Lebih 50 pilihan cenderamata menarik menanti pengunjung di Kedai KITA UMPSA
PEKAN, 3 November 2026 – Kedai Cenderamata KITA yang dikendalikan oleh Penerbit Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kini menjadi destinasi pilihan warga universiti dan pengunjung untuk mendapatkan pelbagai produk cenderamata rasmi universiti.
Beroperasi di Pintu Gerbang Utama UMPSA Pekan, kedai ini menawarkan lebih daripada 50 pilihan produk cenderamata yang merangkumi pelbagai kategori barangan menarik dan eksklusif beridentitikan UMPSA.
Kepelbagaian produk yang ditawarkan memberi peluang kepada warga universiti, pelajar, alumni serta pengunjung untuk mendapatkan cenderamata sebagai kenangan dan tanda penghargaan terhadap universiti.

Menurut, Pengarah Penerbit UMPSA, Ts. Dr. Rozaimi Abu Samah, menariknya, pengunjung juga berpeluang mendapatkan beberapa koleksi cenderamata khas bersempena dengan sambutan Jubli Perak UMPSA 25 Tahun yang diperkenalkan sebagai tanda kenangan istimewa bagi meraikan perjalanan dan pencapaian universiti sepanjang 25 tahun penubuhannya pada tahun 2027.
“Kedai Cenderamata KITA turut menawarkan diskaun sehingga 30 peratus kepada staf dan pelajar UMPSA bagi pembelian produk terpilih, sekali gus memberikan nilai tambah dan kemudahan kepada warga universiti untuk mendapatkan barangan rasmi UMPSA pada harga istimewa.
“Kepelbagaian produk yang ditawarkan memberi peluang kepada warga universiti, pelajar, alumni serta pengunjung untuk mendapatkan cenderamata sebagai kenangan dan tanda penghargaan terhadap universiti.
“Selain produk cenderamata, kedai ini turut menempatkan koleksi buku terbitan Penerbit UMPSA termasuk modul akademik dan karya asli hasil penerbitan universiti,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, inisiatif ini bukan sahaja memperluas akses kepada bahan bacaan dan penerbitan ilmiah, malah memperkukuh peranan Penerbit UMPSA dalam mempromosikan hasil penulisan dan penerbitan warga akademik universiti.
“Kedai Cenderamata KITA sedia menyambut kunjungan warga universiti dan orang ramai pada setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang, bagi memberi peluang kepada pengunjung meneroka pelbagai pilihan cenderamata eksklusif UMPSA.
“Kedudukannya yang strategik di pintu masuk utama UMPSA Pekan memudahkan warga universiti dan pengunjung untuk mendapatkan pelbagai pilihan cenderamata serta bahan penerbitan universiti.
“Malah, pengunjung berpeluang memilih pelbagai cenderamata eksklusif yang sesuai dijadikan kenang-kenangan, hadiah istimewa buat insan tersayang atau tanda penghargaan kepada rakan dan kenalan” katanya.
Ts. Dr. Rozaimi berkata, setiap produk yang ditawarkan bukan sekadar cenderamata, malah membawa identiti dan keunikan UMPSA yang boleh dibawa pulang sebagai memori bermakna.
“Justeru, warga universiti, alumni dan orang ramai yang berkunjung ke UMPSA Pekan dialu-alukan untuk singgah ke Kedai Cenderamata KITA bagi meneroka pelbagai pilihan produk menarik dan mendapatkan cenderamata eksklusif sebagai kenangan.
“Dengan pilihan lebih 50 produk yang ditawarkan, pastinya ada sesuatu yang istimewa untuk dibawa pulang,” katanya.
Disediakan Oleh: Shalfarina Shahriman, Penerbit UMPSA
- 21 views
Reports by: