia berbanding 130 bagi penilaian tahun 2024.
“Penilaian bagi indikator Paper per Faculty juga meningkat kepada di kedudukan 133 terbaik Asia berbanding 153 bagi penilaian tahun 2024,” ujarnya.
Pencapaian ini katanya, menjadi sumber kebanggaan buat seluruh warga UMPSA yang sentiasa komited terhadap kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, kerjasama industri dan peningkatan penyelidikan berimpak serta kolaborasi akademik yang telah menyumbang terhadap pencapaian UMPSA.
“Selain itu, kejayaan penarafan ini juga mencerminkan usaha berterusan UMPSA dalam meningkatkan reputasi dan kecemerlangan dalam arena pendidikan tinggi global.
“UMPSA sentiasa komited dalam meningkatkan standard akademik dan penyelidikan serta seterusnya memperkukuhkan peranannya sebagai antara universiti terkemuka yang diiktiraf di persada antarabangsa.
“Tahniah saya ucapkan tahniah kepada seluruh warga UMPSA atas pencapaian cemerlang ini yang merupakan sumbangan semua warga UMPSA khususnya ahli akademik yang komited dalam melaksanakan penyelidikan, pengajaran dan penerbitan berimpak tinggi,” katanya.
QS World University Rankings: Asia 2025 mengguna pakai 11 indikator dalam menilai sesebuah universiti antaranya reputasi akademik, reputasi majikan, bilangan staf berkelulusan PhD, rangkaian penyelidikan antarabangsa dan pertukaran mahasiswa dalam dan luar negara.
Sebanyak 984 universiti disenaraikan dalam QS World University Rankings: Asia 2025 dengan 142 daripadanya pertama kali dinilai pada edisi kali ini.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 57 views