Skip to main content

UMPSA jayakan ibadah korban sempena Aidiladha 1446H

GAMBANG, 10 Jun 2025 - Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerusi Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dengan kerjasama Institut Pengajian Siswazah (IPS) dan Persatuan Pascasiswazah UMPSA 2025 (PGA 2025) telah menganjurkan program Ibadah Korban dengan penyembelihan sembilan ekor lembu di UMPSA Kampus Gambang.

Program tersebut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk sumbangan dua ekor lembu daripada Maybank, seekor daripada RHB Bank dan enam ekor daripada staf UMPSA.

UMPSA jayakan ibadah korban sempena Aidiladha 1446H

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias menzahirkan rasa syukur atas sambutan dan penyertaan yang memberangsangkan dalam kalangan warga kampus. 

“Pelaksanaan program ini bukan sahaja menghidupkan syiar Islam bersempena Aidiladha, malah memperkukuh nilai kebersamaan dan kepedulian dalam kalangan warga kampus.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan bangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh warga UMPSA. 

“Semangat gotong-royong yang ditonjolkan melalui program korban ini melambangkan kekuatan ukhuwah dan nilai prihatin yang sentiasa diterapkan di dalam komuniti kampus,” ujar beliau.

Seramai 140 staf dan pelajar terlibat secara aktif dalam proses penyembelihan, melapah, dan pengagihan daging korban.

UMPSA jayakan ibadah korban sempena Aidiladha 1446H

Pihak pengurusan UMPSA turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang dan sukarelawan yang menjayakan program tahunan ini.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri