Brisk Walk dan Plogging cerminkan komitmen UMPSA terhadap kelestarian
PEKAN, 15 Julai 2026 - Program Gaya Hidup Sihat yang dianjurkan oleh Pusat Komunikasi Korporat (PKK) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC) bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti Brisk Walk, malah turut memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.
Program hari ini menyaksikan para peserta bersama-sama mengutip sampah di sekitar Tasik Dinamik dan menanam pokok Kelapa Pandan di kawasan berkenaan.
Turut hadir memeriahkan program, Penolong Naib Canselor (Pembangunan) Jabatan Canseleri, Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad, Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC), Dr. Suhaidah Hussain dan Pengarah PKK, Mimi Rabita Abdul Wahit.
Profesor Dr. Mahadzir berkata, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen UMPSA dalam memperkukuh agenda kelestarian kampus selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Universiti menyasarkan pengurangan jejak karbon sebanyak 20 peratus menjelang tahun 2026 dan seterusnya meningkatkan sasaran itu kepada 40 peratus menjelang tahun 2030.
“Melalui pelbagai usaha termasuk penghijauan kampus, penanaman lebih banyak pokok di kawasan Rimba Komuniti serta peluasan kawasan hijau sedia ada.

“Meskipun Kampus Pekan dahulunya merupakan kawasan yang tandus dan berpasir, usaha penghijauan yang dilaksanakan sejak lebih dua dekad lalu kini telah membuahkan hasil dengan landskap kampus yang semakin menghijau,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, usaha tersebut akan diteruskan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi warga universiti pada masa hadapan.
“UMPSA turut memberi penekanan terhadap usaha penjimatan tenaga melalui penggunaan elektrik secara berhemah dan memperluaskan penggunaan tenaga boleh baharu seperti tenaga solar.
“Langkah ini bukan sahaja menyokong agenda kelestarian universiti, malah membantu meningkatkan kecekapan penggunaan sumber serta mengurangkan kesan karbon demi mewujudkan kampus yang lebih lestari,” katanya.
Lebih 100 warga UMPSA daripada pelbagai pusat tanggungjawab menyertai Program Gaya Hidup Sihat: Jom Brisk Walk dan Plogging Bersama Warga UMPSA yang berlangsung di Tasik Dinamik, Pusat Rekreasi Air, UMPSA Pekan.
Program itu diadakan bertujuan membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan warga universiti di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara kelestarian alam sekitar.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program termasuk sesi senamrobik, brisk walk, plogging iaitu aktiviti berjalan sambil mengutip sampah serta program penanaman pokok Kelapa Pandan.
Kemuncak program menyaksikan majlis penanaman pokok kelapa sebagai simbol komitmen universiti dalam memperkukuh agenda kelestarian kampus.
Penanaman pokok kelapa pandan itu menjadi lebih bermakna apabila pokok berkenaan merupakan sumbangan daripada Pembantu Tadbir Kanan (Perkeranian/Operasi), Jabatan Pendaftar, Sariyati Md. Nayan, sekali gus melambangkan semangat kebersamaan warga UMPSA dalam memperkukuh budaya kampus hijau dan lestari.
Penganjuran aktiviti plogging bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kecergasan fizikal, malah memupuk sikap prihatin terhadap kebersihan persekitaran dan menggalakkan warga kampus memainkan peranan sebagai ejen perubahan dalam menjayakan agenda kampus hijau.
Program itu turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga UMPSA melalui penglibatan bersama dalam aktiviti yang berteraskan kesejahteraan, kesihatan dan kelestarian.
Selaras dengan aspirasi UMPSA untuk melahirkan komuniti kampus yang sihat, lestari dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar, serta membudayakan amalan gaya hidup aktif serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya dalam aspek kesihatan, kesejahteraan dan tindakan terhadap perubahan iklim.
Kelestarian bukan lagi pilihan, tetapi satu tanggungjawab dan teras utama dalam membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang holistik dan berdaya tahan.
Disediakan Oleh: Wallid Wahidi Hamzah dan Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 68 views
Reports by: