Skip to main content
Karnival Kerjaya Pahang 1st meriahkan Ekspo Konvokesyen UMPSA Ke-21

Karnival Kerjaya Pahang 1st meriahkan Ekspo Konvokesyen UMPSA Ke-21

PEKAN, 25 Oktober 2026 - Kemeriahan Karnival Kerjaya Pahang 1st merancakkan Ekspo Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjelang Hari Konvokesyen yang bakal bermula pada hujung minggu ini, iaitu bermulai 31 Oktober 2026 hingga 3 November 2026.

Karnival ini menawarkan sebanyak 250 kekosongan jawatan melibatkan lebih 13 syarikat antaranya, HICOM Automotive, Kaneka (Malaysia), Vacuumschmelze (Malaysia), AG Mate dan lain-lain hasil kerjasama Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang (MTSP) selaku penganjur dengan pihak UMPSA, TalentCorp, HRD Corp dan GIATMARA yang memberi manfaat buat pelajar UMPSA dan masyarakat setempat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato' Mohamad Nizar Dato' Sri Mohamad Najib, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengambil berat tentang peluang pekerjaan untuk rakyat, khususnya golongan belia dan graduan yang baru menamatkan pengajian.

Karnival Kerjaya Pahang 1st meriahkan Ekspo Konvokesyen UMPSA Ke-21

“UMPSA umpamanya, mempunyai peranan besar dalam melahirkan graduan yang mempunyai ilmu dan kemahiran, manakala pihak industri pula mengetahui keperluan tenaga kerja yang diperlukan.

“Apabila kedua-dua pihak ini dapat bekerjasama dengan baik, peluang untuk melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan pasaran akan menjadi lebih luas.

“Kita mahu anak-anak Pahang mempunyai masa depan yang baik,” ujarnya. 

Katanya, beliau mahu mereka mendapat pekerjaan, mempunyai pendapatan sendiri dan mampu membantu keluarga masing-masing. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Kerjaya Pahang 1st Siri 2 Pekan dan Perasmian Ekspo Konvokesyen 2026 di UMPSA, di sini, semalam.

Berkongsi perkembangan ekonomi di negeri Pahang beliau berkata, enam sektor tumpuan berdasarkan Pelan Transformasi Ekonomi Pahang 2030 (PET30) iaitu, tenaga boleh baharu, bahan termaju, pertanian, pembangunan berorientasikan transit (TOD), kenderaan elektrik (EV) dan automotif serta pelancongan, selain memperkukuh industri berasaskan teknologi dan inovasi.

Menurutnya, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan industri hiliran bagi memastikan sumber mineral tempatan dapat diproses dan ditambah nilai di Pahang, sekali gus menarik pelaburan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Dalam masa sama, kerajaan negeri menyasarkan peningkatan purata gaji pekerja daripada RM2,300 kepada RM3,300, di samping memperluas pembangunan industri baharu termasuk syarikat pemula, industri halal dan sektor aeroangkasa,” katanya. 

Beliau turut mempelawa para penyelidik UMPSA untuk mengambil bahagian dalam menjayakan Pelan Pembangunan Syarikat Pemula (Pahang Startups Roadmap 2030) bagi membangunkan ekosistem syarikat pemula (startup) tempatan agar anak muda dan usahawan baharu di Pahang dapat meneroka ekonomi digital, teknologi serta inovasi.

Ujar beliau, program ini akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan industri baharu termasuk syarikat pemula, sektor halal dan aeroangkasa.

Karnival Kerjaya Pahang 1st turut dimeriahkan dengan pelbagai program termasuklah Sesi Bina Kerjaya, Sukan Rakyat, acara Larian Kerjaya Pahang 1st sejauh 5 km dan turut berlangsung saringan pemeriksaan kesihatan daripada pihak Beacon Oncology Clinic Kuantan, LPPKN Negeri Pahang dan Aurelius Hospital Pahang.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Ketua Pejabat Cawangan Pahang Human Resource Development Corporation (HRD Corp) Pahang, Nurzatul Norzian Zamri, Eksekutif Kanan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Jamilah Sabri, Ahli Lembaga Pengarah GIATMARA, Dato’ Dr. Norsabrina Mohd Noor dan Timbalan Pengarah GIATMARA Negeri Pahang, Mohd Hazrat Abdul Kadir.

Lebih 500 pelajar hadir memeriah acara Majlis Perasmian Penutupan Karnival Kerjaya Pahang 1st Siri 2 Pekan dan Ekspo Konvokesyen UMPSA yang menampilkan pesembahan artis, Danial Kifli dan Ahmad Dayan.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri