Skip to main content

Meet and Greet: UMPSA memacu pemerkasaan penyelidik dalam inovasi, perundingan dan pengkomersialan

PEKAN, 9 Julai 2025 – Demi memperkasakan jalinan kerjasama antara pengurusan dan penyelidik, serta menyemarakkan semangat inovasi, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI) melalui Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ITC) dan Pusat Perundingan dan Pengkomersialan (CCM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan sesi Meet and Greet: Inovasi, Perundingan dan Pengkomersialan" bertempat di Pusat Aktiviti Pelajar, Kampus Pekan.

Lebih daripada sekadar sesi pertemuan, inisiatif ini menjadi titik temu yang menyatukan visi ke arah memperkasa ekosistem inovasi, perundingan dan pengkomersialan universiti secara menyeluruh. 

Ia menjadi medan strategik bagi menyelami keperluan para penyelidik, mendengar aspirasi mereka, dan merencana hala tuju bersama yang mampu melonjakkan hasil penyelidikan UMPSA ke peringkat yang lebih tinggi, termasuk dalam bentuk khidmat perundingan berimpak.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, menzahirkan rasa bangga dan keyakinannya terhadap kesungguhan penyelidik UMPSA dalam menjayakan agenda universiti.

“Saya sangat berbangga dengan semua penyelidik UMPSA, khasnya yang datang ke sesi Meet and Greet pada pagi ini. 

“Kita bercadang untuk mengadakan progam sebegini dengan kerap dan keterlibatan bersama para penyelidik.

“Saya percaya dengan adanya polisi dan garis panduan yang betul,  semangat serta aspirasi yang satu, kita sama-sama dapat menaikkan dan melonjakkan inovasi dan pengkomersialan di UMPSA bagi mencapai sasaran RM30 juta di bawah Pelan Strategik UMPSA30,” ujarnya. 

Meet and Greet

Sambutan yang diterima amat menggalakkan, dengan kehadiran penyelidik dari pelbagai fakulti, termasuk dari Kampus Gambang. 

Kehadiran mereka bukan sahaja menyemarakkan sesi, malah menandakan komitmen tinggi warga universiti terhadap agenda inovasi, perundingan dan pengkomersialan di bawah inisiatif UMPSA30.

Beberapa penyelidik turut menyuarakan harapan agar program seumpama ini diperluaskan ke Kampus Gambang dalam masa terdekat.

Program ini membuka ruang untuk sesi dialog terbuka, perkongsian maklumat terkini berkenaan dasar dan peluang perundingan serta pengkomersialan, selain penyelarasan keperluan bagi melonjakkan hasil penyelidikan universiti ke pasaran. 

Malah, ia juga menjadi bukti bahawa UMPSA tidak bergerak bersendirian, sebaliknya melangkah bersama, membina ekosistem inovasi dan perundingan yang lestari dan menyeluruh.

Sesi ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak inisiatif yang bakal dilaksanakan oleh Jabatan Penyelidikan dan Inovasi dalam usaha mencipta impak yang lebih besar.

Meet and Greet

Dengan semangat kebersamaan, visi yang jelas, dan sokongan berterusan, UMPSA terus komited untuk memperkasa inovasi, perundingan serta pengkomersialan universiti sebagai pemacu utama agenda penyelidikan berimpak tinggi.

Untuk pertanyaan lanjut berkenaan inovasi, perundingan dan pengkomersialan universiti, boleh hubungi: Inovasi dan Pemindahan Teknologi di  technologytransfer@umpsa.edu.my
dan Perundingan dan Komersial di komersial@umpsa.edu.my

Disediakan Oleh: Mohd Nizam Abdul Rashid, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri