UMPSA perkasa penguasaan bahasa Arab, Kursus ULA 1312 Arabic A1 perkenal kaedah pembelajaran moden
PEKAN, 2 Oktober 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperkenalkan Kursus ULA 1312 Arabic A1 iaitu kursus pengenalan bahasa Arab yang baharu diperkenalkan di universiti pada Semester 2, Sesi Akademik 2024/2025.
Kursus ini akan menggantikan dua kursus lama yang pernah ditawarkan sebelum ini iaitu UHF 1141 – Arabic for Beginners dan UHF 2141 – Arabic for Intermediate.
Perubahan ini adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula kurikulum bahasa asing di bawah kerangka Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) bagi memastikan keseragaman tahap kemahiran bahasa yang lebih tepat, sistematik dan standard antarabangsa.
Menurut Dekan Pusat Bahasa Moden (PBM) UMPSA, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali, pengenalan kursus baharu ini merupakan langkah strategik dalam memperkukuh struktur pengajaran bahasa asing di universiti agar lebih relevan dengan keperluan semasa.
“Kursus ULA 1312 Arabic A1 ini diperkenalkan bagi memastikan pembelajaran bahasa Arab di UMPSA diselaraskan sepenuhnya dengan tahap antarabangsa CEFR.
“Ia bukan sekadar menggantikan kursus lama, tetapi membawa pendekatan pengajaran yang lebih tersusun, moden dan berkesan dalam membantu pelajar menguasai bahasa Arab secara menyeluruh.
“Sebelum ini, kursus UHF 1141 ditawarkan kepada pelajar sebagai kursus pengenalan kepada bahasa Arab, manakala UHF 2141 pula sebagai kesinambungan pada tahap pertengahan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kedua-dua kursus tersebut tidak disusun sepenuhnya berdasarkan kerangka CEFR, menyebabkan berlaku ketidakselarasan dari segi tahap pembelajaran, kandungan dan penilaian.
“Justeru, melalui pengenalan ULA 1312 Arabic A1, struktur kursus kini telah diselaraskan sepenuhnya dengan tahap A1 CEFR iaitu tahap paling asas dalam pembelajaran bahasa asing.
“Kursus ini memberi tumpuan kepada penguasaan asas bahasa Arab secara menyeluruh yang meliputi empat kemahiran utama: mendengar, bertutur, membaca dan menulis.
“Pelajar akan mempelajari abjad Arab, sebutan huruf dan perkataan yang betul, struktur ayat asas, serta penggunaan bahasa dalam konteks harian seperti memperkenalkan diri, menyatakan masa, memberi arahan mudah dan bertanya soalan asas,” katanya.
Profesor Madya Dr. Zuraina menjelaskan pelajar turut didedahkan kepada elemen budaya Arab bagi menambah kefahaman terhadap penggunaan bahasa dalam konteks sosial sebenar.
“Dalam aspek pedagogi, pendekatan pengajaran kursus ini menekankan kaedah interaktif dan berorientasikan komunikasi, termasuk penggunaan aktiviti berpasangan, simulasi situasi harian, permainan bahasa, serta bahan bantu mengajar multimedia.
“Pendekatan ini terbukti lebih berkesan dan menyeronokkan untuk pelajar kerana ami mahu pelajar bukan sekadar memahami teori, tetapi benar-benar boleh berkomunikasi dalam bahasa Arab dalam situasi sebenar.
“Pendekatan interaktif seperti permainan bahasa dan simulasi membantu membina keyakinan pelajar dalam menggunakan bahasa tersebut,” jelasnya.
Penilaian dalam kursus ULA 1312 pula merangkumi penilaian berterusan seperti kuiz, tugasan dan ujian lisan, selain peperiksaan akhir yang menguji kefahaman dan kemahiran dalam membaca dan menulis.
Beliau menambah, pengenalan Kursus ULA 1312 Arabic A1 merupakan satu penambahbaikan besar dalam sistem pembelajaran bahasa Arab di UMPSA.
“Ia bukan sahaja menggantikan kursus lama yang kurang selaras, tetapi turut membawa pendekatan pengajaran yang lebih moden, tersusun dan relevan dengan keperluan global.
“Kursus ini membuka ruang kepada pelajar untuk mempelajari bahasa Arab dari asas dengan lebih yakin, sistematik dan menyeronokkan.
Ia juga menyediakan asas kukuh bagi mereka yang ingin melanjutkan pengajian ke tahap seterusnya dalam bidang bahasa Arab,” ujarnya.
Disediakan Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 83 views
Reports by: