Skip to main content

Pendidikan bahasa berteraskan TVET: UMPSA memartabatkan bahasa Melayu dalam Era Digital

GAMBANG, 19 Jun 2025 – Reruai Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) merupakan antara yang paling mendapat perhatian para pengunjung, khususnya para pelajar sekolah rendah dan menengah di Hari Terbuka UMPSA bersempena dengan Hari TVET Negara di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang. 

Reruai PBM menyediakan pelbagai pendekatan interaktif berkaitan istilah teknikal yang sesuai dengan pembelajaran TVET. 

Di samping itu juga, PBM turut serta memeriahkan acara dengan penganjuran pelbagai aktiviti bahasa, antaranya aktiviti berfokuskan kepada bahasa Melayu yang mengetengahkan pendekatan interaktif, menyeronokkan dan mendidik dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan. 

Antara aktiviti-aktiviti menarik yang diadakan di reruai PBM termasuklah Padanan Istilah Teknikal, Teka Maksud Peribahasa berkaitan TVET, serta edaran penanda buku yang memuatkan peribahasa Melayu yang diolah agar relevan dengan bidang TVET.

Turut mencuri perhatian ialah pameran buku cerita rakyat yang dihasilkan secara berkumpulan oleh pelajar kursus elektif (ULB3712) Bahasa Melayu Dokumentasi. 

Buku-buku ini merupakan hasil pembelajaran berasaskan projek yang menggabungkan kemahiran penulisan, kreativiti dan aplikasi teknologi digital. 

Pelajar menggunakan pelbagai perisian reka bentuk seperti Canva, Ibis Paint, ChatGPT, AI Editor, Google AI Studio dan Bing AI Creator untuk menghasilkan buku-buku yang bukan sahaja menarik secara visual tetapi juga sarat dengan nilai budaya. 

Hal ini memberi nilai tambah bahasa di dalam pembelajaran menerusi penghasilan buku yang memberi impak visual kepada pengunjung. 

Malah, usaha ini juga turutmemperlihatkan kesesuaian kursus bahasa dengan TVET, khususnya dari aspek literasi digital, kemahiran insaniah dan keupayaan menghasilkan produk bercirikan warisan. 

Pendekatan ini juga membuktikan bahawa bahasa mampu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dan menyumbang kepada pembangunan pendidikan berasaskan kemahiran.

Lebih membanggakan, staf dari pelbagai jabatan di UMPSA turut hadir dan menyertai aktiviti bahasa Melayu yang disediakan di reruai ini dan nyata mereka terhibur mencuba aktiviti yang disediakan. 

Kehadiran mereka mencerminkan sokongan terhadap usaha menyepadukan bahasa dan teknologi dalam pendidikan vokasional. 

Menurut Pembantu Tadbir, Jabatan Pendaftar, Nor Adira Aini Zulkfle, kunjungan beliau dan rakan-rakan ke reruai PBM memberikan pengalaman yang sangat bermakna. 

“Kami berasa teruja kerana berpeluang mengenali pelbagai istilah berkaitan bidang TVET dalam konteks penggunaan bahasa Melayu. 

“Pendedahan ini menyedarkan kami tentang betapa pentingnya memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang Teknikal dan Vokasional. 

“Bahasa Melayu bukan sekadar medium komunikasi, tetapi turut menjadi lambang identiti, warisan dan jati diri bangsa,” ujarnya. 

Beliau berharap agar program seperti Pameran TVET dan inisiatif reruai PBM dapat diteruskan pada masa akan datang. 

Program seperti ini membuktikan bahawa pengajaran bahasa tidak terhad kepada bilik darjah semata-mata, tetapi mampu diperluas secara kreatif dalam konteks TVET. 

Dengan memanfaatkan teknologi dan warisan budaya, PBM bukan sahaja memperkasa bahasa kebangsaan, tetapi turut menyemai semangat jati diri dalam kalangan pengunjung. 

Disediakan Oleh: Jamilah Bebe Mohamad, Amy Zulaikha Mohd Ali dan Shamsul Harbi, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri