UMPSA dan SME Corporation Malaysia anjur Latihan Keusahawanan ‘Pocket Talk’ untuk PKS Negeri Pahang
KUANTAN, 25 Jun 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan SME Corporation Malaysia baru-baru ini telah menganjurkan Bengkel ‘Pocket Talk’ yang bertemakan ‘Jualan Power, Urus Cekap, Untung Banyak!’ di Dewan Seminar PKNP, Kompleks Teruntum, Kuantan.
Program itu menghimpunkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dari seluruh Negeri Pahang bagi mengikuti latihan intensif yang memberi fokus kepada peningkatan kecekapan pengurusan perniagaan digital, pengenalan kepada Business Model Canvas (BMC), serta pemahaman terhadap prinsip Lean dan Environmental, Social and Governance (ESG) dalam perniagaan.
Program dimulakan dengan ‘Pocket Talk’ pertama bertajuk ‘Live, Post, Close: Bengkel Seni Menjual di Dunia Digital’ yang disampaikan oleh Pengarah Urusan dan Pengasas, Elevatee Marketing Agency, Najihah Abd Razak.
Dalam sesi ini, para peserta didedahkan kepada strategi pemasaran dalam talian dan teknik menghasilkan kandungan media sosial yang berkesan bagi meningkatkan jualan produk serta perkhidmatan mereka.
‘Pocket Talk’ kedua pula diteruskan dengan tajuk ‘1 Lembaran, 9 Komponen: Rahsia Model Bisnes Anda’ yang disampaikan oleh Pensyarah FPI, Dr. Noraine Bahari.
Beliau memperkenalkan kepada peserta pendekatan Business Model Canvas (BMC) bagi membina pelan model perniagaan yang kukuh dan sistematik, membantu usahawan memahami struktur dan operasi perniagaan dengan lebih jelas dan teratur.
Sesi ketiga pula menampilkan Pensyarah FPI, Profesor Dato’ Dr. Salina Daud dengan tajuk ‘Kesedaran ESG kepada Peniaga’, yang memberi pendedahan tentang kepentingan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) dalam memastikan kelestarian perniagaan.
Sesi ini membuka minda peserta terhadap perlunya penerapan nilai tanggungjawab sosial dan tadbir urus mampan dalam operasi harian mereka.
Seterusnya, Pocket Talk keempat bertajuk ‘Lean untuk Peniaga Kecil: Urus Perniagaan dengan Bijak, Kurangkan Pembaziran, Gandakan Keuntungan’ telah disampaikan oleh Ketua Program (Pengurusan Teknologi Industri), FPI, Ts. Dr. Norhana Mohd Aripin.
Beliau turut berkongsi mengenai prinsip-prinsip Lean dalam konteks perniagaan kecil, termasuk cara mengenal pasti pembaziran dalam operasi harian serta strategi mengoptimumkan sumber bagi meningkatkan keuntungan.
Pocket Talk kelima bertajuk ‘Amalan Lean: Pengurusan Pembekal Berkonsep Lean’ disampaikan oleh Pensyarah FPI, Ts. Dr. Azian Ibrahim.
Beliau menekankan kepentingan memilih dan mengurus pembekal secara cekap untuk memastikan kelancaran rantaian bekalan yang konsisten dan efisien, selaras dengan prinsip Lean Management.
Program turut menampilkan sesi khas bual bicara bersama wakil SME Corporation Malaysia yang membuka ruang dialog interaktif antara peserta dan agensi serta membincangkan pelbagai bentuk sokongan, latihan dan insentif yang tersedia untuk usahawan tempatan.
Slot ini membolehkan peserta memahami dengan lebih mendalam mengenai peranan SME Corp dalam memperkasa ekosistem keusahawanan negara.
Program turut mendapat sokongan daripada pihak UNIFI melalui perkongsian ringkas mengenai penyelesaian digital untuk perniagaan.
Penganjuran bengkel ini membuktikan komitmen berterusan UMPSA dan SME Corporation Malaysia dalam memperkasakan komuniti usahawan melalui pendidikan dan latihan bersasar.
Inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu usahawan meningkatkan kecekapan dan daya saing, malah menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan di peringkat tempatan dan nasional.
Disediakan Oleh: Dr. Noraine Bahari, Fakulti Pengurusan Industri (FPI)
- 56 views