Skip to main content

Jom Masuk U 2024 Zon Timur 11: Destinasi pilihan ketika musim cuti sekolah

GAMBANG, 1 Jun 2024 – Karnival Jom Masuk U 2024 Zon Timur II yang diadakan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullan (UMPSA) menjadi lokasi himpunan pelbagai institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam negara ini sama ada pihak awam mahapun swasta. 

JMU kali ini menyediakan sebanyak 64 reruai yang diserikan dengan Hari Terbuka UMPSA dan Hari TVET Negara.

Cuti sekolah merupakan detik yang sangat dinanti-nantikan oleh pelajar sekolah. 

Ketika cuti sekolah mereka dapat melakukan aktiviti lain bersama ahli keluarga mereka. 

Suasana ini dapat disaksikan ketika berlangsungnya Karnival Jom Masuk U iaitu dengan kehadiran ratusan pelajar sekolah bersama ahli keluarga mereka.

JMU kali ini turut menjanjikan inisiatif menarik dan memberi peluang kepada pelajar-pelajar sekolah menengah untuk meneroka pelbagai universiti di Malaysia serta membolehkan pelajar mendapatkan maklumat berkaitan program-program pengajian yang ditawarkan. 

Aktiviti-aktiviti yang ditawarkan sepanjang karnival ini juga mampu menarik minat pelajar bersama keluarga mereka untuk meluangkan masa cuti sekolah mereka. 

Karnival ini juga diserikan dengan kehadiran staf UMPSA sendiri bersama-sama dengan ahli keluarga mereka. 

Rata-rata staf yang mengunjungi karnival ini datang bersama ahli keluarga mereka khususnya membawa anak-anak yang sedang bercuti sekolah dan ada yang baharu menamatkan persekolahan mereka di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

Menurut Erma Yanti Zakaria dari Pusat Bahasa Moden (PBM), selain bertugas di karnival ini, beliau hadir membawa ahli keluarganya kerana beliau ingin memberikan pendedahan kepada anak-anaknya tentang institusi pendidikan tinggi (IPT) yang terdapat di negara ini dan kepelbagaian program pengajian yang ditawarkan sama ada dalam atau luar negara kepada lima orang anaknya yang masih bersekolah.  

“Saya berharap agar anak-anak mendapat pendedahan yang lebih luas kerana mereka sendiri boleh bertemu dan mendapatkan maklumat lebih terperinci daripada pihak yang sepatutnya,” katanya. 

Menurut Nur Najwa Athirah yang merupakan pelajar lepasan SPM dari Sekolah Sains Haji Ahmad Shah (SHAH) Pekan, beliau hadir ke JMU ini adalah untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan institusi pengajian tinggi dan dapat berkongsi dengan rakan-rakanya yang tidak dapat menghadirkan diri. 

Manakala menurut Muhammad Sabri dari Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Basriyyah, beliau hadir bersama ibu dan adik beradiknya ke karnival ini adalah untuk membantu dirinya membuat pilihan terbaik dan yang bersesuaian dengan kecenderungan minatnya. 

Beliau merupakan pelajar cemerlang yang memperoleh 11A dalam SPM baru-baru ini. 

Manakala menurut Pegawai Tadbir UMPSA, Nor Ashikin Sulaiman, beliau dan anak-anaknya hadir ke karnival ini supaya anaknya Muhammad Thaqief Uwaise Ahmad Khairul Ariffin yang kini berada di tingkatan 4 Kolej Permata Pintar mendapat pendedahan tentang aliran atau pilihan yang ada dalam hala tuju untuk menyambung pengajian di IPT.  

“Saya berharap anak-anak dapat membuat perancangan awal dan lebih bersedia kelak. 

“Jelaslah bahawa JMU ini merupakan inisiatif yang menarik untuk memberikan peluang kepada pelajar-pelajar untuk membuat keputusan yang lebih baik tentang institusi pengajian yang sesuai dengan minat dan matlamat mereka.

“Malah, para pelajar bukan sahaja dapat maklumat untuk melanjutkan pengajian mereka bahkan masa cuti sekolah mereka dapat dimanfaatkan bersama-sama ahli keluarga mereka,” ujarnya. 

Pelbagai aktiviti menarik yang disediakan sepanjang JMU iaitu seperti Campus Tour@UMPSA, persembahan Street Science, Karnival Keusahawanan, demonstrasi dron dan juga berpeluang bertemu dengan pempengaruh media sosial iaitu yang dikenali sebagai Amin x Abid.

Disediakan oleh: Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News