KUANTAN: Seramai 25 graduan daripada kohort kedua Program Ijazah Dual antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Beijing Jiaotong University (BJTU) berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan.
Mereka terdiri daripada tujuh graduan jurusan Kejuruteraan Awam , 10 graduan jurusan Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa) dan lapan graduan jurusan berkaitan Kejuruteraan Mekanikal.
Pencapaian itu selepas mengikuti pengajian selama dua tahun di UMPSA sebelum menyambung pengajian selama dua setengah tahun di BJTU, China, sekali gus menyokong agenda pembangunan industri rel negara.
Majlis penyampaian ijazah disampaikan Presiden BJTU, Prof Dr Yu Zujun dan disaksikan Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias dan Timbalan Pengarah, Kluster Pembangunan Strategik Pelajar, Bahagian Pembangunan Modal Insan (BPMI), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Idayuwati Abdullah @Ab Rahman di Beijing, China, semalam.