Skip to main content

Townhall Naib Canselor UMPSA bersama warga FTKPM fokus pembangunan bakat penciptaan teknologi baharu

PEKAN, 14 Mei 2026 - Bidang pembuatan memainkan peranan strategik dalam pembangunan negara, bukan sekadar sebagai pengguna teknologi, malah sebagai peneraju dalam penciptaan teknologi baharu yang mampu meningkatkan daya saing industri tempatan di peringkat global.

Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, sektor pembuatan menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui penghasilan produk bernilai tinggi, pembangunan tenaga kerja berkemahiran serta pengukuhan ekosistem industri berteraskan inovasi dan teknologi pintar.

“Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) perlu terus diperkasa sebagai pusat pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi bagi melahirkan graduan yang kompeten, dinamik dan bersedia memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0.

“Penekanan terhadap latihan berterusan, pengukuhan ilmu pengetahuan dan kolaborasi erat bersama industri dilihat penting dalam memastikan bidang pembuatan negara terus relevan, mampan serta mampu menyumbang kepada agenda pembangunan negara,” katanya dalam sesi Townhall bersama Naib Canselor UMPSA berlangsung hari ini bersama warga FTKPM.

Ketibaan beliau disambut Dekan FTKPM, Profesor Ir. Dr. Ahmad Razlan Yusoff dan barisan pengurusan fakulti. 

Hadir sama Penolong Naib Canselor (Strategik dan Korporat), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh dan Penolong Naib Canselor (Pembangunan), Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad.

Townhall Naib Canselor UMPSA bersama warga FTKPM fokus pembangunan bakat penciptaan teknologi baharu

Dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan fakulti, beliau menegaskan bahawa UMPSA perlu terus menjadi pusat rujukan ilmu dan teknologi yang memberi impak kepada masyarakat serta industri.

Selain itu, para pensyarah turut digalakkan mempunyai ‘big dream’ dalam bidang kepakaran masing-masing dengan memanfaatkan peluang bantuan padanan geran (matching grant) dan kolaborasi penyelidikan yang diselaras di bawah Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI).

Dalam pertemuan itu, Profesor Ts. Dr. Yatimah turut menyentuh mengenai Pelan Strategik UMPSA 2026-2030 yang memberi penekanan kepada pengukuhan tadbir urus, kecekapan pengurusan kewangan serta pembangunan bakat akademik dan pelajar serta pelaksanaan inisiatif penjimatan yang sedang dilaksanakan universiti.

Beliau turut berkongsi pendekatan strategik UMPSA dalam memperluas jaringan antarabangsa termasuk kerjasama dengan rakan strategik dari China khususnya dalam bidang Teknologi.

Malahan, hubungan strategik bersama rakan industri turut diberi perhatian sebagai usaha memperkukuh ekosistem pendidikan TVET dan kebolehpasaran graduan.

Selain itu, UMPSA juga sedang menggerakkan pembangunan program pascasiswazah berasaskan coursework dan penyelidikan dalam bidang Advanced TVET bagi memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan.

Dalam sesi dialog bersama staf, beberapa isu turut dibangkitkan termasuk mengenai Sasaran Kerja Utama (SKU), peluang perkembangan kerjaya dan memantapkan Sistem Academician Performance System (APS) sedia ada secara berfasa bagi memastikan pengurusan yang lebih efisien.

Beliau turut menegaskan bahawa TVET merupakan tulang belakang pembangunan negara dan UMPSA akan terus komited memperkasa bakat dalam bidang tersebut demi masa depan pendidikan teknikal negara.

Tonwhall ini merupakan salah satu usaha pengurusan UMPSA untuk berkongsi pencapaian dan strategi universiti bagi memperkukuh hala tuju bersama warga universiti untuk memperkasa pendidikan TVET termaju serta meningkatkan keterlibatan UMPSA bersama industri dan rakan antarabangsa.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri