Skip to main content

Impian ke negara matahari terbit kini lebih dekat buat pelajar menerusi UMPSA Japan Day

PEKAN, 7 Jun 2026 — Lebih daripada sekadar pameran budaya, program Japan Day: Empowering Advanced TVET Education in Collaboration with the Embassy of Japan in Malaysia yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baru-baru ini berjaya membuka mata para pelajar terhadap peluang pendidikan dan kerjaya bertaraf global di Jepun.

Program anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dan Japanese Language Professional Club (JANPU) bersempena dengan Hari TVET Negara 2026 itu berjaya menghimpunkan pelajar universiti, warga sekolah, wakil industri dan komuniti setempat dalam satu platform yang menggabungkan pendidikan, teknologi dan pertukaran budaya.

Menurut pengarah program, Teh Shu Yin, matlamat utama penganjuran Japan Day di UMPSA adalah untuk menyediakan platform strategik yang menyepadukan pendidikan TVET bertaraf dunia dengan pertukaran kebudayaan Jepun.

Impian ke negara matahari terbit kini lebih dekat buat pelajar menerusi UMPSA Japan Day

“Kami bukan sekadar mempamerkan budaya, tetapi mewujudkan ruang interaksi secara langsung antara pelajar dengan pihak kedutaan, ahli akademik dan wakil industri Jepun. 

“Inisiatif ini melebihi aktiviti kokurikulum biasa kerana ia bertindak secara tidak langsung sebagai satu platform diplomasi yang memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun,” ujarnya.

Baginya, idea penganjuran program berskala besar ini bermula daripada aspirasi JANPU untuk membawa impak yang lebih besar. 

“Titik tolak sebenar berlaku pada bulan Januari lalu apabila pihak kelab menerima undangan daripada pihak Kedutaan Jepun untuk berkolaborasi dalam sebuah bengkel yang berlangsung di East Coast Mall, Kuantan.

“Pengalaman ini membuka ruang perbincangan strategik yang akhirnya melahirkan konsep Japan Day sebagai inisiatif integrasi TVET dan kebudayaan,” katanya. 

Berkongsi pengalaman, cabaran terbesar yang dihadapi pasukan penganjur adalah kekangan masa yang kritikal. 
“Dengan tempoh persediaan kurang daripada sebulan setelah proses pencarian Ahli Jawatankuasa  selesai pada penghujung bulan April.

“Namun, semangat pasukan kekal membara atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak Kedutaan Jepun, pihak fakulti dan teristimewanya dengan kehadiran Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias,” katanya. 

Teh Shu Yin turut berbangga apabila objektif utama Japan Day berjaya dicapai dengan sambutan yang menggalakkan termasuk kehadiran ramai keluarga dan pelajar. 

Turut serta pihak Kedutaan Jepun, perwakilan pelajar Jepun di Malaysia (JSAM), UTMy, DENSO, JICA, ALPS Electric, KANEKA dan Isuzu Hicom terutamanya dalam menjayakan forum industri sebagai sumber inspirasi yang tidak ternilai bagi pelajar.

Beliau berharap pelajar dapat membawa pulang mesej dan input daripada forum TVET ini. 

Pendedahan langsung daripada industri Jepun bukanlah perkara biasa dan ia adalah peluang yang tidak boleh disia-siakan.

Bersempena dengan itu, forum industri menyaksikan penglibatan pemimpin industri terkemuka dari Jepun, termasuk Managing Director ALPS Electric, Wataru Tezuka, Chief Representative of JICA Malaysia, Daisuke Ueda, dan Sr General Manager Advanced Devices Division DENSO, Kiyonaga Fujii, selain Production Technology Advisor KANEKA, Tomoyuki Ishida dan Ketua Pegawai Operasi Isuzu Hicom, Kazutaka Watanabe.

Sesi forum yang dikendalikan pelajar FTKEE, Nur Hazirah Mohd Hanafiah sebagai moderator memberikan manfaat buat pelajar menimba pengalaman. 

Para panelis turut berkongsi mesej berharga merentasi pelbagai aspek termasuk sikap kerja (working attitude), panduan kepada pelajar latihan industri, gambaran sebenar suasana tempat kerja industri berasaskan Jepun, serta laluan konkrit untuk meneruskan kerjaya di Jepun.

Bagi Nur Hazirah, topik yang paling hangat diperdebatkan berpaksikan tiga hala iaitu industri, pelajar dan kemahiran insaniah (soft skills).

“Dengan tumpuan utama kepada program latihan industri di Jepun. 

“Soalan paling menonjol daripada audiens pula mempersoalkan mekanisme dan syarat kelayakan untuk menyertai program latihan industri di Jepun bagi pelajar peringkat ijazah,” katanya.

Selain itu, antara mesej yang paling memberi impak kepada pelajar ialah cabaran para pemimpin industri supaya pelajar tidak teragak-agak merebut peluang latihan industri di peringkat global. 

Cabaran berkenaan menegaskan bahawa syarikat-syarikat Jepun bersedia melabur dalam diri pelajar yang berpotensi, dan tiada sebab untuk takut melangkah lebih jauh.

Dari perspektif Hazirah sebagai moderator, mesej terpenting yang sepatutnya dibawa pulang oleh setiap pelajar ialah perubahan paradigma terhadap kesilapan dan teguran dalam industri.

Ujarnya, sebagai contoh apabila dalam industri, sekiranya ditegur bukan bermakna kita salah. 

“Ia dilakukan untuk mencegah kesilapan yang lebih besar dan berbahaya. 

“Teguran adalah mekanisme pembelajaran dan keselamatan yang penting, bukan tanda kegagalan peribadi,” katanya. 

Dari segi cabaran pengendalian forum, Nur Hazirah mengakui halangan bahasa antara bahasa Melayu, bahasa Inggeris, dan bahasa Jepun merupakan ujian terbesar, di samping keperluan menyelaras dan mensintesis pandangan panelis daripada latar belakang industri yang berbeza selepas setiap sesi.

Sementara itu, bagi pelajar kejuruteraan semester empat, Amirul Haziq Mohd Razif, program ini memberikan gambaran jelas tentang landskap industri Jepun yang selama ini hanya diketahuinya melalui buku teks.

“Saya tidak sangka ada begitu banyak peluang untuk pelajar TVET Malaysia melanjutkan pengajian atau berlatih di Jepun. 

“Sesi bersama wakil industri seperti DENSO dan ALPS Electric benar-benar membuka minda saya,” katanya.

Begitu juga dengan pelajar tahun akhir program Elektronik, Nurul Syafiqah Zulkifli, yang mengakui sesi forum industri menjadi titik tolak kepada hala tuju kerjayanya.

“Nilai-nilai seperti kaizen dan monozukuri yang diterangkan oleh wakil syarikat Jepun itulah yang membezakan graduan berbanding graduan yang benar-benar berdaya saing di peringkat global,” ujarnya.

Beliau juga turut mencadangkan agar program akan datang diperluaskan dengan menganjurkan dua forum berasingan bagi memastikan aliran program yang lebih teratur dan menyeluruh serta memberi ruang kepada lebih ramai panelis dan pelajar untuk berinteraksi secara bermakna.

Bagi menyuntik elemen interaktif, program kali ini turut membawakan pameran budaya Jepun, pertandingan Origami, serta taklimat peluang pengajian di sana.

 
Pengalaman para pengunjung kemudiannya dilengkapkan dengan aktiviti lawatan berpandu ke sekitar kampus dan makmal fakulti.

Disediakan Oleh: Neellesh Ram Saravanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE)
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri