Skip to main content
HEADER CREATE

Info Sekitar Kampus

UMP utamakan kebajikan dan keselamatan pelajar

BIL. 73 APR 2020

Oleh: SITI NUR AZWIN ZULKAPRI, UNIT PERHUBUNGAN AWAM, PEJABAT, NAIB CANSELOR

Keputusan kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 31 Mac sehingga 14 April depan disifatkan sebagai langkah terbaik yang dilakukan kerajaan dalam memerangi penularan wabak Coronavirus (Covid-19) di negara ini. 

Sepanjang tempoh ini, Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menangguhkan semua operasi perkhidmatan dan tiada aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) termasuk dalam talian dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac sehingga 14 April 2020.

Dalam pada itu, UMP turut membuat penjadualan semula kalendar akademik Semester 2 dan Semester Pendek Sesi 2019/2020 yang mana pengkuliahan bakal bermula pada 1 Jun depan setelah mengambil kira aspek keselamatan dan usaha untuk membanteras penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Berkongsi kisah buat pelajar yang masih kekal tinggal di kampus, menurut Pengetua Kolej Kediaman 4, Nasrul Salim Pakheri, pihak Jabatan Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dan Kolej Kediaman Pelajar mengambil inisiatif dalam tempoh PKP fasa dua ini dengan meneruskan program kebajikan dengan menyediakan makanan pagi, tengah hari dan malam dengan peruntukan yang diberikan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta sumbangan pihak luar buat pelajar di dalam kampus dan mereka yang tinggal di luar kampus.

Penganjuran program bersifat maya (online) turut dilaksanakan di Kolej Kediaman (Siswa) seperti mencipta video pendek, mencipta permainan (online) serta berkongsi poster berkonsepkan nasihat bagi memastikan  masa pelajar diisi dengan membuat perkara yang berfaedah. 

Begitu juga di Kolej Kediaman (Siswi) pula program yang diadakan termasuklah pertandingan nyanyian, pertandingan mencipta tagline #Staysafe, pertandingan melukis dan pertandingan pantun sempena Covid-19.
 
Pada masa yang sama, pelajar sentiasa diingatkan agar sentiasa mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti mencuci tangan dan mengambil langkah pencegahan seperti kekal jarak satu meter antara individu dan tidak berkumpul.
 
Menurut pelajar dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Tuan Muhamad Asani Tuan Ibrahim, 22, PKP yang dijalankan oleh pihak kerajaan merupakan inisiatif yang bijak dalam menangani wabak Covid-19 ini rentetan daripada PKP fasa pertama yang telah dijalankan sebelum ini menunjukkan kesan yang positif.
 
“Sebagai mahasiswa yang menetap di kampus universiti dalam situasi pandemik sekarang ini, saya merasakan diri saya selamat berada di kampus universiti. 

“Pihak keselamatan universiti memandang serius tentang sekatan masuk terhadap orang luar ke dalam kawasan universiti,” katanya. 
  
Tambah Nasrul, selain itu, dari sudut kebajikan mahasiswa pula, pihak universiti telah mengambil peranan yang terbaik dalam menyediakan semua kelengkapan harian kepada semua mahasiswa yang berada di kampus. 

“Contohnya, setiap pengetua dan felo kolej kediaman bertanggungjawab terhadap pengagihan makanan kepada penghuni kolej kediaman masing-masing termasuklah kit kebersihan dan makanan sampingan daripada Campus Pantry UMP yang dibekalkan pihak Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi Program Food Bank Siswa.
 
“Saya amat bersyukur kerana pihak universiti mengambil peranan yang sewajarnya terhadap golongan mahasiswa yang berada di kampus. 

“Dalam pada itu, pendekatan yang diambil oleh pihak universiti ini secara tidak langsung mampu mengurangkan kerisauan para pelajar.
 
“Selain itu juga, pergerakan pelajar di sini turut dipantau dengan baik. Sebagai contoh, pihak keselamatan sentiasa membuat rondaan dan pemantauan terhadap penghuni di sini bagi memastikan mereka mengikuti arahan PKP dengan baik,” katanya.   
 
Bagi pelajar Kolej Kediaman 3, Siti Nur Nabirah Amran, 22 dari Fakulti Pengurusan Industri pula, pihak kolej kediaman juga amat menitik beratkan hal ehwal kebajikan para pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung halaman. 

“Pihak kolej juga menganjurkan pelbagai aktiviti menarik contohnya baru-baru ini telah diadakan pertandingan mencipta hashtag kreatif  sebagai aktiviti dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik.   
 
“Pengalaman ini sungguh berharga dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan warga UMP terhadap kami yang tidak akan dapat dilupakan sepanjang hayat. 

“Marilah bersama-sama kita berdoa agar penularan wabak penyakit yang melanda negara kita ini beransur pulih dan kita bebas daripada Covid-19,” ujar Siti Nur Nabirah.


Info Sekitar Kampus

Hargai masa dan kesejahteraan kehidupan

BIL. 73 APR 2020

Oleh: NUR SA'ADATUL AFZAN JUSOH, PEJABAT NAIB CANSELOR

Penularan wabak Covid-19 secara global telah banyak memberikan kesan kepada seluruh penduduk dunia secara amnya dan tidak ketinggalan juga kita yang berada di Negeri Pahang Darul Makmur secara khususnya terutama pelajar yang masih berada di UMP dan sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini di UMP Pekan dan UMP Kampus Gambang.

Menurut Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) UMP, Dr. Rashidi Abbas, perintah PKP ini telah mengubah landskap kehidupan semua manusia buat sementara waktu.

“Apabila kita berbicara dalam ruang lingkup agama akan memberikan banyak hikmah yang terkandung di dalamnya. 

“Salah satu hikmah yang dapat diperoleh selama tempoh PKP ini adalah dari segi menghargai masa yang selama ini kemungkinan kita terleka dan terlalai dengan nikmat kesihatan yang Allah SWT kurniakan kepada kita. 

“Sehingga waktu yang sepatutnya kita luangkan kepada Allah SWT tidak kita manfaatkan dengan sebaik mungkin dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah dan sia-sia,” katanya. 

Tambahnya, perbincangan mengenai konteks kesihatan mental turut menjadi topik hangat selama tempoh PKP dilaksanakan pada masa kini kerana ia banyak memberi kesan kepada pelajar dan seluruh warga UMP.

BIL. 73 APR 2020

“Apabila berbicara mengenai kesihatan mental, Islam sebenarnya telah memberi tunjuk ajar seperti yang terkandung di dalam maqasid syariah iaitu menjaga akal  (hifzu aql). 

“Penjagaan akal ini menjadi asas kepada semua pelajar untuk mengekalkan tahap kewarasan mental sepanjang tempoh PKP ini agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.

“Justeru, Islam telah menyarankan beberapa perkara untuk dilaksanakan agar penjagaan akal ini dapat dirasionalisasikan hingga ke akhir hayat secara umumnya,” katanya. 

Dr. Rashidi turut menyentuh aspek kesejahteraan kehidupan secara umum, iaitu bagaimana menjaga akal, emosi dan tingkah laku untuk kesinambungan kehidupan dalam tempoh PKP ini.

Ujarnya, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah kita mestilah mengakui hakikat bahawa akal merupakan nikmat yang tidak ternilai dikurniakan Allah SWT kepada semua manusia. 

“Justeru, gunakanlah akal untuk kebaikan selagi ia tidak melanggar syariah atau agama.

“Strategi baharu boleh dirangka untuk menyesuaikan diri dengan perubahan sementara kehidupan dengan merancang aktiviti yang dapat memberi kesan positif kepada akal kita seperti perkongsian sebarang ilmu yang bermanfaat sepanjang PKP ini,” ujar beliau. 

Dalam pada itu, penggunaan teknologi terkini secara optimum untuk mencari ilmu agama melalui ceramah dari pihak PIMPIN atau mana-mana penceramah yang berkongsi ilmu seperti ilmu tafsir/taddabur tafsir serta ilmu ulum al-Quran dan pelbagai lagi termasuklah dengan amalan memperbanyakkan zikir, solat-solat sunat dan sentiasa bermohon doa kepada Allah SWT agar dipelihara serta sentiasa berada dalam kesejahteraan hidup selama PKP berlangsung.

Beliau turut menambah bahawa aktiviti fizikal seperti bersenam dan latihan ringan juga dapat meningkatkan kekuatan fizikal dan mental. 

Bagi mencetuskan akal yang sentiasa berfungsi dengan baik, Dr. Rashidi mencadangkan para pelajar yang berminat dalam bidang penulisan untuk memanfaatkan masa terluang dalam tempoh PKP ini dengan menulis novel dan garapan cerita santai dengan sebaik mungkin.

“Untuk tambahan, setiap individu juga harus memperkukuhkan silaturahim antara ahli keluarga, rakan-rakan, pensyarah dan lain-lain. 

“Oleh kerana masalah ini adalah isu global yang berlaku di mana-mana, maka manfaatkan masa untuk berhubung antara satu sama lain dengan cara mudah yang mungkin telah diabaikan sebelum ini atas alasan faktor kesibukan.

“Dalam tempoh PKP ini, kemungkinan kita juga terdedah untuk menulis perkara yang tidak sahih dan tanpa usul periksa dalam media sosial. 

“Jadi untuk manfaat bersama dan tingkah laku yang berakhlak, disarankan untuk berkongsi beberapa tazkirah, perkongsian ilmu dari pemikir-pemikir, ilmuan Islam dan kata-kata hikmah dari ilmuan yang thiqah (boleh dipercayai).

“Dalam pada itu, masa terluang boleh dimanfaatkan untuk menambah pahala dan amal jariah dengan membuat tawaran pengajaran,kerja atau skop kerja yang boleh kita laksanakan untuk diberikan kepada yang memerlukan melalui teknologi terkini seperti pengajaran atas talian (online) dan sebagainya,” ujar beliau. 

Dr. Rashidi berharap, mudah-mudahan dengan perkongsian yang ringkas ini boleh dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja, bukan hanya berfokus kepada pelajar UMP tetapi kepada semua rakyat Malaysia yang sedang menjalani PKP sehingga 14 April akan datang. 

Beliau turut mendoakan agar semuanya sentiasa dipelihara oleh Allah SWT dan diberi kesihatan yang baik.


Jejak Alumni 

Persatuan Alumni Graduan UMP agih pensanitasi tangan buat barisan hadapan

BIL. 73 APR 2020

Oleh: MOHD. FERDAUS MUSA, PEJABAT NAIB CANSELOR 

Sebagai menghargai jasa petugas barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus menangani jangkitan Covid-19 ketika ini, Persatuan Alumni Graduan UMP (Alumni UMP) telah menggerakkan usaha dengan mengagihkan pensanitasi tangan (hand sanitizer) kepada Bahagian Keselamatan UMP dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan pada 3 April 2020 yang lalu. 
 
Menurut Timbalan Presiden Alumni UMP, Mohd Najib Razali, sumbangan ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial kepada masyarakat semasa negara berdepan dengan ancaman penularan wabak Covid-19 dengan memberi fokus bantuan terhadap barisan hadapan (frontliner) yang bekerja keras untuk memutuskan rantaian virus ini.
 
“Persatuan menyumbang sebanyak 30 unit botol pensanitasi tangan  berkapasiti 1 liter dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1,500. 

“Pensanitasi tangan ini juga merupakan produk keluaran UMP melalui anak syarikatnya iaitu UMP Technology Sdn. Bhd. (syarikat milikan penuh UMP Holdings Sdn. Bhd.). 

“Sumbangan ini turut diserahkan buat petugas di Bilik Gerakan UMP dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan,” katanya. 

BIL. 73 APR 2020

Persatuan Alumni UMP juga kini telah melancarkan Tabung triUMPH Frontliners dengan kerjasama UMP Holdings Sdn. Bhd (UMPH). 

Tabung ini bertujuan untuk membekalkan air minuman kepada barisan hadapan yang bertungkus-lumus bertugas memerangi wabak ini. 

Inisiatif ini dizahirkan berasaskan kesedaran apabila kebanyakan mereka ini bekerja secara purata 15 hingga 18 jam sehari, maka amatlah penting untuk memastikan hero-hero negara ini terus kekal berhidrasi dan bertenaga.
 
Tambah beliau lagi, barisan hadapan ini boleh diibaratkan sebagai perwira yang sanggup memperjudikan nyawa dan mengorbankan tenaga dan masa untuk menangani wabak yang sedang menular di negara ketika ini. 
 
“Bagi orang ramai yang ingin membantu bolehlah berbuat demikian dengan menyumbang ke tabung ini atas nama Persatuan Alumni Graduan UMP melalui akaun Maybank (5562226414032) dengan meletakkan rujukan (DRINKING). 

“Pesanan buat semua, bersama-samalah kita membantu barisan hadapan kita untuk mengatasi wabak ini dengan mempromosikan #KitaJagaKita,” ujar beliau. 


Artikel/Rencana Pilihan

Manfaatkan penggunaan teknologi dalam masa PKP

BIL. 73 APR 2020

Oleh: Dr. Hasnah Hussiin
emel: hasnah@ump.edu.my

BIL. 73 APR 2020

Penularan wabak Covid-19 telah menggemparkan seluruh dunia. Antara strategi yang digunakan oleh beberapa negara bagi mengelakkan penularan wabak ini dari berterusan membunuh manusia adalah dengan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga Sekatan Pergerakan (Lockdown) sepenuhnya. Dalam konteks negara Malaysia, PKP telah dilaksanakan sepenuhnya bermula 18 Mac sehinggalah 14 April 2020 dan akan disambung jika keadaan masih tidak banyak berubah. Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, pelbagai langkah dan usaha diambil sama ada oleh pihak kerajaan atau swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan telah berganding bahu bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.
 
Tempoh pelaksanaan PKP telah dilihat sebagai usaha segera kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan dalam komuniti dengan mengadakan penguatkuasaan sekatan perjalanan ke luar negara dan pergerakan antara negeri, penutupan beberapa premis perniagaan, sekolah dan institusi pengajian tinggi bagi melindungi semua lapisan rakyat dari bahaya COVID-19. Tempoh berkurung ini sebenarnya tidak pernah dialami oleh masyarakat negara ini kecuali semasa negara melaksanakan darurat pada tahun 1948-1960 dahulu. Dalam tempoh ini, ia memperlihatkan bagaimana masyarakat negara ini yang bekerja dari rumah, hanya ketua keluarga dibenarkan membeli barangan keperluan harian, penggunaan beberapa aplikasi yang memudahkan mesyuarat diadakan secara atas talian, pembelian barangan dalam talian, kelas atau kuliah secara dalam talian bagi para pelajar serta akses kepada bahan pengajaran dan pembelajaran secara maya. Penjarakan Sosial (Social Distancing) ini dilakukan bagi mengelakkan masyarakat berkumpul dan berhimpun yang boleh menyebabkan virus COVID-19 mudah tersebar.

Antara golongan yang terkesan akibat pelaksanaan PKP ini adalah pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT). Ada yang dapat pulang sebelum PKP dilaksanakan dan ada yang tidak sempat pulang dan mereka terpaksa tinggal di dalam kampus sehingga kerajaan mengumumkan penamatan PKP. Secara amnya, ramai para pelajar pada hari ini mempunyai telefon pintar dan Internet berbayar. Ini secara tidak langsung akan membolehkan para pelajar sama ada di peringkat sekolah atau IPT mendapat peluang untuk menambahkan ilmu pengetahuan secara kendiri. Penggunaan teknologi dalam pembelajaran seperti ini akan menarik minat pelajar untuk mempelbagaikan lagi cara mereka mendapatkan ilmu tidak hanya di dalam bilik kuliah sahaja. Melalui teknologi mudah alih ini, para pelajar boleh memperdalamkan lagi atau mencari bahan tambahan bagi sesuatu subjek yang mereka pelajari. Ia seakan berperanan sebagai nilai tambah terhadap ilmu yang telah diberikan oleh pensyarah semasa di dalam bilik kuliah dan juga buku-buku yang mereka rujuk sebelum ini.
 
Selain itu, para pelajar juga boleh mempelajari bahasa asing selain bahasa Inggeris seperti Mandarin, Jerman, Perancis, Arab dan lain-lain lagi. Terdapat pelbagai laman yang menyediakan cara mempelajari bahasa asing tersebut berserta dengan sebutan yang betul. Tidakkah ini memudahkan para pelajar kerana mereka tidak perlu mendaftar dan membayar yuran bagi memasuki kelas belajar bahasa asing secara mudah. Sangat menjimatkan masa, tenaga dan wang ringgit. Kebolehan menguasai bahasa asing adalah keperluan pada masa kini. Justeru, para pelajar jangan sia-siakan peluang yang ada ini dan gunakan sebaiknya teknologi yang ada di depan mata anda, dengan erti kata lain ilmu hanya dihujung jari.
 
Penggunaan teknologi mudah alih juga akan membolehkan pelajar mengetahui isu-isu semasa sama ada dalam negara atau luar negara secara pantas. Dalam hal ini, para pelajar sememangnya perlu cakna dengan isu semasa bagi menjadikan mereka pelajar yang berfikiran global, kreatif dan inovatif. Generasi yang matang adalah generasi yang tidak sempit pemikirannya malahan perlu menjangkau imaginasi mereka. Ini boleh didapati dengan hanya mengambil cakna akan isu yang berlegar di seluruh dunia.

Sememangnya terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan oleh pelajar dengan adanya teknologi mudah alih sekarang ini. Ini kerana peluang terbuka luas untuk sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan ilmu dari seluruh dunia. Ia juga akan membuka minda para pelajar bahawa ilmu itu tidak sahaja di dalam buku, malahan ia bertebaran dalam teknologi mudah alih jika seseorang itu tahu menggunakannya. Tapi sejauh manakah para pelajar menggunakan teknologi ini dalam mendapatkan ilmu-ilmu yang bermanfaat bagi membantu pembelajaran mereka?

BIL. 73 APR 2020

Satu kajian telah dilakukan bagi melihat sejauh manakah para pelajar menggunakan teknologi mudah alih ini bagi manfaat pembelajaran mereka. Daripada kajian yang telah dilakukan, kebanyakan pelajar menggunakan teknologi mudah alih bagi membolehkan mereka mengakses beberapa laman sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram, Twitter, Wechat dan sebagainya. Berdasarkan kajian, jelas menunjukkan bahawa kebanyakan pelajar menggunakan media sosial ini untuk meluahkan perasaan, berkongsi gambar, berkongsi pendapat dan maklumat dan hanya segelintir daripada mereka menggunakan media sosial untuk melihat perkembangan terkini bagi menghilangkan kebosanan. Masih tidak ramai yang menggunakan teknologi mudah alih ini ke arah pembelajaran dan pendidikan.
 
Kesimpulannya, daripada kajian yang telah dijalankan, sebanyak 70 peratus dalam kalangan pelajar tidak kira lelaki mahupun perempuan menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaan, berkongsi gambar, berkongsi pendapat dan informasi hanya bagi menghilangkan rasa bosan. Jadi secara keseluruhannya, para pelajar lebih banyak menghabiskan masa atau menggunakan teknologi mudah alih hanya untuk menghilangkan kebosanan berbanding untuk menambahkan ilmu di dada. Justeru, sesuatu harus dilakukan bagi mengubah tabiat para pelajar sama ada di peringkat sekolah atau IPT agar teknologi mudah alih diguna sebaik mungkin untuk melahirkan generasi berilmu pada masa akan datang.
 
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP). 


BIL. 73 APR 2020

BIL. 73 APR 2020
Newsletter Image
BIL. 73 APR 2020