EASY UMPSA gerakkan kempen dari Johor ke Pahang untuk kesedaran dan keselamatan gempa bumi
BENTONG, 22 September 2025 — Usaha untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai bahaya gempa bumi terus diperhebat apabila pasukan penyelidik Earthquake and Structural Stability (EASY) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melaksanakan Jelajah Kempen Kesedaran dan Keselamatan Gempa Bumi di Kampung Janda Baik dan Taman Bukit Tinggi, Pahang Darul Makmur.
Program berperingkat yang diadakan mulai penghujung Ogos itu diketuai oleh Ts. Dr. Mohd Irwan Adiyanto bersama penyelidik Dr. Nurfarhana Diyana Abdul Hadi, Gs. Dr. Syarifuddin Misbari dan Dr. Nur Fahriza Mohd Ali.
Kempen itu memberi tumpuan kepada pemasangan poster infoseismik@komuniti di lokasi tumpuan masyarakat termasuk masjid, surau, sekolah, klinik, stesen minyak, serta blok pangsapuri.
Sebagai nilai tambah, pasukan EASY turut mengedarkan kalendar mini yang mengandungi panduan ringkas tindakan semasa gempa bumi, sekali gus memudahkan masyarakat menyimpan maklumat penting sebagai rujukan segera.
Sebelum ke Pahang, pasukan berkenaan turut melaksanakan kempen yang sama di Segamat dan beberapa kawasan lain di Johor, susulan siri gegaran yang berlaku sejak 24 Ogos hingga 3 September lalu.
Menurut Ketua Program, Ts. Dr. Mohd Irwan Adiyanto, kesedaran masyarakat adalah faktor terpenting dalam menghadapi risiko bencana.
“Kesedaran adalah benteng pertama dalam menghadapi bencana.

“Melalui kempen ini, kami mahu masyarakat lebih peka bahawa gempa bumi juga boleh memberi kesan di negara kitadan setiap orang berperanan untuk melindungi diri serta keluarga,” ujarnya.
Inisiatif ini adalah sejajar dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 dan Kerangka Sendai 2015–2030 yang menekankan penglibatan aktif masyarakat dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana.
Pasukan EASY optimis bahawa program sebegini mampu memberi manfaat berterusan dan berhasrat untuk memperluaskan jelajah ke lebih banyak kawasan pada masa hadapan.

Disediakan Oleh: Ts. Dr. Mohd Irwan Adiyanto, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA)
- 67 views