UMPSA dilantik Pusat Kecemerlangan (CoE) WorldSkills Malaysia bagi Digital Construction
BANGI, 8 Disember 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dilantik sebagai Pusat Kecemerlangan (CoE) WorldSkills Malaysia bagi Digital Construction.
Dengan pelantikan ini, UMPSA menerusi Pusat Inovasi dan Pangkalan Ilmu Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM Centre) bakal membawa harapan besar sebagai persediaan ke pertandingan WorldSkills Shanghai 2026.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias hadir menerima watikah daripada Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Steven Sim Chee Keong bersempena dengan Majlis Anugerah Wira WorldSkills Malaysia 2025 hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Dalam usaha memperkukuh profesionalisme dan laluan kerjaya tenaga mahir, Yang Berhormat Steven Sim turut mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan Sijil Pakar Malaysia sebagai pengiktirafan rasmi kepada pakar-pakar kemahiran negara.
"Tiga tahap baharu iaitu pakar kemahiran, pakar kemahiran kanan dan perunding kemahiran akan diperkenalkan supaya golongan mahir ini turut menerima pengiktirafan rasmi daripada kerajaan dan industri bagi memperoleh peluang pekerjaan yang lebih baik.
“Pengenalan pensijilan tersebut akan menyokong pembangunan ekosistem TVET yang bukan sahaja melahirkan tenaga mahir, tetapi turut menghargai pakar tempatan yang berupaya memimpin inovasi dan latihan di peringkat nasional serta antarabangsa,” katanya semasa menghadiri program yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Centre (BACC).
Dalam pada itu, Profesor Dr. Yatimah berkata, UMPSA berpengalaman dalam pertandingan Worldskills Lyon 2025 dan 2nd Belt & Road International Skills Competition Chingqing 2025 sebagai Pakar dan Jurulatih Negara.
“Peranan UMPSA melalui BIM Centre bermula seawal pemilihan peserta terbaik bagi mewakili negara pada tahun 2023.
“Pengalaman terdahulu, diadun dan distrukturkan bagi pembangunan Modul Worldskills dan Rangka Kerja Termaju Kemahiran Pembinaan Digital.
“Pusat ini turut mengurus ekosistem pembangunan bakat BIM dan Pembinaaan Digital di Malaysia merangkumi standard kemahiran Worldskills Occupational Standard, Modul Kompetensi BIM CIDB dan National Occupational Skills Standard,” ujarnya.
Kerjasama luar biasa antara BIM Centre dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Sri Gading menjadi resepi utama kemenangan lebih istimewa kerana Digital Construction dipertandingkan buat pertama kali dalam sejarah WSA.

Selaku CoE Digital Construction WorldSkills Malaysia, BIM Centre pada kali ini turut mendapat kerjasama pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) selaku agensi utama, CIDB MyBIM Centre & BIMAGE Consulting selaku penaja dan KKTM Sri Gading sebagai lokasi latihan pecutan akhir pada kejohanan baru-baru ini.
Ia adalah hasil daripada bimbingan intensif dan sokongan strategik Pengarah Pusat Inovasi dan Pangkalan Ilmu Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM Centre), Profesor Madya Dr. Ahmad Tarmizi Haron yang juga Ketua Pakar Negara bersama Eksekutif Teknikal BIM Centre, Ts. Muhammad Syaiful Safwan Nordin, selaku Pakar Negara.
Begitu juga dengan tenaga pengajar KKTM Sri Gading, Mohamad Fazil Jamaluddin merangkap Jurulatih Negara menjadi faktor penentu kejayaan negara alumni KKTM Sri Gading, Muhamad Nashrul Zulkifli yang berjaya meraih pingat emas dan dinobatkan sebagai Best of Nation bagi Skills 58 – Digital Construction di Pertandingan WorldSkills Asia (WSA) yang berlangsung di Taipei baru-baru ini.
Acara penuh gilang-gemilang itu meraikan para wira kemahiran negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas nasional dan antarabangsa berjuang demi martabat kemahiran dan TVET Malaysia.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 40 views
Reports by: