Skip to main content

Transformasi Perpustakaan UMPSA perkasa akses, cipta pengalaman baharu pengguna

PEKAN, 9 April 2026 – Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperkenalkan konsep baharu perkhidmatan perpustakaan yang lebih terbuka dan fleksibel, sekali gus mentransformasikan pengalaman pengguna ke arah persekitaran pembelajaran yang lebih lancar dan mesra teknologi.

Konsep ini dilaksanakan sejajar dengan penggunaan teknologi baharu berasaskan Ultra High Frequency (UHF) yang mampu mengesan bahan perpustakaan secara lebih luas dan efisien tanpa memerlukan struktur gate fizikal.
Hasilnya, pergerakan keluar masuk pengguna menjadi lebih lancar dan tidak lagi terikat dengan proses kemasukan yang sebelum ini agak terhad. 

Transformasi Perpustakaan UMPSA perkasa akses, cipta pengalaman baharu pengguna

Suasana perpustakaan juga kini terasa lebih terbuka dan selesa untuk pengguna menjalankan aktiviti pembelajaran.

Dari sudut keselamatan, sistem pengesanan baharu ini tetap memastikan bahan perpustakaan dipantau dengan berkesan melalui teknologi yang lebih canggih berbanding sistem terdahulu.

Menurut Ketua Pustakawan, Hajah Kamariah Gono, Perpustakaan berusaha untuk memperkukuhkan peranan sebagai ruang ilmu yang inklusif dan mesra pengguna.

“Perpustakaan kini beralih kepada konsep terbuka yang menekankan akses tanpa halangan fizikal. 

“Kemudahan seperti pintu keluar masuk dan sistem keselamatan sedia ada telah ditambah baik sejajar dengan pendekatan baharu ini bagi memastikan pemantauan pergerakan pengguna dan bahan perpustakaan terus dilaksanakan dengan berkesan

“Anjakan ini bukan sekadar perubahan pada struktur fizikal, tetapi turut menandakan evolusi dalam falsafah perkhidmatan perpustakaan,” ujarnya. 

Katanya lagi, tanpa kekangan pergerakan, pengguna kini menikmati akses yang lebih menyeluruh, sekali gus mewujudkan pengalaman yang lebih terbuka, fleksibel dan mesra pengguna. 

Bagi pelajar Fakulti Sains dan Teknologi  Industri (FSTI), Farah Syahirah Talib, perubahan ini jelas memudahkan pergerakan pengguna di dalam perpustakaan. 

“Sekarang lebih mudah hendak masuk dan tidak perlu menunggu giliran, semua jadi lebih cepat,” katanya.

Transformasi Perpustakaan UMPSA perkasa akses, cipta pengalaman baharu pengguna

 
Manakala menurut Ratna Wilis Haryati Mustapa, ahli publik perpustakaan dan pesara UMPSA, perubahan ini memberikan pengalaman yang lebih selesa dan mesra pengguna.

“Setibanya melangkah masuk, saya terus disambut dengan suasana ruang yang lebih lapang dan selesa, seolah-olah benar-benar mengalu-alukan kehadiran saya. 

“Ketiadaan laluan sempit kini memudahkan pergerakan, terutamanya bagi saya yang menggunakan tongkat. 

“Malah, sebaik melangkah masuk, pandangan saya terus tertumpu ke kaunter perkhidmatan yang tersusun rapi, sekali gus memudahkan setiap urusan,” katanya.

Transformasi ini merupakan antara langkah Perpustakaan UMPSA dalam menyesuaikan perkhidmatan dengan keperluan semasa, di samping menyokong usaha ke arah persekitaran pembelajaran yang lebih moden dan mesra pengguna.

Disediakan Oleh: Amelia Hasan, Perpustakaan UMPSA

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri