Saturday Night Live meriah dalam kesederhanaan
GAMBANG, 9 Mei 2026 - Program Saturday Night Live yang berlangsung pada 9 Mei lalu di Univesiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang berjaya menarik perhatian pelajar dalam suasana santai dan penuh kemeriahan.
Program anjuran Kelab Sigma Melody UMPSA ini bertujuan untuk menyediakan platform kepada pelajar bagi menonjolkan bakat dalam bidang seni persembahan seperti nyanyian dan Live Band.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kokurikulum yang kreatif, di samping memupuk keyakinan diri, kerjasama berpasukan dan semangat kesenian.
Program ini juga berfungsi sebagai medium hiburan sihat yang dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan pelajar.

Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan, Mohd Zaki Ahmad, penganjuran program Saturday Night Live merupakan salah satu inisiatif Pusat Kebudayaan dalam memperkasakan pembangunan seni dan budaya dalam kalangan mahasiswa.
“Aktiviti seni dan budaya memainkan peranan penting dalam membentuk mahasiswa yang seimbang dari aspek akademik, sahsiah dan pembangunan insaniah selaras dengan usaha universiti melahirkan graduan holistik serta berdaya saing,” ujarnya.
Manakala Presiden Kelab Sigma Melody, Adib Amirin Azman, mahasiswa tahun 4 dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) berkata, penglibatan pelajar dalam aktiviti seni dan budaya mampu membentuk mahasiswa yang lebih kreatif dan berdaya saing, malah program sebegini turut menjadi ruang untuk pelajar mengembangkan potensi diri di luar bilik kuliah melalui aktiviti yang positif serta bermanfaat.
Konsep live band yang diketengahkan dalam program Saturday Night Live berjaya mewujudkan suasana yang lebih santai dan interaktif kepada pelajar.
Terdapat beberapa lagu yang dipersembahkan oleh kelab di bawah naungan Sigma Melody, antaranya ialah Ikut Rentakku, Pencuri Hati, Cinta Dalam Hati dan banyak lagi.
Secara keseluruhannya, program Saturday Night Live berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam memperkasakan seni dan budaya dalam kalangan mahasiswa di samping mewujudkan suasana kampus yang lebih aktif dan harmoni.
Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memberi lebih banyak peluang kepada pelajar untuk mengembangkan bakat, dan menyumbang kepada pembangunan komuniti universiti yang kreatif serta berkualiti.
Disediakan Oleh: Adibah Shaharom, Pusat Kebudayaan
- 74 views
Reports by: